Demikian
saya kemukakan pertanyaan menerusi Facebook pada 16 Februari 2021 kepada rakan-rakan pelbagai kaum
yang pernah membaca atau belum pernah membaca Bhagavad Gita dalam mana-mana versi atau bahasa.
Maklum
balas rakan-rakan pasti dapat membantu saya dalam usaha memastikan masalah, gangguan,
dan kekangan serupa tiada dalam versi penceritaan semula yang saya usahakan
dalam Bahasa Malaysia. [Maklumat di sini]
“Too deep,” kata Sasitharan SG
yang merasakan kandungan Bhagavad Gita
terlalu dalam dan sukar difahami.
Hakikat ini
dipersetujui Tiru Mohan yang mendapati inti
pati Bhagavad Gita sangat dalam dan
sukar dihayati dengan sempurna jika sloka-sloka
dibaca atau diteliti secara individu (berasingan).
“Apabila
menghadapi masalah sejak peringkat awal dalam memahami pengajaran yang cuba disampaikan,
sekali gus mematahkan semangat untuk meneruskan pembacaan,” katanya.
Dalam hal ini, kata Tiru Mohan, bimbingan dan tunjuk ajar seorang guru atau individu yang arif amat diperlukan supaya pembaca tidak terpesong dalam memahami kandungan Bhagavad Gita yang dibaca.
Bagi Sarra Kings, penghalang utama terletak
pada hakikat penganut sendiri tidak berapa arif tentang Sanatana Dharma.
“Bhagavad Gita juga berkait dengan cerita
Mahabharata,
lantas menyukarkan pemahaman orang ramai sebagai sebuah buku panduan kehidupan.
Ramai juga yang keliru dan mengaitkan Bhagavad
Gita dan Mahabharata dengan
beberapa filem yang ditonton,” kata Sarra Kings.
Menurutnya
lagi, Bhagavad Gita sebuah teks yang
penuh dengan maklumat berkaitan kehidupan sejagat. Kandungannya masih relevan
hingga kini bagi sesiapa yang memahaminya.
Kesemua
pandangan di atas adalah amat bernas dan berasas. Memang kandungan Bhagavad Gita sangat dalam dan tidak mudah
difahami. Akan tetapi, jangan terpengaruh dengan pandangan mana-mana kumpulan yang
cuba menyebarkan “anutan” mereka dengan mengatakan hanya mereka tahu membaca
dan menghurai kandungan Bhagavad Gita.
[Contoh]
Memang tidak salah jika kita mencari seorang guru iaitu pakar Bhagavad Gita untuk membimbing kita memahami teks berkenaan. Hal berkaitan guru, jnana, dan vijnana juga diterangkan oleh Krishna kepada Arjuna di Kurukshetra. Walau bagaimanapun, apabila mencari guru, pastikan jangan tersilap memilih “penunggang agama” seperti kisah Datuk Guluji.
Memang Bhagavad Gita sudah terdapat dalam pelbagai
versi dan pelbagai bahasa di seluruh dunia. Akan tetapi, kebanyakan buku yang
ada memang sukar dihayati, lalu boleh mematahkan semangat untuk meneruskan
pembacaan. Apatah lagi bagi individu ynag baru mahu mengenali teks berkenaan.
Banyak
hal-hal keagamaan Hindu (Sanatana Dharma)
disentuh dalam Bhagavad Gita. Jika
tiada pengetahuan asas, memang agak sukar. Maka, dalam penceritaan semula yang
saya usahakan, saya memastikan ada penjelasan asas yang membantu pemahaman
pembaca, termasuk orang Bukan Hindu yang mungkin tidak tahu apa-apa mengenai Hinduisme.
Saya juga
amat menggalakkan orang ramai membaca buku Thirukkural dan Megha Duta
(2018) serta Ramayana dan Mahabharata
(2019) sebelum membaca buku Bhagavad Gita
(2021). Barulah pembacaan Bhagavad Gita
menjadi lebih mudah dan selesa. Hal ini demikian kerana pelbagai kisah dan nama
yang disebut sekali lalu dalam Bhagavad
Gita boleh dikenali secara mendalam dengan membaca buku-buku berkenaan.
Kita perlu
faham bahawa kisah Mahabharata dan Bhagavad Gita yang disajikan menerusi
televisyen — filem dan drama bersiri — adalah interpretasi seni bagi tujuan hiburan.
Ia bukan sesi pendidikan agama. Malah, setiap mazhab dalam agama Hindu mungkin mempunyai
versi berbeza tentang sesuatu perkara.
Malah, kesemua epik India-Hindu terdapat dalam pelbagai versi yang diubah suai mengikut suasana setempat. Misalnya, apabila Ramayana dan Mahabharata dalam versi asal (Sanskrit) dipersembahkan dalam bahasa Tamil di India, pelbagai modifikasi dilakukan untuk menyesuaikannya dengan masyarakat setempat.
Begitu juga
apabila kedua-dua epik berkenaan dibawa ke pelbagai negara di seluruh dunia.
Kepelbagaian yang dimaksudkan juga boleh diperhatikan pada Hikayat Seri Rama dan Hikayat
Pandawa Lima yang popular di Malaysia, serta Ramakien di Thailand.
“The
authentic name for Hinduism is Sanatana
Dharma, which means Eternal Dharma or Eternal Path. … The ability to
explain its basic philosophies in any age [era], using language and imagery
relative to that age, remains a unique feature of Hinduism.” — Dr. K. Thilagavathi (2004)
Pandangan di
atas mungkin membantu kita memahami dan menerima hakikat kemunculan kitab dan
epik India-Hindu dalam pelbagai versi. Walaupun perubahan dan pengubahsuaian berlaku,
atma atau kandungan dan semangatnya
masih sama.
Sukacita,
segala masalah dan kebimbangan yang diketengahkan oleh ketiga-tiga rakan
seperti di atas sudah diatasi dalam buku Bhagavad
Gita yang dijadualkan terbit pada Jun 2021. [Maklumat lanjut]
Bantahan
dan tentangan akan tetap ada daripada pelbagai pihak yang mungkin menganggap
merekalah “pemegang amanah” bagi Bhagavad
Gita dan Krishna. Apabila buku sudah terbit, mereka bolehlah membaca dari
kulit ke kulit dan membuat tuntutan rasmi kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN)
untuk mengharamkan buku ini; seperti pernah dilakukan Chandrakumanan bagi Malaiur Manikam.
Saya
menggunakan Bahasa Malaysia
yang mudah difahami masyarakat pelbagai kaum, agama, dan latar pendidikan.
Istilah dan konsep Hinduisme, watak-watak dalam epik, dan frasa Sanskrit
dijelaskan dalam cerita itu sendiri.
Buku ini
sesuai bagi bacaan sesiapa sahaja yang berminat untuk mengetahui dan memahami kandungan
teks Bhagavad Gita. Saya tidak
menyampaikannya sebagai sebuah kitab agama. Sebaliknya, disajikan seadanya
sebagai sebuah karya klasik India yang wajar dibaca oleh semua.