[Nenek tahu bahawa suatu hari nanti, Ganesh dan Dhurga akan
memahami kisah sebenar di sebalik salakan anjing-anjing itu.]
Salakan anjing-anjing di luar semakin
nyaring. Memang begitulah sejak dua minggu lalu. Anjing-anjing liar dan kurap
itu akan berkumpul beramai-ramai sejak awal pagi dan menyalak hingga lewat
malam.
“Bising sungguh anjing-anjing itu,” keluh
Dhurga, kanak-kanak berumur 10 tahun, yang sedang mendengar nenek menyampaikan
kisah epik Ramayana di anjung rumah.
“Betullah, paati. Elok dihalau sahaja anjing-anjing itu yang menganggu ketenteraman
para penduduk Siru Kambam,” kata abangnya, Ganesh
yang dua tahun lebih tua.
Nenek tidak memberikan sebarang reaksi.
Wanita tua itu tahu bahawa ada kisah sebenar yang lebih besar di sebalik
insiden anjing-anjing yang menyalak tidak tentu hala itu.
Menurut cerita, semasa kontroversi berhala
Dewa Shiva di Kuil Sivaperuman sedang hangat diperkatakan di Siru Kambam mulai
Disember 2010, sekumpulan pengukir berhala yang bernaung di bawah Persatuan
Pengukir Berhala (Perpena) berkomplot untuk menjatuhkan serta memalukan
Kumpulan Ikonografer Siru Kambam.
Kisah yang sudah diketahui umum adalah
bahawa kumpulan pakar ikonografi itu lebih bijak dan profesional berbanding
Perpena yang hanya menyalak berdasarkan emosi kebinatangan dalam isu berkenaan.
Tidak lama sebelum itu, Encik Limau @ Tokoh Lidah Bercabang dicalonkan
untuk Anugerah Pengukir Berhala Siru Kambam. Malangnya pengukir yang ada
sedikit bakat itu bersubahat dengan sekutu Perpena sehingga akhirnya menamatkan
riwayat serta cita-citanya.
Semasa Encik Limau sedang giat berkempen
memburuk-burukkan Kumpulan Ikonografer Siru Kambam, dia ditemui mati di tebing
sungai. Khabarnya alat sulit lelaki itu digonggong anjing kurap.
Menurut cerita yang tersebar di Siru Kambam
dan kampung-kampung berdekatan, Penerima Anugerah Laut, Cik Timun Busuk, Encik Salib, Raja
Se(ri)gala Bahasa dan sekutu mengadakan upacara khas bagi memuja unsur mistik
tertentu.
Mereka mahu mendapatkan kekuatan politik ultra
kiasu daripada pihak tertentu dalam meneruskan agenda jahat mereka. Natijahnya,
kesemua mereka bertukar menjadi anjing kurap menjelang keesokannya. Mulalah
mereka lari bercawatkan ekor sementara Kumpulan Ikonografer Siru Kambam terus
utuh.
Anjing-anjing itulah yang kembali menyalak
tanpa henti sejak dua minggu lalu. Semuanya berlaku selepas penerima Anugerah
Pengukir Berhala Siru Kambam diumumkan oleh ketua panchayat – majlis timbang tara peringkat kampung – di bawah pohon
beringin pada pertengahan Mac 2013.
Tentu sahaja Encik Limau tiada peluang
untuk menang kerana dia sudah mati dan dilupai oleh Perpena sendiri.
Kumpulan Ikonografer Siru Kambam tampil
mengeluarkan kenyataan ucapan tahniah kepada penerima Anugerah Pengukir Berhala
Siru Kambam. Perbuatan itu menimbulkan kemarahan pihak tertentu kerana mereka
belum sempat mengeluarkan ucapan berikutan masih bermabuk-mabuk di sebuah kelab
malam di bandar Taiping.
Selang dua hari, keluar pula kenyataan
seorang pengukir veteran yang pernah juga menerima Anugerah Pengukir Berhala
Siru Kambam pada masa lalu. Dalam kenyataannya, pengukir veteran itu meluahkan
rasa kurang setuju dengan keputusan pemilihan penerima anugerah terkini.
Anjing Zak*r mula menyalak
“Semua ini tentu angkara Kumpulan
Ikonografer Siru Kambam dan pemuda yang mengetuainya!”
Salakan Penerima Anugerah Laut mula memecah
keheningan malam. Pengukir itu sudah pun bertukar menjadi anjing kurap dan
sering berdiri atas dua kaki belakang dan menggaru-garu alat sulitnya. Maka,
anjing itu digelar oleh penduduk Siru Kambam sebagai “Anjing Zak*r”.
“Komentar pengukir veteran itu dikatakan
pandangan peribadi. Tapi kami para anjing kurap percaya bahawa ada pihak ketiga
yang memainkan peranan mendesak pengukir veteran itu mengeluarkan kenyataan
seumpama itu.”
Salakannya segera disahut gerombolan anjing
liar kurap yang sebelum ini khabarnya adalah manusia tetapi bertukar menjadi
anjing secara penuh mistik selepas menyembah unsur tertentu yang bertentangan
dengan ajaran mana-mana agama.
Bagi manusia yang bertamadun, tindakan
gerombolan anjing jadian itu tentulah dianggap tidak bertamadun. Malah,
anjing-anjing sebenar – bukan anjing kurap jadian – juga berpendapat demikian.
Anjing Zak*r yang dahulu kelihatan alim dan
warak juga kini sudah bertukar rupa. Ramai yang tertanya-tanya apakah perubahan
perangai itu disebabkan metamorfosis Penerima Anugerah Laut daripada manusia
kepada anjing kurap; atau perubahan fizikal itu berlaku sebagai cerminan kepada
jiwa, pemikiran dan keperibadian sebenarnya.
Agak lucu juga apabila kerja-kerja membuat
ukiran patung di Siru Kambam kini dikuasai anjing-anjing kurap. Sedikit demi
sedikit, seorang demi seorang tukang membuat berhala yang juga sealiran dengan
Anjing Zak*r dan sekutunya mula bertukar menjadi anjing jadian.
Penduduk Siru Kambam pula tidak sampai hati
untuk menghalau anjing-anjing itu. Malah, diberikan makan apabila anjing-anjing
berkenaan datang berdiri di depan rumah dengan lidah terjelir dan perut
kelaparan.
Walau bagaimanapun, khabarnya, makanan yang
paling digemari gerombolan anjing-anjing kurap itu adalah tulang babi yang
diberikan oleh seorang individu misteri dari luar Siru Kambam. … Bersambung
[Faksyen ini ditulis pada 26 Mac 2013
dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 1 April 2013. © Uthaya Sankar SB
2013. Segala persamaan dengan realiti
adalah disengajakan. Tajuk faksyen ini dipinjam daripada judul
sebuah kumpulan cerpen Sasterawan Negara Datuk Shahnon Ahmad yang terbit pada tahun
1964. Harap maklum bahawa anda membaca faksyen ini
serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri. Watak nenek, Ganesh dan Dhurga juga
muncul dalam siri Ramayana. Baca juga: Krisis Identiti Anjing]