Istilah “Sasterawan Kavyan” mula digunakan secara
rasmi susulan Diskusi Sastera
Kavyan anjuran Bahagian Teori dan Kritikan Sastera, Dewan Bahasa dan
Pustaka (DBP) pada 10 Julai 2004.
Ia merujuk kepada golongan penulis kaum India yang
menghasilkan karya kreatif seperti puisi, sajak, cerpen, novel, ulasan, dan
esei dalam Bahasa Malaysia.
Apabila bercakap
mengenai Sasterawan Kavyan yang prolifik dan
aktif mewarnai peta Sastera Kebangsaan sejak tahun 1990-an, dua nama yang
sering disebut ialah Saroja Theavy Balakrishnan dan Uthaya Sankar SB.
Bagi Mohamad Saleeh Rahamad (Dewan Sastera, Januari 2003), dua nama
itu menjadi “mercu tanda” bagi kejayaan penulis kaum India di Malaysia.
Manakala, Krishanan Maniam menerusi
esei dalam buku Pengajian India: Bicara
Pelbagai Perspektif (2006) menyimpulkan bahawa selain daripada dua nama di
atas, “yang lain hanya muncul semasa peraduan sahaja.”
Dalam senarai dokumentasi Kumpulan Sasterawan
Kavyan (Kavyan),
terdapat sekitar 30 orang penulis kaum India yang pernah menulis cerpen sejak
tahun 1985. Jumlah ini tidak termasuk penulis veteran seperti Joseph
Selvam dan N.S. Maniam yang aktif berkarya pada
tahun 1970-an, serta penulis yang hanya mengkhusus pada penulisan sajak atau
esei.
Dalam akhbar Mingguan Malaysia (26 Mei 2013), dinyatakan
bahawa hanya ada empat penulis kaum India yang masih berkarya secara konsisten
sehingga kini. Malangnya, nama empat penulis terbabit tidak pula dinyatakan.
Raja Rajeswari Seetha Raman yang membentangkan kertas kerja pada Simposium Penulis Pelbagai Kaum (7-8
Ogos 2015) di Kota Kinabalu, Sabah mengatakan hanya ada tiga penulis kaum India
yang masih aktif berkarya; dan hanya seorang daripadanya menulis cerpen.
Menurut data terkini Kavyan, pada masa sekarang,
terdapat sekitar sepuluh sahaja penulis kaum India yang masih aktif
menghasilkan karya Sastera Kebangsaan (Mingguan Malaysia, 12 Mei 2019).
Di manakah penulis
selebihnya? Rencana ini berusaha “memperkenalkan
semula” beberapa penulis kaum India yang hadir dalam peta Sastera Kebangsaan mulai tahun 1980-an, tetapi kebanyakannya hilang selepas
menghasilkan tidak sampai tiga buah cerpen.
Hasil tinjauan mendapati bahawa seramai sembilan penulis hanya ada sebuah cerpen yang tersiar. Terdapat lima penulis yang pernah menghasilkan
(menyiarkan) dua buah cerpen, empat
penulis dengan masing-masing tiga buah cerpen, manakala masing-masing seorang penulis dengan lima dan enam buah
cerpen.
Saroja Theavy Balakrishnan, Uthaya Sankar SB dan M.
Mahendran pula paling banyak dan produktif menghasilkan
cerpen. Selebihnya, sejak tahun 1985, terdapat sejumlah 42 buah cerpen yang dihasilkan oleh 20 penulis kaum India yang dikategorikan sebagai “tidak prolifik”.
Kenali
Penulis yang “Hilang”
Berikut dipaparkan sedikit maklumat yang berjaya dikumpul
mengenai beberapa penulis kaum India yang sudah tidak lagi aktif menghasilkan
karya kreatif.
Rencana ini ditulis dalam dua bahagian dan maklumat yang terkandung dalam rencana ini boleh dibaca dalam buku Kavya Sastra (2021).
[Rencana ini pertama kali disiarkan di Eksentrika pada 17 Disember 2019. © Uthaya Sankar SB. Harap maklum bahawa anda membaca
sebarang paparan di mana-mana blog kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri. Hubungi uthayasb@gmail.com
jika ada sebarang pertanyaan.]