[Kisah mengenai Tauke Jib, pemilik Gerai Bijan, yang berada dalam
dilema untuk menghidangkan bubur terakhir kepada penduduk sebuah kampung.]
Para penduduk semakin hilang sabar. Bubur.
Kata itu semakin ketara bermain pada bibir dan dalam minda mereka sejak
seminggu lalu. Bubur.
Akan tetapi, Tauke Jib tetap belum menghidangkan bubur nasi yang
dinanti-nantikan. Dia terus berdalih. Terus mencari alasan untuk
melengah-lengahkan hidangan bubur itu.
Bagi Tauke Jib, dia sedar bahawa hidangan
bubur pada kali ini mungkin menjadi hidangan terakhir. Segera dia teringat akan
lukisan terkenal oleh Leonardo da Vinci bertajuk “The Last Supper”.
Kontrak yang diberikan kepada Gerai Bijan
untuk membekalkan serta menghidangkan bubur adalah selama lima bulan. Semasa
mandat terakhir diterima dahulu, bukan dia pemilik gerai, tetapi Che Lah.
Hanya selepas pemilik terdahulu iaitu Encik Kutty
bising-bising dan mempertikaikan kemampuan Che Lah menguruskan gerai, barulah senduk
berpindah ke tangan Tauke Jib.
Namanya Pak Jib tetapi ditukar kepada Tauke Jib dengan harapan dapat menarik pelanggan kaum Cina dari kampung-kampung berdekatan seperti Aulong Baru dan Aulong Lama.
Penduduk Siru Kambam pula bagaikan tidak ada
pilihan kerana sudah memberi kontrak kepada pemilik Gerai Bijan untuk
menghidangkan bubur selama lima bulan. Mengikut kontrak, sekiranya penduduk
tidak berpuas hati, maka kontrak tidak akan disambung.
Hakikat itulah yang sebenarnya memeningkan
kepala Tauke Jib. Dia sedar bahawa bubur yang dihidangkannya sejak empat
setengah bulan lalu – selepas mengambil alih Gerai Bijan daripada Che Lah –
memang kurang memenuhi selera penduduk.
Para penduduk Siru Kambam sudah bersedia
untuk menerima perubahan. Mereka tidak mahu terus bergantung pada Gerai Bijan
yang sudah hilang aura dan kredibiliti. Mereka mahukan perkhidmatan berkualiti
dan berintegriti. Sentimen bahawa gerai itu paling lama beroperasi di kampung
kecil ini tidak menjadi persoalan.
Tauke Jib mengharapkan sokongan daripada
pelanggan pelbagai kaum dan agama. Untuk itu, pekerjanya juga pelbagai kaum. Akan tetapi, kesemua
pekerja pelbagai kaum itu tidak ada apa-apa hak atau kuasa. Mulut mereka
ditutup dengan kain. Mereka hanya perlu melakukan kerja-kerja seperti
diarahkan.
Bukan sekadar kerja-kerja yang diarahkan
oleh Tauke Jib selaku pemilik Gerai Bijan tetapi juga isterinya, Mak Anggun.
Malah, rahsia yang sudah diketahui umum adalah bahawa Mak Anggun adalah
“pemilik” sebenar Gerai Bijan. Tauke Jib hanya tauke pada nama.
[Faksyen ini ditulis pada 28 Mac 2013
dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 30 Mac 2013. © Uthaya Sankar SB
2013. Segala persamaan dengan realiti
adalah disengajakan. Idea bagi judul faksyen ini diambil daripada Semangkuk Interlok. Kecuali nama Leonardo
da Vinci dan Najib Razak, nama
watak-watak lain dalam faksyen ini adalah rekaan semata-mata. Harap maklum bahawa anda membaca faksyen ini
serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]