2 Jun 2014

Mengekalkan Kesucian Nama Allah

Sewaktu membaca buku Obligation to Preserve the Sanctity of the Name Allah (2013), saya segera teringat akan hujah-hujah yang dikemukakan di mahkamah berhubung kes penggunaan kalimah Allah dalam akhbar mingguan The Herald.
 
Sesiapa yang mengikuti perkembangan kes berkenaan pasti akan lebih memahami perkara ini. Atau boleh sahaja mencari bahan arkib di pelbagai media dalam talian (online) untuk membasahkan ingatan.
 
Zulkifli Noordin dalam suatu tulisan di akhbar Utusan Malaysia (29 Oktober 2013) mengakui bahawa kalimah Allah bukan milik orang Islam, Umno, Pas, Perkasa mahu pun mahkamah. Maka, tentulah tidak wajar melihat isu kalimah Allah dari sudut pihak tertentu sahaja.
 
Bagaimanapun, makalah ini tidak bertujuan berhujah tentang siapakah pemilik kalimah Allah. Tambahan pula, Mahkamah Persekutuan dijangka menyampaikan keputusan kes melibatkan The Herald pada 23 Jun 2014.
 
Saya lebih tertarik untuk membicarakan kandungan buku Obligation to Preserve the Sanctity of the Name Allah terbitan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) yang diedarkan secara percuma kepada peserta Seminar Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam pada 6 Mei 2014.
 
Memandangkan buku itu menggunakan Bahasa Inggeris, maka saya akan menterjemahkan beberapa bahagian untuk manfaat pembaca; khususnya pembaca sasaran iaitu masyarakat Islam; seperti kata pengerusi Mais di bahagian prakata.
 
Bab 6 mengkhusus kepada topik kesan sekiranya kalimah Allah dibenarkan untuk digunakan oleh orang Tidak Islam (Bukan Islam). Menurut Mais, bab ini juga bertujuan membantu pembaca (orang Islam) berdakwah secara lebih intensif kepada golongan Tidak Islam.
 
Dijelaskan di halaman 65 bahawa penggunaan kalimah Allah oleh orang Tidak Islam boleh memberi kesan kepada orang Islam dan Tidak Islam. Jangkaan-jangkaan yang dikemukakan dalam buku ini khabarnya berdasarkan pelbagai insiden yang berlaku di seluruh dunia; walaupun tidak diberikan fakta dan rujukan.
 
Apabila orang Tidak Islam dibenarkan atau dibiarkan menggunakan kalimah Allah, maka ia akan memberi kesan terhadap kepercayaan dan pemikiran orang Islam di Malaysia. Demikian hujah Mais.
 
Seperti biasa, bagaikan orang ketakutan yang sentiasa gerun melihat bayang-bayang sendiri, tidak lupa juga dinyatakan bahawa keadaan itu akan mendedahkan Islam kepada gerakan propaganda yang mahu menjatuhkan Islam. – Makalah ini ditulis pada 31 Mei 2014 dan disiarkan di The Malay Mail Online pada 2 Jun 2014 [BACA MAKALAH PENUH DI SINI] – [RUJUK PELBAGAI MAKLUMAT TAMBAHAN DI SINI]