Saya secara penuh sedar memilih untuk menulis – sajak,
cerpen, novel, cerita rakyat, makalah dan sebagainya – menggunakan Bahasa Malaysia. Walaupun boleh sahaja
mengusahakan penulisan dalam Bahasa Inggeris atau Tamil, saya tetap memilih
Bahasa Malaysia.
Hasil tulisan saya dalam Bahasa Malaysia mampu dibaca rakyat
Malaysia tanpa mengira kaum, keturunan, etnik dan latar belakang pendidikan.
Jika masih ada kelompok yang memberikan alasan tidak mampu membaca hasil
tulisan saya (yang ditulis menggunakan Bahasa Malaysia yang amat mudah), maka tembok halangan itu dibina oleh mereka
sendiri.
Dalam pada itu, kebanyakan tulisan saya (khususnya cerpen)
mengangkat latar budaya dan masyarakat India
(termasuk orang Tamil dan Malayali). Turut diselitkan unsur agama Hindu yang dominan dalam kalangan
kaum India di Malaysia.
Tindakan saya menggambarkan citra budaya dan agama
masyarakat India dalam karya Bahasa Malaysia sering dilihat oleh puak tertentu
sebagai cubaan menyebarkan ajaran Hindu kepada orang Melayu!
Pada masa sama, ada pula puak yang mempersoalkan mengapa
saya tidak sahaja menulis dalam Bahasa Tamil supaya mudah dibaca oleh orang
Tamil. Untuk makluman, karya saya tidak disasarkan kepada orang berketurunan
Tamil atau penutur Bahasa Tamil atau kaum India semata-mata. Sebaliknya
disajikan untuk dinikmati oleh Bangsa Malaysia.
Buat masa ini, saya masih dalam proses menekuni dokumen Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia
(2017) yang diterbitkan oleh Pejabat Perdana Menteri dalam Bahasa Malaysia,
Inggeris dan Tamil.
Pada masa sama, sejak Jun 2016, Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan)
bekerjasama dengan Persatuan Kebajikan Masyarakat India Aulong Lama, Taiping
(Sangam) dalam mengendalikan Projek
Komuniti Kavyan secara bulanan dalam usaha memperkasakan komuniti akar
umbi.
Malah, selepas meneliti Pelan Tindakan Masyarakat India
Malaysia dan
Pelan Tindakan Strategik Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO)
2016-2020 oleh Kerajaan Negeri Perak, sebuah NGO
baharu ditubuhkan dengan nama Kelab Kesedaran Pendidikan, Pembangunan Kapasiti
dan Integrasi Nasional Daerah Larut dan Matang, Perak (Kelab Kesedaran).
Penelitian terhadap Pelan
Tindakan Masyarakat India Malaysia [dilancar pada April 2017] menunjukkan bahawa aktiviti Kavyan dan Projek Komuniti Kavyan serta penulisan
saya selaras usaha kerajaan; termasuk apabila kita bercakap secara khusus tentang
kaum India yang berada dalam segmen B40 iaitu golongan dengan pendapatan
bulanan di bawah purata RM2,672.
Data Mengenai Kaum India di Malaysia
Berikut beberapa data yang dipetik daripada dokumen Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia:
Pada tahun
2016, kaum India yang berwarganegara Malaysia berjumlah 1.99 juta atau 7%
daripada 31 juta penduduk di Malaysia.
Masyarakat
India Malaysia terdiri daripada beberapa subkumpulan yang bertutur bahasa yang
berbeza dan menganuti agama yang berbeza yang mencerminkan asal usul tempat
mereka. Sebahagian besar mereka merupakan orang Tamil yang berasal dari benua
kecil India dan selebihnya terdiri daripada orang Telugu, Malayali, Punjabi,
Gujerat, Sindhi, Sinhala, Tamil Sri Lanka dan lain-lain. Majoriti orang Tamil
di Malaysia beragama Hindu. Agama lain yang dianuti oleh masyarakat India
termasuklah Kristian, Islam, Buddha, Sikh dan Jainisme.
Pada
tahun 1966, 67.8% daripada tenaga buruh India masih berkhidmat dalam sektor
perladangan dan 2.6% dalam sektor perlombongan yang membentuk 70.4% daripada
keseluruhan tenaga buruh India.
Kini,
89% daripada masyarakat India Malaysia tinggal di kawasan bandar, manakala
hanya 11% masih berada di luar bandar.
Sebenarnya,
terdapat dua bentuk kemunduran dalam kalangan kaum India Malaysia. Pertama,
sindrom kelas bawahan di bandar yang secara relatifnya disebabkan oleh
penghijrahan dari kawasan ladang dan yang kedua, anggota masyarakat India yang
masih menetap di luar bandar, dan masih terlibat dalam kerja-kerja perladangan
atau aktiviti-aktiviti pertanian utama yang lain.
Cabaran
yang dihadapi oleh masyarakat India Malaysia, terutama bagi mereka yang berada
dalam kategori bawah 40% (B40), bersifat multidimensi dan saling berkaitan.
Kira-kira
57,624 atau 10% daripada isi rumah kaum India Malaysia berpendapatan di bawah
RM2,000 sebulan, 71,148 atau 12% memperoleh pendapatan antara RM2,000 dan
RM3,000 sebulan, manakala 112,896 atau 19% memperoleh antara RM3,000 dan
RM4,000 sebulan. Dianggarkan 3,528 atau 0.6% daripada isi rumah kaum India
Malaysia diklasifikasikan di bawah paras kemiskinan.
Tahap
pendidikan dan latihan kemahiran yang rendah merupakan faktor utama bagi
pendapatan mereka yang rendah. Pengangguran dalam kalangan masyarakat India
Malaysia agak tinggi.
Bagi
masyarakat India Malaysia secara umum dan kanak-kanak India secara khusus,
cabaran utama adalah dalam pencapaian pendidikan rendah. 9% dalam kumpulan umur
20-24 tahun memiliki pencapaian pendidikan rendah (hanya sehingga peringkat
sekolah menengah rendah). 13% dalam kumpulan umur 25-29 tahun memiliki
pencapaian pendidikan rendah. Hakikatnya, cabaran ini bermula pada peringkat
awal pembangunan pendidikan.
Pada
tahun 2011, 56% daripada kanak-kanak India telah mendaftar di Sekolah Rendah
Tamil (SJKT) manakala 38% telah mendaftar di Sekolah Rendah
Kebangsaan (SRK) dan 6% di sekolah sendah aliran Mandarin (SJKC).
Murid-murid
di SJKT secara umumnya akan menghadapi masalah dari segi bahasa dan untuk
menyesuaikan diri apabila mereka masuk ke sekolah menengah kebangsaan (SMK).
Hal ini demikian kerana Bahasa Malaysia merupakan bahasa pengantar dan bahasa
yang digunakan oleh majoriti warga sekolah.
Pada
tahun 2015, hanya 54% daripada pelajar India yang lulus dalam semua mata
pelajaran dalam UPSR. Hanya 44% pelajar India yang lulus dalam semua mata
pelajaran dalam peperiksaan SPM. Terdapat kemungkinan yang besar bahawa peratus
lulus yang rendah diperoleh oleh kanak-kanak dan belia yang berada dalam
kategori B40.
Adalah
dianggarkan bahawa murid-murid India menyumbang sebanyak 13% atau kira-kira
1,000 orang daripada jumlah keciciran secara keseluruhan di sekolah rendah.
Bagi sekolah menengah, 8% atau sekitar 4,300 orang.
Topik berkaitan -- Penerimaan Kaum India Terhadap Bahasa Kebangsaan.
Sama ada anda kaum India atau Bukan India, anda akan sedar bahawa anda telah membaca segala data di atas dalam Bahasa Malaysia! Dan data ini akan menyokong hujah-hujah saya seterusnya. [Bersambung – BAHAGIAN DUA DI SINI]
Sama ada anda kaum India atau Bukan India, anda akan sedar bahawa anda telah membaca segala data di atas dalam Bahasa Malaysia! Dan data ini akan menyokong hujah-hujah saya seterusnya. [Bersambung – BAHAGIAN DUA DI SINI]