29 May 2018

Dana SEDIC – Mungkin Ada Skandal?


Saya berpendapat bahawa Unit Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (SEDIC) perlu diaudit segera bagi menjawab sebarang keraguan dan tanda tanya dalam kalangan masyarakat.


Akhbar Makkal Osai (26 Mei 2018) melaporkan penafian oleh T. Mohan terhadap berita yang tersebar luas di media sosial belakangan ini, kononnya Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MIFA) telah menerima dana RM1.9 juta dari SEDIC pada tahun ini.

Berita yang sama – dalam versi lebih panjang – disiarkan di Anegun pada 25 Mei 2018. — [baca di sini]


Hampir seminggu sebelum itu, iaitu pada 19 Mei 2018, T. Mohan yang diiringi sejumlah orang kuat Pemuda MIC Kebangsaan membuat laporan polis kerana kononnya ada berita-berita palsu mengenai skandal MIC – termasuk isu MIFA – tersebar di media sosial. — [baca di sini]

Pada 16 Mei 2018, Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, C. Sivarraajh menegaskan bahawa semua isu dan skandal dalam MIC atau yang melibatkan pemimpin parti itu perlu disiasat supaya “pemimpin muda seperti kami tidak menanggung beban skandal-skandal tersebut”. — [baca di sini]



Dalam Makkal Osai 24–27 Mei 2018, disiarkan senarai nama pertubuhan kaum India serta jumlah dana yang diterima daripada SEDIC. Malaysian Indian Football Association (MIFA) dilaporkan menerima dana RM1,999,350 manakala Majlis Sukan India Malaysia (MISC) menerima RM51,800.


Yayasan Gerakan Afirmatif Baharu (NAAM) yang diasaskan oleh M. Saravanan pula dilaporkan menerima dana RM554,700. Pada masa sama, Malaysia Hindu Sangam dikatakan menerima RM625,000.



[Baca juga — Yayasan NAAM berdaftar di bawah SSM]

Dalam pada itu, Malaysia Hindu Dharma Maamandram menerima dana RM640,200. Perlu diingatkan bahawa ketua pengarah SEDIC, NS Rajendran merupakan bekas presiden dan kini penasihat pertubuhan itu.

Senarai Penerima Dana

Agak menarik juga untuk meneliti sebahagian pertubuhan yang menerima dana yang banyak daripada SEDIC:


Persatuan Penulis-penulis Tamil Negeri Perak — RM177,060
Persatuan Pesara Guru-guru Tamil Selangor — RM169,560
Pertubuhan Pembangunan Pendidikan Impak Perak — RM119,846
Pertubuhan Profesional India Bersatu Selangor — RM134,952
Pertubuhan Sigaram Malaysia — RM189,500
Yayasan Amal Vallalar Malaysia — RM113,516


Persatuan Kecemerlangan Kalaimagal Selangor — RM580,540
Kelab Bola Sepak Sinergi — RM124,504
Malaysian Indian Visionery Association (MIVA) — RM238,638
Persatuan Bola Sepak India Melaka — RM188,384
Persatuan Bola Sepak India Selangor — RM638,234
Rangkaian Alam & Kesihatan Malaysia — RM207,890


Yayasan Pelajaran, Kebajikan dan Penyelidikan Malaysia (EWRF) — RM983,100
Dewan Perniagaan & Industri India Muslim Malaysia — RM150,350
Dewan Perniagaan dan Perindustrian Indian Negeri Kedah — RM239,000
Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia — RM384,700
Koperasi Pengusaha Restoran India Malaysia Berhad — RM447,750


Koperasi Tenusu Selangor Berhad — RM211,100
Koperasi Usahawan India Malaysia Berhad — RM146,200
Koperasi Wawasan Usahawan Peniaga India Perak Berhad — RM182,400
Leadership & Professionalism Development Society of Malaysia — RM337,800
Pertubuhan Pembangunan Usahawan Agro Tani Malaysia — RM216,940
Persatuan India Selangor dan Wilayah Persekutuan — RM287,700
Persatuan Kebajikan Pengal Kuala Selangor, Selangor — RM104,800
Persatuan Kebajikan Sosio Ekonomi Masyarakat India, Tanjung Karang — RM111,990
Persatuan Kebajikan Wanita Prihatin Malaysia — RM296,200
Persatuan Kebangsaan Usahawan Wanita Malaysia — RM347,700
Persatuan Pembangunan Wanita India Berkerjaya, Profesional dan Usahawati Malaysia — RM316,700
Persatuan Peniaga-peniaga Kecil India Seremban, Negeri Sembilan — RM108,650
Persatuan Siswazah Malaysia, Universiti India — RM205,450
Persatuan Untuk Orang-orang Pekak Selangor & Wilayah Persekutuan — RM198,325
Persatuan Pembangunan Minda dan Inovasi Malaysia — RM139,450
Pertubuhan Transformasi Sosio-Ekonomi Malaysia — RM337,800
Yayasan Kebajikan dan Pembangunan Sosial Kaum India Malaysia — RM264,700
Yayasan Kemajuan Islam Nasional — RM229,200
Persatuan Veteran India Angkatan Tentera Malaysia — RM337,800


Persatuan Pengurusan Kuil Sri Thandayuthapani, Bestari Jaya — RM250,000
Kuil Sri Ganesar, Kampung Pandan, Kuala Lumpur — RM250,000
Kuil Sri Muniswarar, Jalan Baru, Prai — RM250,000
Saiva Paripalana Sabha, Kuala Lumpur — RM250,000
Kuil Sri Subramaniar Paripalana Sabha, Masai — RM250,000
Persatuan Penganut Sri Ruthra Veera Muthu Maha Mariamman Dewastanam — RM250,000
Persatuan Penganut Naalvar Malaysia — RM135,000
Persatuan Hare Krsna Ashram Malaysia — RM139,200
Pertubuhan Kesedaran Krishna Antarabangsa, Seksi Malaysia — RM121,920
INFITT Malaysia — RM250,000
Pertubuhan Tamil Kapagam Malaysia — RM109,050
Persatuan Artis Tamil Malaysia (Negeri Selangor) — RM177,000


Malaysia Hindu Sangam — RM625,000
Persatuan Kebangsaan Generasi Gemilang Malaysia — RM107,550
Persatuan Wanita Berjaya Sejati Malaysia — RM207,400
Persatuan Jaringan Pembangunan Manusia Luar Bandar Malaysia — RM377,560
Persatuan Ekologi Harmoni — RM205,160
Persatuan Guru Graduan India Negeri Johor — RM237,730
Persatuan Kebajikan Pembangunan Kaum India daerah Baling, Kedah — RM108,580
Persatuan Prihatin Ratu Malaysia India Kuala Lumpur — RM531,150
Persatuan Seni Kehidupan Utara — RM147,100


Pertubuhan Prasekolah Malaysia — RM7,031,316
Kelab Kebajikan Bekas Guru-guru Tamil Sekolah Tamil, Negeri Pulau Pinang — RM112,560
Persatuan Bekas Pelajar Sepang — RM286,250
Persatuan Guru-guru Kesusasteraan Tamil Malaysia — RM244,200
Persatuan India, Jempol, Negeri Sembilan — RM111,944
Persatuan Kebajikan Wanita Kemang — RM168,640
Persatuan Kesedaran Generasi Muda — RM134,952

Integriti Boleh Dipersoalkan

Menurut maklumat yang dipaparkan di laman sesawang rasmi SEDIC, sejak tahun 2014, sejumlah RM230 juta telah digunakan untuk membiaya 800 organisasi, dan kononnya 500,000 orang telah mendapat manfaat.

[Video Bahasa TamilNS Rajendran bercerita tentang SEDIC]

Senarai penerima dana SEDIC turut didedahkan akhbar Makkal Osai pada 26 Mac 2018. Bagaimanapun, seolah-olah tidak ada tindakan daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) susulan laporan itu. — [baca di sini]


Apabila meneliti segala data dan jumlah dana ini, saya tertanya-tanya sama ada wang berkenaan benar-benar digunakan bagi pembangunan masyarakat akar umbi. Sama ada wang itu benar-benar digunakan sepenuhnya bagi program seperti yang dinyatakan dalam kertas cadangan.



[Lihat juga — RM30 Juta Dana SEDIC Bagi Kempen BN Dalam PRU-14? ]

Dalam konteks peribadi, Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) menjalankan Projek Komuniti Kavyan di Aulong Lama, Taiping, Perak sejak Jun 2016. Kami bergantung sepenuhnya kepada sumbangan ikhlas daripada orang ramai. Ini adalah projek mingguan dan bulanan yang benar-benar dilaksanakan menggunakan dana yang amat kecil; kadang-kadang RM200 sahaja.


Di sisi lain, saya melihat angka ratus ribu yang diterima oleh pelbagai pertubuhan berasaskan kaum India daripada dana SEDIC. Baguslah jika mereka benar-benar melaksanakan program dengan penuh amanah dan integriti.


Akan tetapi, seperti “khabar angin” yang tersebar menerusi media sosial, apakah mungkin ada skandal, penipuan atau perbuatan tidak berintegriti yang dilakukan bagi mendapatkan dana tersebut, serta penyalahgunaan (penyelewengan) selepas dana itu diterima?

Kalau tidak ada angin, masakan pokok bergoyang. Isu Yayasan NAAM dan projek menanam cili, misalnya, menjadi bualan ramai sejak dahulu. Isu MIFA juga diungkit dengan berani oleh pelbagai pihak. [Baca jugaMampukah MIC Dibersihkan?]


Barisan Nasional (BN) berjaya ditumbangkan oleh Rakyat menerusi kuasa undi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei 2018. [Lihat jugaKeputusan Bagi Kerusi Parlimen]

Kini, semakin ramai orang mula berani mempersoalkan integriti SEDIC dan MIC dalam menangani dana yang sepatutnya sampai kepada masyarakat akar umbi, atau digunakan dalam menjalankan program memperkasakan komuniti.

Seawal November 2017, Ahli Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar telah mengkritik bahawa sebelum SEDIC diwujudkan, dana kerajaan pusat kepada kaum India disalurkan menerusi MIC, tetapi dana tidak sampai kepada orang ramai.


Katanya lagi, selepas SEDIC diwujudkan di bawah Unit Perancangan Ekonomi, MIC tetap mengawal kegiatannya sehingga SEDIC menjadi boneka MIC dan bertindak mengikut telunjuk MIC. — [baca di sini]

[Video Bahasa TamilLelaki Persoal MIC dan SEDIC]

SEDIC Perlu Diaudit

Jurucakap MIC pula mengeluarkan kenyataan balas bahawa parti politik itu tidak ada sebarang kaitan dengan dana RM230 juta yang dipersoalkan oleh Sivakumar. Jurucakap itu berhujah bahawa hanya NS Rajendran selaku ketua pengarah SEDIC menguruskan permohonan dana. Maka, hanya dia yang tahu apa yang berlaku kepada wang itu. — [baca di sini]

NS Rajendran pada Mac 2018 dilaporkan berkata, semua permohonan akan dinilai pada lima peringkat sebelum disarankan kepada perdana menteri waktu itu, Najib Razak. — [baca di sini]


Senarai penerima dana SEDIC yang disiarkan akhbar Makkal Osai serta isu-isu yang tersebar menerusi media sosial dan WhatsApp membuatkan saya berfikir betapa semakan, siasatan dan audit perlu dilakukan segera terhadap dana RM230 juta yang disalurkan itu.


Melihat kepada senario pasca-PRU-14 di mana beberapa pemimpin parti politik pembangkang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kita tidak boleh menolak kemungkinan ada kepincangan, ketirisan, penipuan, pecah amanah, penyalahgunaan, dan manipulasi politik dalam pengurusan dan penyaluran dana SEDIC semasa BN memerintah.


Maka, kerajaan Pakatan Harapan (PH) digesa mengambil langkah segera dengan menyiasat dan mengaudit dana SEDIC sejak tahun 2014. Sekurang-kurangnya untuk membersihkan nama SEDIC dan pertubuhan yang mendapat dana daripadanya.
__________________________________________________

[Ulasan ini ditulis pada 27 Mei 2018 dan versi ringkas disiarkan di Berita Daily pada 28 Mei 2018. © Uthaya Sankar SB 2018. Harap maklum bahawa anda membaca kandungan mana-mana blog kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]