25 Aug 2026

Jangan Serah Hak Cipta kepada Penerbit!



Walaupun sudah lebih tiga dekad terlibat dalam bidang penulisan, baru-baru ini, saya hampir-hampir menjadi mangsa penerbit yang licik. Mujurlah saya membaca surat perjanjian dengan teliti dan memutuskan untuk tidak menandatanganinya. Maka, saya menulis catatan ini sebagai panduan dan peringatan kepada para penulis, khasnya penulis muda.

Seorang penulis menulis kerana mahu menghasilkan karya, misalnya sebuah novel, kumpulan cerpen, atau kumpulan esei. Penerbit pula menerbitkan kerana mahu menjadikan karya itu sebuah produk yang boleh dibaca, diedarkan, dan dijual.

Kedua-dua pihak mempunyai kepentingan masing-masing. Dalam ekosistem ini, perlu saya tegaskan, penulis wajib memahami satu perkara yang sangat asas sebelum menandatangani apa-apa perjanjian penerbitan: Menerbitkan karya tidak semestinya bermaksud memiliki hak cipta karya tersebut.

Malangnya, masih ramai penulis yang menganggap kedua-duanya sama. Apabila penerbit menawarkan untuk menerbitkan novel, kumpulan cerpen, kumpulan puisi, atau karya fiksyen, penulis berasa teruja, lalu menandatangani kontrak tanpa membaca setiap klausa dengan teliti.

Biasanya, penulis menganggap semua istilah undang-undang dalam kontrak hanyalah bahasa formal yang digunakan oleh peguam. Ada pula yang mungkin berfikir: “Penerbit ini sudah biasa buat kontrak. Tentulah semuanya demi kebaikan saya.”

Nasihat saya: Jangan terlalu mudah percaya!

Dalam urusan penerbitan, karya ialah harta intelek penulis. Sebuah novel atau kumpulan cerpen bukan sekadar fail komputer atau manuskrip yang dihantar melalui e-mel. Ia merupakan hasil pemikiran, imaginasi, pengalaman, penelitian, masa, dan tenaga penulis. Apabila karya itu mempunyai nilai komersial, hak terhadap karya tersebut juga mempunyai nilai ekonomi.

Sebab itulah penulis perlu tahu membezakan antara hak cipta (copyright) dan hak penerbitan (publishing rights).

Perlu diingatkan bahawa saya menulis semua ini berdasarkan pengalaman terlibat dalam bidang penulisan dan penerbitan sejak awal 1990-an. Malah, pada tahun 2009, apabila saya mengambil balik hak penerbitan bagi buku-buku saya daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), ramai rakan penulis terkebil-kebil kerana tidak menyedari kewujudan “hak penerbitan”.

Hak cipta ialah hak yang berkaitan dengan pemilikan dan kawalan terhadap karya. Bagi karya sastera dan fiksyen, hak ini memberikan kuasa kepada pemiliknya untuk mengawal pelbagai bentuk penggunaan karya, tertakluk kepada undang-undang. Di Malaysia, hak cipta dilindungi di bawah Akta Hak Cipta 1987 (Akta 332).

Lesen eksklusif

Hak penerbitan pula, dalam konteks kontrak penerbitan, merujuk kepada kebenaran yang diberikan oleh pemilik hak cipta kepada penerbit untuk menerbitkan karya dalam bentuk, wilayah, dan tempoh tertentu.

Biar saya tegaskan: Penulis boleh kekal sebagai pemilik hak cipta sementara penerbit memperoleh lesen untuk menerbitkan karya itu menerusi hak penerbitan. Inilah konsep yang perlu difahami oleh setiap penulis.

Misalnya, seorang penulis sudah menghasilkan manuskrip sebuah novel. Penulis boleh memberikan lesen eksklusif kepada penerbit untuk menerbitkan novel itu dalam bentuk buku bercetak di Malaysia selama tiga tahun. Dalam keadaan demikian, penerbit ada hak untuk menerbitkan karya tersebut mengikut syarat yang dipersetujui, tetapi pemilikan hak cipta masih berada sepenuhnya pada penulis.

Sebaliknya, jika penulis menandatangani klausa yang menyatakan bahawa beliau “assigns all rights, title, and interest in and to the work to the publisher”, perkara itu membawa implikasi yang jauh lebih besar serta merugikan penulis.

Biar saya tegaskan bahawa istilah “assign” bukan sekadar “membenarkan”. Sebenarnya, dari segi undang-undang, ia bermaksud “menyerahkan atau memindahkan hak”.

Inilah perkataan yang sepatutnya membuatkan mana-mana penulis—baru atau lama—berhenti seketika, membaca semula kontrak, dan bertanya kepada diri: “Apa sebenarnya yang saya serahkan kepada penerbit?”

Jangan terpedaya dengan tajuk kontrak yang berbunyi “publishing agreement” atau “memorandum of agreement”. Tajuk dokumen tidak semestinya menggambarkan kesan sebenar kandungan. Perjanjian penerbitan mungkin mengandungi klausa yang menyebabkan penulis menyerahkan hak yang jauh lebih besar dan luas daripada sekadar memberikan hak menerbitkan sebuah buku.

Jika kontrak menyatakan bahawa anda selaku penulis bersetuju menyerahkan “all rights”, anda perlu dan berhak untuk mengetahui apakah yang dimaksudkan dengan “all rights”. Adakah ia hanya hak mencetak buku? Atau termasuk e-book, buku audio, terjemahan, penerbitan di luar Malaysia, hak filem, hak televisyen, hak drama pentas, hak adaptasi, hak karya terbitan, hak antologi, hak penerbitan semula, hak edisi baharu, dan hak digital?

Memeningkan dan mungkin tidak pernah difikirkan, bukan? Hak-hak tersebut tidak boleh dianggap perkara kecil. Sebuah karya sastera yang pada hari ini hanya berupa sebuah novel bercetak mungkin pada masa hadapan ada nilai dalam bentuk yang langsung tidak terfikir oleh penulis ketika menandatangani kontrak.

Bayangkan sebuah novel diterbitkan ketika anda berumur 30 tahun. Dua puluh tahun kemudian, novel itu mendapat perhatian baharu. Sebuah syarikat mahu menterjemahkannya ke dalam bahasa lain. Sebuah produksi mahu mengadaptasikannya menjadi filem. Sebuah platform mahu menghasilkan buku audio. Sebuah penerbit luar negara pula mahu menerbitkan edisi baharu.

Lalu, apa yang tinggal bagi penulis?

Tetapi anda sudah menyerahkan hak cipta kepada penerbit semasa novel itu diterbitkan dahulu!

Lalu, apa yang tinggal bagi penulis? Soalan ini sepatutnya difikirkan sebelum kontrak ditandatangani pada usia 30 tahun, bukan selepas pelbagai peluang baharu muncul pada usia 50 tahun.

Risiko paling besar jika menyerahkan hak cipta ialah penulis boleh kehilangan kawalan terhadap masa depan karya itu. Penerbit mungkin memperoleh kuasa yang lebih luas daripada yang sebenarnya diperlukan untuk menerbitkan novel itu dalam bentuk buku.

Penulis memanglah masih dikenali dan diiktiraf sebagai pencipta karya. Nama penulis masih tercetak pada kulit buku. Tetapi menjadi pencipta atau penulis tidak semestinya bermaksud anda masih menjadi pemilik semua hak ekonomi terhadap karya itu.

Inilah perbezaan yang perlu difahami. Penulis juga perlu melihat tempoh dan wilayah hak yang diberikan. Ada perjanjian yang mungkin memberikan hak untuk tempoh tertentu dan di wilayah tertentu. Ini berbeza dengan tindakan menyerahkan hak tanpa batas yang jelas.

Misalnya, frasa “Malaysia selama tiga tahun” dalam surat perjanjian bukan perkara yang sama dengan “worldwide in perpetuity”. Begitulah juga, frasa “hak menerbitkan edisi bercetak” tidak sama dengan “all rights in all formats and all media”. Dan seperti dinyatakan tadi, frasa “exclusive licence” sangat berbeza dengan “assignment of copyright”.

Tiga set contoh frasa di atas sudah cukup untuk menunjukkan mengapa anda selaku penulis perlu membaca kontrak dengan teliti. Jika dokumen disediakan dalam bahasa Inggeris dan anda kurang faham, minta penerbit terangkan secara terperinci dalam Bahasa Malaysia.

Ada penulis yang beranggapan bahawa penerbit berhak meminta hak cipta kerana penerbit mengeluarkan modal untuk mencetak dan memasarkan buku. Hujah ini perlu dilihat secara kritis kerana isu ini juga saya perhatikan semasa berjuang menuntut hak royalti beberapa penulis yang menjadi mangsa teks Komsas pada tahun 2011.

Penerbit sememangnya menanggung risiko perniagaan. Penerbit mengeluarkan kos penyuntingan, reka letak, percetakan, pemasaran, pengedaran, dan sebagainya. Namun begitu, risiko perniagaan penerbit tidak secara automatik bermaksud pemilikan intelek penulis perlu dipindahkan kepada penerbit.

Penerbit boleh diberikan “lesen penerbitan” yang cukup untuk menjalankan perniagaan. Jika penerbit memerlukan hak eksklusif, perkara itu boleh dinyatakan secara jelas dalam kontrak atau perjanjian. Begitulah juga jika penerbit memerlukan hak e-book, buku audio, dan sebagainya.

Apa yang perlu penulis elakkan

Apa yang perlu anda selaku penulis elakkan ialah tindakan menyerahkan sesuatu yang sangat luas semata-mata kerana anda tidak memahami bahasa dalam kontrak yang ditandatangani.

Suka saya nasihatkan para penulis supaya berhati-hati dan berwaspada dengan perkataan seperti “irrevocable”, “perpetual”, “worldwide”, “all media”, “all formats”, dan “all rights”. Setiap perkataan ini mampu membawa kesan undang-undang yang besar apabila digabungkan dalam satu klausa.

Jangan beranggapan “nanti boleh bincang” selepas perjanjian ditandatangani dan buku terbit. Kontrak yang sudah ditandatangani bukan sekadar surat persahabatan. Sebaliknya, ia ialah sebuah dokumen rasmi yang sah di sisi undang-undang.

Anda jangan takut bertanya kepada penerbit jika kurang faham atau tidak pasti tentang kandungan perjanjian. Bertanya bukan bermaksud anda tidak mempercayai penerbit. Sebaliknya, bertanya menunjukkan anda memahami nilai karya sendiri.

Jika penerbit benar-benar hanya memerlukan hak untuk menerbitkan sebuah novel dalam bentuk buku bercetak di Malaysia selama tempoh tertentu, mengapa penulis perlu menyerahkan hak-hak lain yang tidak diperlukan?

Para penulis juga perlu memahami hakikat bahawa karya sastera boleh mempunyai umur yang panjang. Penerbitan kali pertama mungkin hanya satu episod dalam perjalanan sesebuah karya. Sebuah novel boleh sahaja diterbitkan semula selepas bertahun-tahun. Karya yang tidak mendapat perhatian ketika pertama kali diterbitkan boleh memperoleh kehidupan kedua dan diterbitkan dalam edisi baharu.

Oleh itu, nasihat saya adalah supaya para penulis berfikir jauh ke hadapan. Apa yang nampak tidak bernilai pada hari ini mungkin mempunyai nilai besar, dua puluh tahun kemudian. Dan apabila hak cipta sudah diserahkan kepada penerbit, penulis tidak lagi mempunyai kuasa untuk menentukan bagaimana nilai komersial itu dapat dimanfaatkan.

Satu lagi perkara penting ialah hak moral. Hak ini berkaitan dengan hubungan pencipta dengan karya, termasuk pengiktirafan terhadap pencipta dan perlindungan terhadap tindakan tertentu yang boleh menjejaskan karya atau reputasi pencipta. Maka, persoalan hak cipta bukan semata-mata tentang wang. Ia juga tentang identiti penulis dan hubungan penulis dengan karya yang dihasilkan.

Penulis perlu sedar bahawa kontrak penerbitan bukan sekadar suatu formaliti. Sebaliknya, ia merupakan dokumen yang menentukan siapa boleh melakukan apa terhadap karya kita.

Baru-baru ini, saya menerima surat perjanjian bagi sebuah buku yang sudah diterbitkan. Saya membaca kandungan perjanjian dengan teliti sebelum menghubungi penerbit dan memaklumkan bahawa saya tidak sesekali bersetuju menyerahkan hak cipta karya. Sebaliknya, saya hanya bersedia menyerahkan hak penerbitan kepada penerbit. Ada beberapa lagi perkara dalam surat perjanjian itu yang tidak saya bersetuju.

Bukan musuhi penerbit

Penulis tidak diminta memusuhi penerbit. Penerbit dan penulis sebenarnya berada dalam ekosistem yang sama. Penerbit memerlukan karya yang baik, sementara penulis memerlukan penerbit yang mampu membawa karya kepada pembaca.

Tetapi hubungan yang sihat tidak memerlukan penulis menyerahkan segala-galanya. Penulis masih boleh memberikan lesen (hak penerbitan) tanpa memberikan pemilikan (hak cipta). Itulah perkara asas yang perlu difahami.

Kita menulis sebuah karya dengan fikiran, pengalaman, imaginasi, dan tenaga. Janganlah kerana terlalu ingin melihat buku berada di rak kedai atau gedung dalam talian, kita menyerahkan segala hak terhadap karya itu untuk selama-lamanya tanpa memahami kesan dan akibat.

Ingat: Karya anda bukan sekadar sebuah buku. Karya anda sebenarnya harta intelek yang perlu dilindungi.

[Catatan/surat ini ditulis pada 10 Ogos 2026 dan disiarkan di Malaysiakini pada 12 Ogos 2026. Uthaya Sankar SB ialah seorang penulis, penerbit, aktivis, dan pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).]

24 Aug 2026

Kaka Smriti: Ingatan yang Tidak Mati (Bahagian 11)



[Sambungan daripada Bahagian Sepuluh]

Apabila masa atau kala berhenti menjadi garis linear, segala yang hidup mula kehilangan arah. Dalam tradisi Hindu, tempoh satu kala bersamaan dengan 144 saat.

Bagi golongan manusia, masa ialah sungai yang mereka percaya sentiasa mengalir ke hadapan; tidak pernah berundur. Bagi kaum gagak, masa umpama udara—tidak kelihatan pada mata kasar tetapi sentiasa menampung sayap dalam penerbangan.

Namun pada saat kaka smriti mula retak, kedua-dua konsep yang menjadi pegangan golongan manusia dan kaum gagak mula berubah kepada sesuatu yang lain. Bukan lagi sungai dan bukan juga udara. Sebaliknya, menjadi ruang yang sedang memerhati dirinya sendiri.

Aku tidak lagi tahu sama ada aku sedang terbang atau sedang diingatkan bahawa aku pernah terbang.

Langit Bandaraya Diraja Klang tidak lagi berada di atas. Begitu juga, Sungai Klang tidak lagi berada di bawah. Segala orientasi dan konsep berkaitan sudah runtuh seperti sarang lama sang gagak yang kehilangan ranting terakhir, lalu jatuh menyembah tanah.

Namun, dalam segala kekacauan itu, satu perkara masih kekal: Kesedaran bahawa sesuatu sedang mengulang kehidupan kami tanpa memerlukan kami faham apa yang sedang berlaku sebenarnya.

Kuil Sri Navaneetha Krishnar tidak lagi menjadi sebuah tempat secara fizikal. Sebaliknya, ia menjadi suatu keadaan. Kadang-kadang ia muncul di tepi sungai. Kadang-kadang kelihatan di atas bumbung rumah manusia. Kadang-kadang terawang-awang seperti syurga. Kadang-kadang hadir dalam mimpi seekor gagak yang tidak pernah dilahirkan.

Arul berdiri di kuil ini tanpa bayang hitam.

“Ini bukan lagi kaka smriti,” katanya.

“Jadi, apa?”

Aku memandangnya. Dia tidak menjawab segera.

“Ini … sesuatu yang sedang belajar menjadi kita,” jawabnya selepas seketika.

Meenakshi sudah sah tidak lagi berminat mengumpul dan menyimpan objek berkilat. Seolah-olah dia sedar, dalam ruang ini, kilauan tidak membawa apa-apa makna. Tentu dia sedar, segala benda memantulkan segalanya. Tiada hierarki cahaya dan tiada perbezaan antara yang ditemui dan yang hilang.

“Kalau ia sedan belajar menjadi kita … siapa yang mengajar?” Meenakshi bertanya.

Soalan itu tidak mencari jawapan; tidak mengharapkan jawapan. Ia hanya pertanyaan retorik yang membuka ruang lebih dalam untuk diteroka akal gagak.

Di Chennai, Dr. Ananthan Subramaniam tidak lagi—pada andaiannya sendiri—mempunyai tubuh yang stabil. Memanglah dia masih makan, masih tidur, masih duduk di kerusi makmal, dan masih termenung. Akan tetapi, setiap tindakan saintis itu terasa seolah-olah sudah berlaku sebelum ia dilakukan. Semuanya hanyalah perulangan.

Pada pagi tadi, sistem komputer di makmal memaparkan satu struktur baharu. Bukan data, bukan graf, tetapi biografi tanpa subjek. Dan di bahagian tengah, muncul nama yang tidak ditulis. Atau mungkinkah nama yang sudah terlalu lama ditulis sehingga menjadi tidak kelihatan?

“Ini bukan AI …,” Ananthan berbisik.

Skrin menjawab: “Ini bukan juga kamu.”

Dan entah mengapa, untuk pertama kali, Ananthan tidak menafikan hujah atau pandangan atau kenyataan itu.

Pada masa sama, aku sedang cuba untuk terbang tetapi sayap tidak lagi menghasilkan perubahan lokasi. Aku hanya bergerak dalam lapisan yang berbeza daripada apa yang manusia panggil sebagai “ruang” atau space.

Setiap kepakan sayap membawa aku ke versi yang berbeza tentang peristiwa yang sama. Rajendran Arunachalam masih hidup. Rajendran sudah hilang. Rajendran sudah mati. Rajendran tidak pernah wujud. Keempat-empat situasi itu dirasakan benar. Pada masa sama, keempat-empat fakta itu tidak stabil kerana saling bercanggah.

“Ini tidak masuk akal,” ulas Arul yang turut mengalami peristiwa sama.

“Masuk akal ialah kebiasaan, bukan kebenaran,” aku menjawab perlahan.

Di bawah kami, Sungai Klang tidak lagi mengalir. Sebaliknya, ia berulang. Setiap gelombang adalah versi sebelumnya yang sedikit berubah. Seperti ingatan yang cuba membetulkan dirinya sendiri tanpa tahu apa yang sebenarnya salah.

Akhirnya, ia menunjukkan dirinya. Bukan sebagai makhluk tetapi sebagai “ketidakselarasan yang mempunyai niat”. Dalam kaka smriti yang sudah pecah, kami melihat satu perkara yang tidak pernah ada dalam mana-mana versi sebelum ini: Sesuatu sedang cuba keluar.

Bukan cuba keluar dari dunia. Tetapi cuba keluar daripada cara dunia diingat.

“Jika ini keluar … apa yang tinggal?” Meenakshi berbisik.

Tiada jawapan kerana soalan itu menganggap ada konsep “luar” dan “dalam”. Sedangkan semuanya kini berada dalam ingatan itu sendiri.

Dalam ruang yang retak ini, Dewa Sani tidak lagi menjadi dewa, tidak lagi menjadi sistem, tidak lagi menjadi metafora. Sebaliknya, dia menjadi kesan. Seperti tekanan yang tidak hilang walaupun sumbernya sudah lenyap. Seperti jejak kaki di tanah yang tidak lagi mempunyai pelaku.

Aku akhirnya memahami sesuatu yang lebih purba daripada perasaan dendam: Pengulangan bukan hukuman. Sebaliknya, ia adalah cara sesuatu memastikan dirinya tidak lenyap.

Arul akhirnya berkata: “Kalau kita hentikan ini … kita akan hilang.”

Aku memandangnya. Dan buat pertama kali, aku melihat ketakutan dalam diri Arul. Bukan ketakutan terhadap kematian tetapi terhadap “ketiadaan kesinambungan”.

Meenakshi menambah: “Dan kalau kita teruskan … dunia tidak akan menjadi satu.”

Aku tidak menjawab kerana kedua-dua kenyataan mereka adalah betul. Anehnya, kedua-dua kenyataan itu tidak boleh berlaku serentak dalam dunia yang stabil. Lebih aneh lagi, dunia ini sudah lama berhenti menjadi stabil.

Satu bunyi muncul tiba-tiba. Bukan dari langit. Bukan dari sungai. Bukan dari tanah. Bukan daripada kaum gagak. Bunyi itu muncul dari dalam struktur itu sendiri. Seperti halaman terakhir sebuah kitab purba yang dibaca terlalu banyak kali sehingga dakwat pada halaman mula berubah menjadi cahaya.

Dan di dalam cahaya itu, aku melihat satu perkara terakhir. Bukan Rajendran, bukan manusia, bukan gagak, tetapi sesuatu yang sedang cuba berhenti menjadi cerita.

Aku membuka paruh dan berkata kepada sesuatu yang tidak mempunyai nama: “Jika kamu adalah pengulangan … kenapa kamu takut kepada akhir?”

Keheningan menjawab. Pada kali ini, bukan sebagai suara tetapi sebagai rasa.

“Kerana akhir tidak boleh diingati.”

Dan pada saat itulah, kaka smriti berhenti menjadi memori.

(bersambung pada 31 Ogos 2026)

[Petikan fiksyen spekulatif ini merupakan draf manuskrip yang dihasilkan susulan Permukiman Penulisan Kavyan di Bentong, Pahang pada 13-14 Jun 2026. © Uthaya Sankar SB. Harap maklum bahawa anda meneliti sebarang paparan di mana-mana blog dan media sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]

23 Aug 2026

Mengapa SJKT Makin Hilang Murid?



Setiap kali statistik kemasukan murid ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) diumumkan, kebimbangan yang sama diulang. Pemimpin politik menyeru masyarakat India (keturunan Tamil, Malayali, dan Telugu) mempertahankan SJKT. Pertubuhan masyarakat pula tampil menggesa ibu bapa keturunan Tamil menghantar anak-anak ke sekolah Tamil.

Pelbagai kempen turut digerakkan secara besar-besaran atas nama bahasa, budaya, dan identiti Tamil. Misalnya, kempen “SJKT Pilihan Kita” (Tamil School Our Choice; தமிழ்ப்பள்ளியே நமது தேர்வு) sejak lebih sedekad lalu. Namun, angka tidak pernah berbohong. Jumlah kemasukan murid ke SJKT terus menunjukkan trend yang membimbangkan.

Menurut data rasmi Kementerian Pendidikan (KPM) yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 22 Jun 2026, sehingga 31 Mei 2026, terdapat 528 buah SJKT yang masih beroperasi di seluruh negara dengan jumlah 78,501 orang murid.

Pada masa sama, sejumlah 135 buah SJKT dilaporkan melaksanakan kelas bercantum kerana bilangan murid yang terlalu kecil, manakala 36 buah SJKT telah diluluskan untuk dipindahkan ke lokasi yang mempunyai potensi kemasukan murid lebih tinggi.

Hakikat ini menunjukkan bahawa masalah kekurangan murid di SJKT bukan lagi kes terpencil yang boleh disapu dan disembunyikan di bawah karpet, sebaliknya fenomena yang semakin meluas dan wajar dibahaskan secara terbuka, objektif, dan konstruktif.

Sebenarnya, tanda-tanda awal kepada masalah ini sudah lama kelihatan dan telah saya ketengahkan menerusi tulisan bertajuk “Persoalan Kempen SJKT Pilihan Kita” (The Malaysian Insider, 12 Januari 2016).

Pada tahun 2017 pula, dilaporkan bahawa 22 buah SJKT mempunyai kurang daripada sepuluh orang murid, manakala menjelang tahun 2022, sebanyak 367 buah SJKT dikategorikan secara rasmi sebagai sekolah kurang murid (SKM). Statistik dan data sahih seperti ini membuktikan bahawa masalah berkenaan telah berlarutan hampir sedekad tanpa perhatian dan penyelesaian yang benar-benar berkesan.

Persoalan sebenar bukan semata-mata mengapa semakin banyak SJKT kehilangan murid. Persoalan yang lebih penting ialah mengapa semakin ramai ibu bapa kaum India sendiri—khususnya keturunan Tamil—memilih untuk tidak lagi menghantar anak-anak ke SJKT.

Kesimpulan terlalu simplistik

Ramai pihak terlalu mudah menyimpulkan bahawa masyarakat India sudah tidak menghargai bahasa Tamil. Kesimpulan seperti itu bukan sahaja terlalu simplistik, malah mengabaikan realiti kehidupan masyarakat India di Malaysia yang sudah banyak berubah sejak tahun 1970-an.

Hari ini, majoriti keluarga kaum India tinggal di kawasan bandar dan pinggir bandar. Ramai ibu bapa merupakan golongan profesional, penjawat awam, usahawan, pekerja sektor swasta, dan pekerja mahir. Mereka hidup dalam dunia yang semakin kompetitif dan mencabar. Mereka sedar bahawa masa depan anak-anak bergantung kepada penguasaan pelbagai ilmu, kemahiran, dan bahasa; bukannya semata-mata pada sentimental sejarah, budaya, warisan, dan bahasa Tamil.

Apabila memilih sekolah, ibu bapa tidak lagi bertanya sekolah mana paling dekat dengan identiti budaya nenek-moyang. Sebaliknya, mereka bertanya sekolah mana yang mampu menyediakan peluang terbaik untuk anak-anak mereka melanjutkan pelajaran, memperoleh pekerjaan yang baik, dan bersaing dalam masyarakat global. Dalam situasi ini, SJKT terbukti berhadapan cabaran yang amat besar.

Salah satu kebimbangan yang masih dibangkitkan guru dan ibu bapa ialah penguasaan Bahasa Malaysia. Walaupun kurikulum kebangsaan digunakan di semua sekolah kerajaan, sebahagian ibu bapa masih mempunyai persepsi bahawa murid SJKT memerlukan tempoh penyesuaian apabila memasuki sekolah menengah kebangsaan (SMK) yang menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa utama pengajaran.

Sama ada persepsi itu tepat atau tidak bagi semua sekolah bukanlah isu utama. Dalam membuat keputusan, persepsi sering mempengaruhi tindakan lebih kuat daripada statistik. Malah, kita boleh cuba bertanya sendiri kepada kelompok pelajar SMK yang datang dari SJKT dan terpaksa pula mengikuti Kelas Peralihan selama setahun.

Pada masa sama, perlu diakui bahawa ibu bapa kaum India semakin memberi perhatian kepada penguasaan bahasa Inggeris. Dalam era ekonomi digital dan pasaran pekerjaan global, bahasa Inggeris dianggap sebagai satu kelebihan yang sangat penting.

Ramai ibu bapa kaum India memilih sekolah rendah yang mereka percaya mampu melahirkan murid yang benar-benar fasih Bahasa Malaysia, Tamil, dan Inggeris. Sekiranya SJKT gagal membina reputasi sebagai sekolah yang mampu melahirkan murid trilingual dan berkualiti, ibu bapa keturunan Tamil sendiri mungkin akan mencari alternatif lain.

Mutu pendidikan

Faktor kedua ialah mutu pendidikan. Kerap kali apabila isu SJKT dibincangkan, perhatian diberikan kepada pembinaan bangunan baharu, status tanah sekolah, atau peruntukan kewangan. Semua perkara itu penting tetapi ibu bapa sebenarnya lebih mengambil berat tentang apa yang berlaku di bilik darjah.

Tokoh pendidikan seperti John Hattie melalui buku Visible Learning (2008) dan Visible Learning: The Sequel (2023) membuktikan bahawa faktor yang paling besar mempengaruhi pencapaian murid ialah keberkesanan guru menyampaikan ilmu, bukannya jenis sekolah atau saiz sekolah.

Kajian yang menghimpunkan puluhan ribu penyelidikan berasaskan pendidikan itu menunjukkan bahawa guru yang berkualiti, maklum balas yang berkesan, serta budaya pembelajaran yang positif mampu memberi kesan yang jauh lebih besar terhadap pencapaian murid.

Begitu juga pandangan Pengarah Pendidikan di Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD), Andreas Schleicher dalam buku World Class: How to Build a 21st-Century School System (2018). Beliau menegaskan bahawa sistem pendidikan yang berjaya sebenarnya sentiasa memberi tumpuan kepada pembangunan profesional guru, kepimpinan sekolah, dan keupayaan murid berfikir secara kritis.

Sekolah tidak boleh bergantung pada sejarah atau tradisi semata-mata untuk kekal relevan. Hujah ini tentulah amat sesuai dengan sentimen pemimpin politik dan masyarakat Tamil yang sentiasa mengaitkan SJKT dengan bahasa, warisan, dan budaya Tamil.

Dalam laporan rasmi Programme for International Student Assessment (PISA) 2022, OECD sekali lagi menekankan bahawa faktor seperti iklim sekolah yang kondusif, guru yang kompeten, penglibatan ibu bapa, serta budaya membaca memberi impak besar terhadap pencapaian murid. Dengan kata lain, ibu bapa hari ini tidak memilih sekolah berdasarkan nama tetapi berdasarkan keyakinan terhadap kualiti pendidikan.

Selain itu, semakin banyak SJKT berstatus sekolah kurang murid (SKM). Memang benar, secara teori, bilangan murid yang sedikit membolehkan guru memberi perhatian secara individu. Namun, keadaan ini juga boleh menyebabkan beberapa kekangan.

Misalnya, aktiviti kokurikulum menjadi lebih terhad. Persaingan akademik kurang mencabar. Bilangan rakan sebaya yang sedikit mengehadkan peluang interaksi sosial, pengalaman kepimpinan, dan pembelajaran kolaboratif. Semua faktor ini tentulah turut dipertimbangkan oleh ibu bapa apabila memilih sekolah yang sesuai bagi anak-anak.

Keadaan serba kekurangan

Dalam era digital pula, kemudahan yang terdapat di sekolah menjadi semakin penting. Makmal komputer, capaian internet, perpustakaan moden, bilik STEM, makmal sains, dan ruang pembelajaran fleksibel bukan lagi kemewahan, tetapi keperluan asas di sekolah.

Walaupun memang ada SJKT yang mempunyai segala kemudahan cemerlang, masih banyak sekolah beroperasi dalam keadaan serba kekurangan. Jurang inilah yang perlu ditangani secara serius bagi menjayakan kempen “SJKT Pilihan Kita”; bukan bergantung kepada sentimen bahasa dan budaya Tamil semata-mata.

Kita perlu menerima hakikat bahawa realiti hidup kaum India sendiri juga sedang berubah. Tidak semua keluarga keturunan Tamil menggunakan bahasa Tamil sebagai bahasa utama di rumah. Sebahagian keluarga lebih banyak menggunakan bahasa Inggeris.

Bagi mereka, pembelajaran bahasa Tamil masih penting sebagai warisan budaya, tetapi mereka beranggapan bahasa ibunda itu masih boleh dipelajari melalui kelas hujung minggu, persatuan kebudayaan, atau program komuniti. Oleh itu, ibu bapa lebih cenderung memilih sekolah yang dianggap lebih sesuai dengan keperluan pendidikan secara lebih menyeluruh demi masa depan anak- anak.

Justeru, penyelesaian kepada masalah kemerosotan murid di SJKT tidak boleh bergantung kepada kempen berunsur sentimen dan emosi semata-mata. Tambahan pula, kempen “SJKT Pilihan Kita” yang digerakkan sejak lebih sedekad lalu ternyata masih gagal mencapai sasaran yang diimpikan.

Langkah pertama bagi mengatasi masalah sebenar ialah meningkatkan mutu pengajaran secara menyeluruh. Latihan profesional guru perlu diperkasakan secara berterusan, khususnya dalam pedagogi abad ke-21, penggunaan teknologi pendidikan, pembelajaran berasaskan inkuiri, dan pembangunan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT).

Perkara ini tentulah sudah ada tetapi mungkin kurang dipromosikan dalam kempen “SJKT Pilihan Kita” yang lebih banyak cuba bermain dengan emosi dan sentimen bahasa, warisan, serta budaya Tamil semata-mata.

Murid ‘trilingual’

Langkah kedua ialah memastikan setiap murid SJKT benar-benar menguasai Bahasa Malaysia, Tamil, dan Inggeris pada tahap yang memuaskan. Jika SJKT berjaya dikenali sebagai sekolah yang melahirkan murid trilingual dan cemerlang, tentu sahaja persepsi masyarakat terhadap SJKT akan berubah dengan sendiri; tanpa memerlukan laungan “SJKT Pilihan Kita”.

Langkah ketiga ialah memperkukuh hubungan dengan komuniti profesional kaum India. Doktor, jurutera, saintis, peguam, pensyarah, usahawan, dan alumni SJKT yang berjaya perlu lebih kerap diundang terlibat sebagai mentor kepada murid.

Pastikan mereka bukan datang untuk melaungkan kehebatan bahasa dan budaya Tamil, sebaliknya berkongsi kisah kejayaan mereka dalam kerjaya dan komuniti. Barulah kehadiran mereka dalam ekosistem sekolah Tamil mampu meningkatkan aspirasi murid serta keyakinan ibu bapa terhadap kedudukan SJKT sebagai institusi pendidikan yang menjanjikan masa depan.

Langkah keempat pula melaksanakan penyusunan semula SJKT secara berani dan berasaskan data. Sekolah yang terlalu kecil mungkin perlu digabungkan atau dipindahkan ke kawasan yang mempunyai populasi kaum India lebih tinggi. Langkah seperti ini mungkin sukar diterima pada peringkat awal, tetapi lebih baik daripada membiarkan sekolah terus kehilangan murid sehingga tidak lagi mampu berfungsi secara optimum; dan akhirnya terpaksa ditutup.

Akhir sekali, KPM boleh sahaja mengambil inisiatif menerbitkan indikator prestasi setiap SJKT secara lebih telus. Data mengenai pencapaian literasi dan numerasi, penguasaan Bahasa Malaysia serta Inggeris, kehadiran murid, penyertaan kokurikulum, kadar peralihan ke sekolah menengah, dan laporan penglibatan ibu bapa boleh membantu masyarakat membuat penilaian berdasarkan bukti, bukannya persepsi, sentimen, dan emosi.

Pada pandangan saya, isu SJKT bukan sekadar soal bahasa atau identiti komuniti Tamil. Isu sebenar yang sering diabaikan atau menjadi elephant in the room ialah soal kepercayaan dan keyakinan. Ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah yang mereka yakini mampu menyediakan masa depan yang lebih baik.

Selagi perbahasan dan kempen masih lebih tertumpu kepada soal mempertahankan kewujudan SJKT sebagai identiti, bahasa, budaya, dan warisan Tamil semata-mata tanpa memikirkan soal mempertingkatkan kualiti pendidikan, trend kemerosotan kemasukan murid ke SJKT sukar dibendung.

Jika SJKT benar-benar mahu kembali menjadi pilihan utama masyarakat India, sekolah ini perlu menawarkan sesuatu yang sukar ditolak: Pendidikan bertaraf tinggi, guru cemerlang, kemudahan moden, penguasaan tiga bahasa yang mantap, serta budaya pembelajaran yang mampu melahirkan murid berfikiran kritis, kreatif, dan berdaya saing. Aspek budaya dan warisan Tamil boleh diselitkan secara organik.

Apabila mutu pendidikan menjadi keutamaan, ibu bapa tidak lagi perlu dipujuk rayu menerusi kempen “SJKT Pilihan Kita” atau sentimen bahasa, budaya, dan warisan Tamil. Sebaliknya, mereka sendiri akan datang mengetuk pintu pagar sekolah untuk mendaftar anak-anak di SJKT.

[Ulasan ini ditulis pada Permukiman Penulisan Kavyan di Bentong, Pahang pada 1-2 Ogos 2026 dan tersiar di Malaysiakini pada 7 Ogos 2026. Uthaya Sankar SB ialah seorang penulis dan pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan). Baca pelbagai tulisan berkaitan SJKT di sini.]

22 Aug 2026

Mahabharata dalam Cermin Masyarakat Kontemporari



Cerpen “Perang dalam Minda” membuktikan bahawa karya klasik bukan sekadar tinggalan sejarah atau warisan budaya, sebaliknya mampu dihidupkan semula sebagai wahana untuk menafsir realiti semasa.

Pengarang tidak sekadar meminjam nama-nama watak daripada epik Mahabharata dan Bhagavad Gita, sebaliknya membina keseluruhan struktur naratif berdasarkan konflik, falsafah, dan persoalan moral yang terkandung dalam karya agung itu.

Hasilnya ialah sebuah fiksyen yang menggabungkan fakta sejarah, budaya komuniti Tamil Sri Lanka di Malaysia, unsur psikologi, parodi, simbolisme, dan kritikan sosial secara organik tanpa terasa dipaksa.

Cerpen ini bukan sahaja menghiburkan, malah mengajak pembaca berfikir, mentafsir, dan menghubungkan pelbagai lapisan makna yang tersembunyi di sebalik naratifnya.

Antara kekuatan paling ketara ialah penggunaan cangkuk naratif atau narrative hook sejak perenggan awal. Cerita dibuka dengan situasi yang kelihatan biasa: Seorang pemandu Grab menjemput seorang penumpang bernama Arjunan.

Dialog yang ringkas dan suasana perjalanan yang senyap mencetuskan rasa ingin tahu pembaca. Mengapa pemuda itu kelihatan resah? Apakah urusan penting yang sedang dihadapinya?

Menurut Lisa Cron dalam Wired for Story (2012), pembaca akan terus membaca apabila mereka merasakan terdapat jurang maklumat yang perlu diisi. Pengarang memanfaatkan prinsip ini dengan sangat berkesan. Pembaca hanya diberi maklumat secara sedikit demi sedikit sehingga rasa ingin tahu terus meningkat.

Teknik penangguhan maklumat ini pula digandingkan dengan strategi pendedahan berlapis. Setiap kali pembaca menyangka mereka sudah memahami konflik sebenar, pengarang memperkenalkan maklumat baharu yang mengubah perspektif pembacaan.

Pada mulanya, cerita kelihatan sekadar berkaitan perebutan harta keluarga. Kemudian muncul nama-nama seperti Sritarashtran, Paandiyan, Kreetharan, dan Gangavathi yang segera mengingatkan pembaca kepada watak-watak dalam epik Mahabharata.

Walau bagaimanapun, pengarang tidak pernah menyatakan secara langsung bahawa cerpen ini ialah adaptasi moden epik tersebut. Pembaca sendiri perlu menghubungkan persamaan itu. Teknik ini selaras pandangan Umberto Eco dalam The Role of the Reader (1979) bahawa karya sastera yang baik memberikan ruang kepada pembaca menjadi rakan pencipta makna, bukan sekadar penerima cerita secara pasif.

Lebih menarik lagi, pengarang berjaya menggabungkan sejarah komuniti Tamil Sri Lanka dengan struktur epik India. Kisah penghijrahan seorang lelaki dari Jaffna ke Malayan Union (Tanah Melayu) beberapa bulan sebelum kemerdekaan Ceylon bukan sekadar latar belakang keluarga, malah memperlihatkan sejarah diaspora masyarakat Tamil Sri Lanka.

Maklumat sejarah ini tidak disampaikan seperti dalam buku teks. Sebaliknya, dimasukkan secara semula jadi melalui perbualan antara pemandu Grab dengan penumpang. Teknik ini menjadikan fakta sejarah sebahagian daripada kehidupan watak, sekali gus mengelakkan penceritaan daripada menjadi bersifat didaktik.

Pengarang juga memperlihatkan pemahaman mendalam terhadap budaya masyarakat Tamil Sri Lanka. Nama-nama watak, hubungan kekeluargaan, konsep penghijrahan, serta cara pewarisan perusahaan keluarga dipersembahkan dengan autentik. Semua unsur budaya ini berfungsi sebagai asas kepada konflik cerita; bukan sekadar hiasan latar. Pendekatan sedemikian menjadikan cerpen ini kaya dengan identiti budaya tempatan walaupun bersumberkan karya klasik India.

Selain itu, kekuatan utama cerpen ini ialah penggunaan intertekstualiti. Julia Kristeva melalui esei bertajuk “Word, Dialogue and Novel” (1966) menjelaskan bahawa setiap teks sentiasa berhubung dengan teks lain.

Dalam cerpen “Perang dalam Minda”, Mahabharata menjadi teks rujukan utama tetapi hubungan itu bersifat kreatif dan bukannya peniruan. Watak Dhoraisingham menjadi bayangan kepada Santanu, Sritarashtran mengingatkan pembaca kepada Dhritarashtra, Paandiyan mewakili Pandu, Arjunan menyerupai Arjuna, Dhoraisamy mengingatkan kepada Duryodhana, manakala Krishnan membawa pembaca kepada Krishna.

Namun begitu, watak-watak ini hidup sebagai manusia moden dengan masalah kontemporari seperti perebutan empayar perniagaan, media sosial, perjudian, ketagihan alkohol, dan rawatan psikiatri.



Di sinilah terletaknya kebijaksanaan pengarang kerana tidak memindahkan Mahabharata ke zaman moden secara literal. Sebaliknya, pengarang memindahkan semangat konflik moral yang terkandung dalam epik itu ke dalam konteks masyarakat Malaysia hari ini.

Persengketaan keluarga bukan lagi peperangan menggunakan senjata tetapi perebutan saham syarikat, manipulasi psikologi, strategi perniagaan, dan peperangan imej di media sosial. Perang Kurukshetra berubah menjadi perang dalam minda manusia.

Aspek psikologi menjadi nadi kepada keseluruhan cerita. Tajuk “Perang dalam Minda” sendiri membawa makna simbolik yang mendalam. Konflik sebenar bukan berlaku antara Arjunan dengan Dhoraisamy semata-mata, sebaliknya berlaku dalam jiwa setiap watak. Arjunan kalah bukan kerana kekurangan bakat, sebaliknya kerana gagal mengawal kelemahan dirinya terhadap wanita, arak, dan perjudian.

Watak Dhoraisamy pula menjadi tawanan rasa iri hati dan ketakutan kehilangan kuasa. Sritarashtran pula bergelut antara tanggungjawab moral dengan kasih sayang terhadap anak sendiri. Semua peperangan ini berlaku dalam ruang psikologi manusia; bukan secara fizikal.

Konsep ini selaras pandangan Carl Gustav Jung dalam Modern Man in Search of a Soul (1933) bahawa konflik terbesar manusia sebenarnya berlaku dalam diri sendiri. Musuh paling sukar ditewaskan ialah bayang-bayang yang wujud dalam jiwa manusia. Cerpen “Perang dalam Minda” menggambarkan hakikat tersebut dengan begitu halus tanpa perlu memberikan syarahan moral secara langsung.

Unsur saspens juga dibina secara konsisten hingga penghujung cerita. Pembaca menyangka watak Arjunan (penumpang Grab) sedang menuju ke pejabat seorang peguam bernama Krishnan bagi mendapatkan bantuan undang-undang. Namun, pengakhiran cerita mendedahkan bahawa destinasi sebenar ialah Klinik Pakar Psikiatri Dr. Krishnan.

Plot twist ini mengubah keseluruhan tafsiran pembaca terhadap cerita. Tiba-tiba, pembaca menyedari bahawa nasihat “bacalah Mahabharata” oleh watak Krishnan (pemandu Grab) bukan sekadar cadangan supaya membaca karya klasik, sebaliknya suatu usaha membawa Arjunan (penumpang Grab) memahami hakikat peperangan sebenar yang sedang berlaku dalam dirinya sendiri.

Plot twist seperti ini mengingatkan pembaca kepada konsep anagnorisis yang dibincangkan oleh Aristotle dalam Poetics sekitar abad ke-4 Sebelum Masihi, iaitu saat berlakunya pengenalan atau penemuan yang mengubah seluruh pemahaman terhadap sesuatu peristiwa. Dalam cerpen “Perang dalam Minda”, bukan sahaja watak Arjunan mengalami kemungkinan kesedaran baharu, malah pembaca sendiri dipaksa menilai semula keseluruhan cerita yang baru selesai dibaca.

Pengarang turut menggunakan unsur parodi secara sangat halus. Watak-watak epik yang lazimnya dikaitkan dengan peperangan agung kini muncul sebagai ahli perniagaan, pemandu Grab, pengguna media sosial, dan pesakit psikiatri.

Transformasi ini bukan bertujuan memperlekeh epik Mahabharata dan Bhagavad Gita, sebaliknya menunjukkan bahawa sifat tamak, iri hati, dendam, kelemahan moral, dan pencarian kebijaksanaan sentiasa berulang dalam setiap zaman.

Malah, parodi seperti ini menghasilkan kesan satira yang cerdas kerana pembaca yang tahu kandungan epik Mahabharata akan menikmati lapisan makna tambahan, manakala pembaca yang tidak mengenali epik tersebut masih boleh menikmati cerita ini sebagai sebuah kisah keluarga yang kompleks.

Dari sudut gaya penulisan pula, pengarang menggunakan bahasa yang sederhana tetapi padat dengan makna. Dialog kelihatan santai dan realistik, sesuai dengan latar pemandu Grab serta penumpang biasa.

Namun, di sebalik kesederhanaan bahasa itu tersembunyi struktur naratif yang sangat kompleks. Setiap nama, setiap dialog, malah setiap destinasi perjalanan mempunyai fungsi simbolik. Teknik sebegini menunjukkan kebijaksanaan pengarang dalam mengawal maklumat serta mengimbangi hiburan dengan intelektualisme.

Cerpen “Perang dalam Minda” merupakan contoh cemerlang bagaimana karya klasik boleh dihidupkan semula dalam konteks masyarakat moden tanpa kehilangan roh asal. Cerpen ini berjaya mengambil kisah daripada epik Mahabharata, sedikit sejarah komuniti Tamil Sri Lanka, budaya masyarakat Malaysia, konflik psikologi, simbolisme, saspens, parodi, dan kritikan sosial, lalu diadun menjadi sebuah fiksyen moden yang utuh.

Pembaca bukan sekadar mengikuti kisah perebutan harta keluarga, malah turut diajak meneliti peperangan yang berlaku dalam jiwa manusia. Inilah kekuatan sastera yang sebenar: Bukan sekadar bercerita tetapi turut mengembangkan pemikiran, memperhalus kepekaan moral, dan membuka ruang renungan yang berpanjangan selepas halaman terakhir ditutup.

Cerpen “Perang dalam Minda” tulisan Uthaya Sankar SB tersiar di majalah Dewan Masyarakat (Januari 2019) sebelum dimuatkan dalam antologi Busana Bahasa (2019) dan buku Cerpen (2024). Versi bahasa Inggeris terjemahan K. Pragalath tersiar di Men Matters Online Journal (Jun 2021) sebelum dimuatkan dalam buku The Painted Cat (2023).