4 Jun 2014

Tuhan Untukku, Allah Milikmu?



Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berperanan membantu dan menasihati Sultan Selangor dalam hal-hal berkaitan agama Islam di negeri berkenaan.
 
Fungsi MAIS juga sebagai pihak yang paling berkuasa – selepas Sultan – dalam soal agama Islam di negeri itu. Perkara ini turut dihuraikan pada halaman 36 buku Obligation to Preserve the Sanctity of the Name Allah (2013).
 
Buku berkenaan diedarkan secara percuma bersama-sama buku Pendedahan Agenda Kristian (2014) pada Seminar Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam pada 6 Mei 2014.
 
Wakil MAIS memberitahu wartawan The Malaysian Insider (25 Mei 2014) bahawa buku berkenaan hanya diedarkan kepada masyarakat Islam. Pada hakikatnya, ia diedarkan juga kepada peserta Kristian yang dipaksa menghadiri seminar berkenaan.
 
Saya berpeluang membaca buku itu pada 30 Mei 2014 dan memperoleh pelbagai maklumat menarik. Memandangkan buku tersebut dalam Bahasa Inggeris, mungkin sebahagian khalayak sasaran menghadapi masalah untuk memahami kandungannya.
 
Jika perkara itu berlaku, tentulah usaha dan niat murni MAIS menjadi sia-sia. Tambahan pula, dalam isu kalimah Allah yang menjadi fokus utama buku ini, MAIS menekankan bahawa “penggunaan perkataan Allah dalam Bible versi bahasa Melayu sebenarnya bertujuan memecah-belah (split) orang Melayu-Islam” (halaman 45).
 
Bab 3 dimulakan dengan penerangan kandungan Perkara 4 (1), Perkara 3 (1), Perkara 11 (1), Perkara 11 (4) dan Perkara 11 (5) dalam Perlembagaan Persekutuan. Ia antara lain menyentuh kedudukan Islam sebagai agama persekutuan, hak beragama, dan larangan menyebarkan agama-agama lain kepada orang Islam.
 
Pembaca diingatkan (halaman 18) bahawa penyebaran agama-agama lain, termasuk pengedaran buku atau petikan ajaran selain Islam dalam Bahasa Malaysia kepada orang Islam, serta penggunaan perkataan-perkataan yang berasal daripada ajaran Islam adalah bertentangan dengan peruntukan perlembagaan negara.
 
Turut ditekankan bahawa penggunaan kalimah Allah oleh orang Tidak Islam (Bukan Islam) melanggar Perkara 11 (4) kerana “Allah” dalam konteks keagamaan adalah milik eksklusif Islam. – Makalah ini ditulis pada 1 Jun 2014 dan disiarkan di Projek Dialog pada 4 Jun 2014 [BACA MAKALAH PENUH DI SINI] – [RUJUK PELBAGAI MAKLUMAT TAMBAHAN DI SINI]