7 Jun 2018

Hadiah Buku Untuk Keluarga B40

Pada 7 Jun 2018, Yogeswaran Pachayappan dari Segamat, Johor menyatakan minat untuk membeli 10 naskhah buku Thirukkural dan Megha Duta.

“Kirim satu buku sahaja kepada saya. Baki 9 buku, tolong hadiahkan kepada kanak-kanak kaum India supaya mereka boleh memahami kandungan Thirukkural,” katanya menerusi Messenger.

Saya menerima tawaran itu dengan penuh gembira. Hasil program Kavyan, saya tahu bahawa memang ramai kanak-kanak dan remaja daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) yang ingin memiliki buku cerita tetapi keluarga mereka tidak mampu.

“Saya memahami situasi itu kerana saya juga seperti mereka semasa kanak-kanak,” saya memberitahu Yogeswaran dalam mesej balasan.

Beliau juga membesar dalam latar yang hampir sama serta memahami situasi kanak-kanak dan remaja yang tidak mampu membeli buku cerita.

Dengan penuh murah hati, Yogeswaran segera membuat bayaran RM200 untuk 20 buku — 19 daripadanya untuk dihadiahkan kepada kanak-kanak dan remaja daripada keluarga B40, khususnya yang menyertai aktiviti Kavyan.

Menerusi Projek Komuniti Kavyan di Taiping, Perak sejak Jun 2016, memang ramai kanak-kanak dan remaja daripada keluarga B40 dikenal pasti. Sekumpulan belia dilatih menjadi pemimpin komuniti untuk menjayakan pelbagai program mingguan dan bulanan di sana.


Tentu sahaja ada lebih daripada 50 kanak-kanak dan remaja B40 yang mengikuti Projek Komuniti Kavyan sejak dua tahun lalu. Rata-rata adalah kanak-kanak kaum India yang belajar di sekolah Tamil (SJKT) atau sekolah kebangsaan. Remaja pula berada di sekolah menengah — kebanyakannya bukan di kelas hadapan.

Bagi buku Nari! Nari! (2015) dan Ikan Patin dan Beruang Besar (2017), saya memang memohon sumbangan ikhlas daripada orang ramai supaya dapat menghadiahkan buku kepada kanak-kanak di beberapa tempat.

Bagi buku Thirukkural dan Megha Duta, ia sesuai bagi kanak-kanak, remaja, belia, dan dewasa.

Jika anda sudi menyumbang RM10, maka buku dapat dihadiahkan kepada seorang individu B40. Saya akan mulakan dengan peserta Projek Komuniti Kavyan di Taiping.

Sekiranya mendapat sumbangan yang menggalakkan daripada insan budiman seperti anda, maka akan dikembangkan kepada peserta program Kavyan di tempat-tempat lain juga.

Sebagai tanda penghargaan, nama penyumbang akan turut disenaraikan dalam buku — tetapi hanya bagi sumbangan yang diterima sehingga 30 Jun 2018.

Sila hubungi saya menerusi e-mel uthayasb@yahoo.com.my, Messenger, atau WhatsApp 011-11411952 jika anda sudi menyumbang.