Vasudeva dan Devaki dalam epik Mahabharata merupakan wira gerakan
penentangan pasif (passive resistance
movement) yang tidak diraikan.
Walaupun Kansa memenjarakan pasangan itu dan berjanji akan
membunuh kesemua anak mereka sebaik lahir, pasangan suami-isteri itu tetap
beranak setiap tahun!
Enam bayi — Kirttimat, Sushena, Udayin, Bhadrasena,
Rijudasa, dan Bhadradeha — dibunuh sebaik lahir. Kansa menghempas mereka dan
kesemuanya meninggal dunia kerana kepala berkecai.
Janin anak ketujuh, Balarama, dipindahkan secara penuh magis
ke rahim Rohini (isteri kedua Vasudeva). Anak kelapan, Krishna, dibela oleh Yasodha dan akhirnya
berjaya membunuh Kansa.
Untuk makluman, Devaki adalah adik tiri kepada Kansa. Vasudeva
pula adik kepada Kunthi (ibu kepada Yudhishthira, Bhima, dan Arjuna). Yasodha adalah isteri kepada
Nanda, manakala Nanda dan Vasudeva adik-beradik.
Berbalik kepada kisah tadi, sesudah Kansa dibunuh oleh Krishna,
Vasudeva dan Devaki berjaya dibebaskan. Kedua-dua wira gerakan penentangan
pasif itu menghasilkan pula anak kesembilan, seorang puteri, yang diberi nama
Subhadra.
Kisah mereka kurang didedahkan. Sebaliknya, hanya
diceritakan tentang kelahiran Krishna dan kezaliman Kansa. Kisah gerakan
penentangan pasif pasangan itu jarang
diteliti dan dianalisis.
Semoga Vasudeva dan Devaki diberi pengiktirafan sewajarnya
oleh para pengikut dan pelopor gerakan penentangan pasif di seluruh dunia. Atau
sekurang-kurangnya sudah ada catatan sebagai dokumentasi di blog ini untuk
rujukan generasi akan datang.
Baca juga — Ramayana
dan Mahabharata — Thirukkural dan Megha Duta — Vetalam dan Vikramaditya.