4 Jun 2018

Vikramaditya — Pengenalan


Siri Stories of Bethal mula disiarkan dalam majalah Chandamama edisi Bahasa Inggeris mulai keluaran November 1955, iaitu edisi khas Deepavali. Dalam edisi Bahasa Tamil, siri ini dinamakan Vedhalam Sollum Kadhai.

Dalam tradisi India, Vetalam merujuk kepada hantu yang berkeliaran di muka bumi. Ia biasanya menghuni jenazah atau mayat di tanah perkuburan. Vethalam juga selalu dikaitkan dengan pokok kelor atau merunggai. 

Gandingan watak Vikramaditya dan Vetalam menghasilkan siri cerita yang melucukan, menghiburkan, mendebarkan, dan merangsang pemikiran pembaca atau pendengar.

Sumber atau inspirasi bagi watak Vikramaditya tidak dapat dikenal pasti secara tepat. Dia dianggap legenda dalam kalangan pemerintah silam di India. 

Tidak hairanlah terdapat ratusan kisah, dongeng, dan legenda tersebar mengenai raja berkenaan. Penyair agung Sanskrit bernama Kalidas yang menulis puisi romantik Megha Duta dipercayai dinaungi Vikramaditya.

Memasuki Alam Cerita Berbingkai

Orang ramai memang sudah biasa dengan format cerita berbingkai dalam tradisi hikayat lama. Contoh terbaik adalah Hikayat Seribu Satu Malam atau Arabian Nights yang cukup popular di seluruh dunia. Di Malaysia dan Indonesia, Hikayat Bayan Budiman amat dikenali. Hikayat itu sebenarnya adaptasi daripada teks Sanskrit berjudul Sukasaptati.

Dalam Hikayat Seribu Satu Malam, seorang raja membunuh isterinya kerana menganggap semua wanita tidak setia kepada suami. Kemudian, dia mengahwini seorang demi seorang gadis; sebelum membunuh mereka pada keesokan pagi.

Akhirnya, seorang gadis yang baharu dikahwini mula bercerita sepanjang malam. Cerita itu tidak tamat, lalu terpaksa disambung pada malam kedua. Lalu, ditambah pula dengan bahagian awal cerita kedua, tetapi tidak dihabiskan. Raja leka mendengar cerita selama 1,001 malam.

Manakala dalam Hikayat Bayan Budiman, isteri seorang saudagar bercadang menjalin hubungan sulit dengan putera mahkota. 

Apabila wanita berkenaan meminta pandangan bayan peliharaannya, burung itu bercerita panjang. Si wanita leka mendengar cerita sepanjang malam sehingga tidak sempat pergi bertemu dan berkasih dengan putera mahkota. 

Vikramaditan Kadhaigal juga sebuah cerita berbingkai seperti kedua-dua cerita di atas. Walau bagaimanapun, pada kali ini, tidak ada watak putera mahkota yang mahu meniduri isteri orang lain, atau raja yang menganggap semua wanita tidak setia.

Sebaliknya, watak utama ialah Vikramaditya, seorang raja yang berani, berintegriti, dan sanggup berbuat apa sahaja untuk membantu orang ramai. Satu lagi watak penting yang menggerakkan cerita ialah Vethalam, iaitu vampire, puntianak, atau hantu yang menghuni mayat.

Bagaimana Vikramaditya dan Vethalam bertemu? Apakah kisah-kisah menarik yang disampaikan dalam cerita berbingkai ini? Bersabarlah sementara saya menceritakannya satu per satu menggunakan Bahasa Malaysia yang mudah difahami kanak-kanak, remaja, dan orang dewasa. 

[Baca Petikan Cerita— [Harapan Pembaca— [Beli Di Sini]

[Bahagian Pengenalan dalam siri ini ditulis pada 22 Mei 2018 dan versi pendek disiarkan di Eksentrika pada 25 Mei 2018 sebelum versi penuh dipaparkan di blog pada 4 Jun 2018. © Uthaya Sankar SB 2018. Harap maklum bahawa anda membaca sebarang paparan di mana-mana blog kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]