Maklumat mengenai “Seminar Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara”
anjuran Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM)
sebenarnya sudah saya ketahui sejak bulan lalu.
Akhbar Utusan
Malaysia (21 April 2014) melaporkan pengerusi Mais, Datuk Mohamad Adzib
Mohd Isa sebagai berkata, “ia bertujuan meningkatkan kefahaman masyarakat Islam dan mencari
penyelesaian berhubung isu tersebut (kalimah Allah).”
Kononnya, seminar itu “akan memberi
penjelasan kepada umat Islam tentang isu penggunaan kalimah Allah serta mencari
penyelesaian secara efektif dan menyeluruh untuk menangani masalah yang
timbul.”
Pada waktu itu, dilaporkan bahawa apa yang
bakal berlangsung adalah “satu seminar yang besar dengan melibatkan lebih 5,000
peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat seperti penuntut institusi
pengajian tinggi, pertubuhan bukan kerajaan dan ulama dari seluruh negara.”
Bagaimanapun, apa yang sebenarnya berlaku
pada 6 Mei 2014 ternyata adalah sebaliknya. Bukan sahaja jumlah peserta hanya
sekitar 1,000 orang (berbanding jangkaan 5,000 orang), malah seminar ini
dijadikan medan untuk mempersenda ajaran Kristian dan penganut Kristian secara
keseluruhan.
Sebagai seorang pengamal media, penulis dan pengamal multifaith (percaya pada ajaran semua
agama), saya amat terkejut dan kecewa apabila UiTM bersekongkol dengan Mais
dalam menganjurkan sebuah seminar yang secara terang-terangan berciri
anti-Kristian, anti-perpaduan, berniat jahat serta tidak mengambil kira
sensitiviti masyarakat.
Kandungan seminar berkenaan juga secara
jelas membawa unsur-unsur serta anasir-anasir yang mampu mengancam ketenteraman
awam dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum, agama, etnik,
kepercayaan dan mazhab.
Saya bersama-sama Perzeus James membuat laporan rasmi di
Balai Polis Taman Sri Muda, Shah Alam pada 8 Mei 2014 selepas berpeluang
meneliti laporan berita mengenai seminar itu di beberapa portal berita dalam
talian.
Pada 7 Mei 2014 pula, salinan fotokopi buku
atur cara seminar tersebut diberikan kepada kami oleh seorang individu yang
tidak dikenali semasa kami sedang minum di sebuah restoran.
Maklumat
ini juga telah kami berikan (bersama-sama salinan atur cara tersebut) kepada
pegawai penyiasat jenayah, Inspektor Rohaini Baharom apabila kami dipanggil ke
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada petang 16 Mei 2014. – Makalah ini ditulis pada 17 Mei 2014 dan disiarkan di The Malay Mail Online pada 19 Mei 2014.
[BACA MAKALAH PENUH DI SINI] – [RUJUK PELBAGAI MAKLUMAT TAMBAHAN DI SINI]