Semuanya bermula selepas Tok Wan ditahan polis, dibicarakan di mahkamah majistret, dan dijatuhi hukuman penjara sebulan susulan tindakannya mengugut mahu membakar rumah tetangga.
Sejak dua bulan lalu, Tok Wan mengadu wang yang disimpan di bawah pasu seramik hilang sedikit demi sedikit.
“Ada sesiapa ambil?” tanyanya kepada kami.
Kami adik-beradik menggeleng. Malah, ini bukan kali pertama kami ditanya begitu. Dan pada setiap kali itu jugalah kami terpaksa menafikan.
Dalam hati, terfikir juga mengapa Tok Wan yang kini berumur 59 tahun tidak pernah menyimpan wang di bank. Menurut arwah bapa, Tok Wan memang sudah terbiasa menyimpan duit di bawah bantal, di dalam laci, di bawah pasu seramik, dan sebagainya.
“Ini mesti si tua itu yang punya kerja!” kata Tok Wan seraya mendengus. “Memang sejak dulu orang sudah cakap dia tu bela toyol.”
Pak Darus di hujung lorong ini berumur 85 tahun. Jalan pun bertongkat. Memanglah sejak kecil, kami adik-beradik mendengar cerita bahawa warga emas yang tinggal sendirian itu membela toyol.
“Isteri dan anak-anak Pak Darus mati dibunuh toyol sebab tidak diberi makan.”
Demikian antara cerita yang saya dengar sejak kecil.
“Pak Darus tak boleh mati selagi belum dapat cari waris untuk mengambil alih tugas memelihara toyol itu.”
Cerita-cerita
seperti ini tersebar dalam kalangan penduduk. Saya sudah terlalu biasa
mendengarnya sejak kecil sehinggalah kini berumur tujuh belas tahun.
[“Benarkah Toyol Wujud?” – Utusan Malaysia – 15 Mac 2025]
Pernah juga saya terfikir mahu bertemu Pak Darus dan memintanya menjadikan saya cucu atau cicit angkat. Kemudian, bolehlah toyol peliharaannya diserahkan kepada saya.
Maka, dapatlah saya menjadi kaya dengan cara paling mudah. Saya boleh menjadi lebih kaya daripada Ananda Krishnan, Robert Kuok, dan Perdana Menteri.
Rakan sekelas Tok Wan dulu – Hajah Norjannah namanya – dari kampung sebelah pernah mengadu hilang wang lebih seribu lima ratus ringgit dalam masa dua minggu.
Kalau dibandingkan, duit Tok Wan sebanyak dua ratus ringgit tidaklah banyak berbanding duit Hajah Norjannah yang dicuri toyol.
“Mula-mula hilang lima ratus ringgit, kemudian dua ratus. Beberapa hari selepas itu, hilang lagi seratus lima puluh ringgit. Macam itulah,” Hajah Norjannah mengadu kepada sesiapa yang sudi mendengar. “Aku sembunyi duit di bahagian bawah bakul sampah pun boleh hilang!”
Ramai juga penduduk kampung datang mendengar kisah malang nenek berumur 59 tahun itu apabila beliau berkujung ke rumah Tok Wan.
“Anak jantan aku simpan duit di dalam biliknya, tak ada pula toyol tu curi. Hanya duit aku jadi mangsa,” Hajah Norjannah berketurunan Jawi Pekan bercerita dengan penuh teruja sambil sesekali menyapu air mata. “Pandai pula toyol tu. Tuan dia tentu suruh curi duit saja. Barang-barang kemas aku pun tak disentuh langsung.”
Beberapa
hari kemudian, keluarganya mendapatkan khidmat seorang bomoh terkenal.
Khabarnya, pelbagai upacara dijalankan di rumah Hajah Norjannah tetapi sehingga
kini, tiada apa-apa hasil yang boleh dibanggakan.
Tok Wan pula memilih untuk tidak membuang masa meminta khidmat bomoh atau pawang apabila wangnya hilang. Kami adik-beradik memang terkejut apabila mendapat tahu bahawa Tok Wan menyerang Pak Darus dengan kata-kata pedas di depan rumahnya.
“Celaka kau, Pak Darus! Berani kau hantar toyol curi duit aku.”
Demikian Tok Wan dilaporkan menjerit sementara Pak Darus menjenguk dari jendela; tidak berani melangkah keluar dari rumahnya.
“Kalau kau tak ikut aku pergi ke balai polis sekarang dan mengaku menyuruh toyol peliharaan kau curi duit aku, aku bakar rumah kau, Pak Darus!”
Beberapa penduduk berjaya mengheret Tok Wan pulang ke rumah. Tetapi kemarahan Tok Wan masih belum reda. Tok Wan tetap menjerit-jerit mahu membakar rumah Pak Darus.
Kami adik-beradik tidak berani masuk campur. Terdetik di hati saya mahu memberitahu Tok Wan bahawa toyol tidak wujud. Tetapi tentulah saya pula yang akan kena tampar nanti dengan orang tua itu.
Dipendekkan cerita, Pak Darus membuat laporan di Balai Polis Aulong, Tok Wan ditangkap polis dan dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya. (bersambung) [Cerpen penuh boleh dibaca dalam Kumpulan Cerpen Baharu]
Baca reaksi
tiga pembaca beta [di sini].
[Karya Uthaya Sankar SB menerima pengiktirafan menerusi Hadiah Sastera Siswa-Bank Rakyat (1992), Hadiah Cerpen Maybank-DBP (1992, 1993, 1996), Hadiah Sastera Utusan-Public Bank (1993), Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-ExxonMobil (2003), Hadiah Cerpen Esso-Gapena (1996), dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia (1996/97, 1998/99). Baca biodata penuh di sini dan senarai buku di sini.]