[Peranan Rakyat menjelang PRU-13 bukan hanya sebagai tukang sorak
dan tukang tampal poster. Sebaliknya menentukan masa depan negara.]
Parlimen sudah dibubarkan pada 3 April 2013
dan kini cabaran bagi Rakyat (pengundi) adalah dalam menentukan masa depan
negara tercinta menerusi kuasa undi.
MIC selaku komponen Barisan Nasional (BN) serta parti
politik yang mengiktiraf dirinya sebagai satu-satunya parti yang mewakili kaum India dalam kerajaan khabarnya akan
menempatkan 19 calon bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Sejak 20 Januari 2013, saya membuat ramalan mengenai calon-calon
MIC di beberapa tempat. Sekiranya benar Datuk Seri S Samy Vellu mahu bertanding
di Sungai Siput dan Datuk G Palanivel di Cameron Highlands, maka kedudukan
Devamany memang terumbang-ambing.
Di Parlimen Subang pula, khabarnya seorang
individu yang saya “kenal” (tanda kutip) bakal bertanding. Mujurlah saya bukan
pengundi di sana. Jika tidak, pasti saya berdepan dengan dilema antara mengundi
“syaitan yang dikenali” dan “calon yang berwibawa”.
Sepanjang terlibat dalam kontroversi novel Interlok: Edisi Murid sejak Januari
2011, saya berpeluang melihat sendiri tahap “kekuatan” dan “suara” yang
dimiliki oleh MIC dalam BN untuk membela nasib kaum India dan berjuang bagi minoriti. Kemuncak kekecewaan saya
adalah apabila MIC akur pada 19 daripada 106 pindaan asal yang diperjuangkan
oleh wakil kaum India dalam Panel Bebas Meminda Novel Interlok Edisi Murid.
Saya pengundi berdaftar di Parlimen Kota
Raja. Pilihan saya menjadi agak mudah jika BN meletakkan calon MIC. Apatah lagi
calon lama diletakkan kembali di sini. Malah, saya percaya bahawa jika MIC
meletakkan calon lain sekali pun, pengundi di sini sudah cukup bijak untuk membuat
pilihan yang terbaik.
Bagaimanapun, undi kaum India mungkin
berpecah jika benar P. Uthayakumar dari Human Rights Party (HRP) bertanding
bagi kerusi Parlimen Kota Raja. Daripada apa yang saya perhatikan di media
sosial sejak beberapa minggu lalu – sebelum Datuk Seri Najib Razak mendapat “keberanian” untuk
mengumumkan pembubaran Parlimen – kempen bagi Uthaya memang hangat.
Namun begitu, timbul juga sedikit
kekeliruan dalam kalangan warga siber kerana “kempen” yang dibuat adalah untuk
menghantar “pemimpin Hindraf” ke Parlimen. Salah seorang pengguna Facebook misalnya bertanya menerusi
komen di akaun seorang lagi pengguna: “Bukankah Uthaya calon HRP; bukannya calon
Hindraf?”
Mungkin juga kempen Uthaya-HRP dibuat
dengan menggunakan “semangat” Hindraf seperti yang dibangkitkan di seluruh
negara sejak Perhimpunan Hindraf pada November 2007.
Agak menarik juga untuk diperhatikan bahawa
Uthaya (tolong jangan keliru antara Uthayakumar dan Uthaya Sankar SB) dilihat
sebagai calon yang bakal mewakili kaum India (minoriti) di Parlimen. Pada
penelitian saya sebagai pengamal media dan pemerhati politik, langkah itu (atau
kempen itu) sebenarnya boleh membahayakan diri sendiri.
Tolak politik perkauman dan agama
Sebagai seorang pengundi, saya akan melihat
pada kemampuan seorang calon mewakili “Bangsa Malaysia” tanpa mengira etnik,
kaum dan agama. Selain daripada itu, saya juga akan meneliti sama ada calon
berkenaan mempunyai penguasaan Bahasa Malaysia yang berpatutan sebelum
layak “mewakili” saya di DUN atau Parlimen.
Tidak lama dahulu, bekas Perdana Menteri,
Tun Mahathir Muhamad pernah menyarankan
bahawa “syaitan yang dikenali adalah lebih baik daripada malaikat yang tidak
dikenali” – dalam konteks peribahasa Inggeris, tentunya.
Bagi saya pula, lebih baik mengundi “calon
yang berwibawa” daripada mengundi “syaitan yang dikenali”. Kalaulah ditakdirkan
sahabat atau saudara-mara saya sendiri bertanding di Parlimen Kota Raja dan DUN
Sri Muda, saya tetap akan memilih “calon yang berwibawa”.
Antara calon yang pasti saya tidak akan
undi – sekiranya ditakdirkan mereka bertanding di kawasan saya dan undi itu
rahsia – adalah kroni-kroni dan sekutu Perkasa, Ridhuan Tee Abdullah dan Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin Albukhary. Begitu juga dengan calon-calon yang hanya mahu berjuang
bagi “Tamil” dan “India” atau agama-agama tertentu.
Nampaknya ada satu gerakan dikenali
“Arus Baru Islam” (ABI) yang meminta orang ramai “undi calon Muslim berwibawa”.
Sekiranya kumpulan itu berpendirian tidak menolak “calon Bukan Islam” (tidak memusuhi
calon Bukan Islam), maka saya boleh menerima saranan mereka – kerana saya juga
menolak calon yang tidak berwibawa tanpa mengira kaum, etnik dan agama.
Bagaiamanpun, sekiranya diperhatikan,
ABI melalui poster kecilnya di ruang siber secara terang-terangan menolak
liberalisme, pluralisme, sekularisme, Syiah, kronisme dan sosialisme. Menolak
kronisme, saya setuju tetapi selebihnya saya tidak bersetuju.
Terdapat juga kumpulan yang berkempen
meminta orang ramai mengundi hanya calon parti politik tertentu dalam usaha
membentuk Negara Islam. Kumpulan ekstrem seperti itu juga tidak akan mendapat
sokongan saya.
Harap maklum bahawa saya tidak menolak
“Negara Islam” dan “pemimpin Islam” tetapi menolak mentaliti kumpulan tertentu
yang fanatik terhadap parti politik tertentu sehingga gagal menyedari realiti
masyarakat (baca: pengundi) pelbagai kaum dan agama di Malaysia.
Momokan yang sering digunakan oleh
“penyokong” BN pula adalah bahawa jika Pakatan Rakyat (PR) membentuk Kerajaan
Pusat, maka Pas akan melaksanakan Hukum Hudud. Momokan itu sesuai bagi
menakut-nakutkan budak-budak hingusan yang tidak tahu apa sebenarnya Hukum
Hudud.
Dalam buku haram “Janji Dicapati” yang diedarkan secara
haram di Batu Caves semasa Thaipusam (27 Januari 2013),
digambarkan bahawa kaki, tangan dan leher semua pesalah akan dikerat/dipotong.
Pembodohan seperti itu pasti tidak boleh mempengaruhi orang ramai yang tahu apa
sebenarnya Hukum Hudud.
Takkan hilang hak Melayu, kaum-kaum lain
Satu lagi kempen kotor yang dijalankan
“penyokong” BN adalah bahawa jika PR memerintah, orang Melayu akan kehilangan kedudukan
istimewa. Kononnya pemimpin DAP akan menjadi Perdana Menteri dan Perlembagaan
Persekutuan akan dipinda sehingga orang Melayu hilang segala hak.
Pembohongan dan penipuan seperti itu hanya
akan “laku” dalam kalangan orang yang tidak tahu bahawa Kedudukan Istimewa
Orang Melayu dan Bumiputera bukan hanya dilindungi Perlembagaan Persekutuan.
Sebenarnya, untuk meminda perkara-perkara
berkaitan Kedudukan Istimewa Orang Melayu dan Bumiputera, bahasa kebangsaan dan
agama rasmi persekutuan, izin (perkenan) perlu didapatkan daripada Majlis
Raja-raja yang terdiri daripada sembilan sultan/raja/yang dipertua Melayu.
Raja-raja Melayu pula sudah menandatangani
tujuh wasiat pada 5 Ogos 1957 di mana wasiat itu
turut menggariskan perkara berkaitan status agama Islam, tanah simpanan Melayu
serta kedudukan istimewa orang Melayu (dan anak negeri Sabah/Sarawak).
Maka, kalaulah
ditakdirkan bahawa Rakyat selaku pengundi yang berhak menentukan kerajaan
memilih untuk menolak BN dan mengangkat PR sebagai Kerajaan Persekutuan, segala
perkara dalam Wasiat Raja-raja Melayu tetap terlindung dan terpelihara.
Bagi penduduk “Bukan
Melayu” pula, perkara ketujuh dalam wasiat itu turut memberi jaminan bahawa
“kepentingan sah kaum-kaum lain” akan dilindungi Raja-raja Melayu. Maka,
perlindungan dijamin oleh Raja-raja Melayu; bukan oleh politikus dan parti
pemerintah yang berebut kuasa dan jawatan.
Ada juga pengguna di
ruang siber (media sosial) yang melihat Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) sebagai persaingan antara Najib dan
Anwar. Sebenarnya, pandangan seperti itu adalah amat dangkal dan masih
menunjukkan mentaliti juak-juak.
PRU-13 sebenarnya
adalah persaingan antara Rakyat dan politikus. Rakyat sebagai “The Third Force” iaitu pihak yang benar-benar berkuasa, perlu memberikan
mesej yang amat jelas kepada politikus bahawa kerajaan dipilih oleh Rakyat
untuk bekerja/berkhidmat bagi Rakyat.
Malah, memandangkan
gelombang “menolak” BN semakin kuat, peluang PR untuk berkuasa semakin
meningkat. Harapan paling minimum saya adalah agar Kerajaan Negeri di Selangor,
Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah kekal; Kerajaan Negeri di Perak dikembalikan
kepada yang berhak (seperti PRU-12); manakala perubahan berlaku di beberapa negeri lain
berikutan kesedaran dalam kalangan Rakyat.
Bagaimanapun, sekiranya
dalam tempoh lima tahun akan datang, PR juga gagal memberikan perkhidmatan
terbaik kepada Rakyat – sama ada pada peringkat negeri atau persekutuan – maka Rakyat
perlu bersedia untuk “menolak” PR.
Itulah sebenarnya demokrasi.
Itulah sebenarnya kuasa Rakyat, suara Rakyat, makkal sakthi, makkal atchi,
marumalarchi, reformasi atau apa
sahaja namanya.
[Uthaya
Sankar SB berkempen menerusi tulisan untuk
menolak mana-mana politikus yang korup dan gagal berkhidmat kepada Rakyat.
Makalah ini ditulis pada 5 April 2013 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 6 April 2013. © Uthaya Sankar SB
2013. Harap maklum bahawa anda membaca
makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]