15 Jun 2018

Vikramaditya — Petikan Cerita


[Baca — Pengenalan] [Beli di Sini]

Vikramaditya tiba di kawasan perkuburan seperti yang dijanjikan. Suasana amat gelap kerana bulan langsung tidak kelihatan pada malam itu. Angin bertiup dari pelbagai arah.

Vikramaditya ternampak sekujur mayat yang tergantung dalam kedudukan terjuntai dari dahan sebatang pokok yang besar. Baginda dapat mengagak bahawa Vetalam menghuni mayat itu. Tambahan pula, mata dan tangan mayat itu bergerak-gerak.

Tanpa sedikit pun rasa gementar, raja itu mula memanjat pokok berkenaan. Baginda nampak tali yang mengikat kaki Vetalam pada dahan pokok. Tali itu dicantas menggunakan pedang.

Vetalam jatuh berdentum ke tanah. Puntianak yang menghuni mayat itu menjerit kesakitan. Vikramaditya bergegas turun dari pokok dan menghampiri Vetalam.

“Maafkan saya. Awak tidak apa-apa?”

Sebaik sahaja Vikramaditya bertanya soalan itu, Vetalam ketawa mengilai. Dalam sekelip mata, puntianak itu terbang dan terjuntai semula di atas dahan pokok!

Vikramaditya terasa hairan. Akan tetapi, baginda tidak mahu mengaku kalah. Tentulah Vetalam memiliki kuasa ajaib yang cuba digunakan untuk menipunya.

Memahami Muslihat Vetalam

Tanpa berlengah, Vikramaditya memanjat pokok itu sekali lagi. Baginda terkejut kerana tali yang mengikat kaki Vetalam kelihatan seperti awal tadi!

“Vetalam ini sedang cuba mempermainkan saya,” fikir raja itu seraya mencantas tali tersebut sekali lagi.

Pada kali ini, Vikramaditya cuba menggunakan tangan kiri untuk memegang Vetalam supaya tidak jatuh ke tanah. Akan tetapi, mayat berkenaan tetap terlepas daripada pegangan, lalu jatuh dengan bunyi yang kuat.

“Oh! Maafkan saya sekali lagi,” ujar Vikramaditya sebaik menghampiri Vetalam yang terbaring di atas tanah.

Serta-merta, puntianak itu mengilai dan terbang semula ke dahan pokok! Vikramaditya terpinga-pinga seketika.

Kemudian, baginda memanjat pokok berkenaan sekali lagi dan mencantas tali yang mengikat kaki Vetalam. Kejadian yang sama berulang sebanyak enam kali.

“Mengapa hal ini berlaku? Setiap kali saya bercakap sesuatu, Vetalam terus terbang semula ke atas pokok,” fikir Vikramaditya sambil memandang ke arah puntianak yang tergantung pada dahan pokok.

Suasana di tanah perkuburan itu masih gelap. Angin sedang bertiup kencang secara bertukar-tukar arah dari semasa ke semasa. Bunyi lolongan anjing-anjing liar kedengaran dari jauh.

“Mungkin saya tidak harus bercakap. Setiap kali saya berkata-kata, Vetalam terbang melayang dan bergayut semula pada dahan pokok,” Vikramaditya membuat keputusan dalam diri.

Maka, pada kali ketujuh, apabila menghampiri mayat yang terbaring di tanah, Vikramaditya tidak bercakap apa-apa. Baginda terus mengangkat mayat itu dan memikulnya pada bahu kiri. 

Tanpa berkata apa-apa, Vikramaditya mula mengatur langkah. Pada kali ini, Vetalam tidak terbang semula ke atas pokok.

“Saya tahu bahawa tuanku mahu membawa saya ke tapak upacara pemujaan seperti yang diminta oleh lelaki alim itu. Akan tetapi, tuanku tidak tahu apa yang sebenarnya akan berlaku di sana.”

Vikramaditya terus mengunci mulut walaupun perasaan ingin tahu semakin membuak dalam diri. 

[Baca — Sambungan Cerita] [Beli di Sini]

[Bahagian ini ditulis pada 25 Mei 2018 dan dipaparkan di blog pada 15 Jun 2018. Turut disiarkan di Eksentrika pada 26 Jun 2018. © Uthaya Sankar SB 2018. Harap maklum bahawa anda membaca sebarang paparan di mana-mana blog kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]