17 Dec 2019

Ismail Hussein dan Sastera Kebangsaan

Walaupun Tan Sri Ismail Hussein sudah meninggal dunia pada 20 Oktober 2014, beliau sempat melihat impian dan harapan dalam soal penglibatan penulis Bukan Melayu dalam Sastera Kebangsaan menjadi kenyataan.

Sepanjang menjadi Ketua I Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) iaitu dari tahun 1971 hingga 2013, beliau secara terus-menerus bersikap amat optimis bahawa Sastera Kebangsaan merupakan medan terbaik bagi penulis pelbagai kaum, agama dan latar belakang berkarya demi melahirkan karya sastera yang boleh mewakili negara.

Seawal April 1971, aktivis bahasa dan sastera kelahiran Yan, Kedah itu menegaskan bahawa hanya karya sastera yang dihasilkan dalam Bahasa Malaysia layak dianggap “Kesusasteraan Nasional Malaysia”.

Demikian katanya menerusi esei berjudul “Kesusasteraan Nasional Malaysia” yang turut termuat dalam buku Di Sekitar Pemikiran Kesusasteraan Malaysia 1957-1972 (1981) selenggaraan Anwar Ridhwan.

“Sastera-sastera di dalam bahasa-bahasa Mandarin, Tamil dan Sukuan adalah juga kesusasteraan Malaysia, tetapi oleh sebab sastera-sastera ini terbatas penonton-penontonnya kepada golongan-golongan yang tertentu, maka tidak dapat kita menganggap sebagai kesusasteraan Nasional,” katanya dalam esei berkenaan.


Hujah beliau selaras keputusan Kongres Kebudayaan Kebangsaan yang berlangsung di Universiti Malaya pada 16-20 Ogos 1971.

Ismail Hussein sangat praktikal dan amat kritikal dalam soal bahasa dan sastera. Beliau yang merupakan lulusan sarjana muda kelas pertama dari Universiti Malaya, Singapura (1959) dan ijazah kedoktoran dari Universiti Leiden (1964) mengakui bahawa “kesusasteraan Melayu untuk masyarakat Melayu sendiri belum begitu luas tersebar dan belum benar-benar menyerap kepada segala lapisan.”

Dalam ucapan pada mesyuarat agung tahunan GAPENA di Sudut Penulis, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 8 April 1972, beliau turut menegaskan pendirian bahawa Sastera Kebangsaan tidak harus hanya tertumpu kepada penulis dan khalayak kaum Melayu, tetapi perlulah melibatkan semua kaum di negara ini.

Media Pengucapan Masyarakat Pelbagai Kaum

Penulis buku Sejarah Pertumbuhan Bahasa Kebangsaan Kita (1966) itu amat optimis terhadap kejayaan Dasar Pelajaran Kebangsaan yang mula dilaksanakan secara serius pada tahun 1972.

“Saya rasa satu perubahan radikal akan mencetus tidak lama lagi dan ini malah akan mengancam sikap superior penulis-penulis golongan Melayu sendiri,” tegas beliau dalam ucapan itu yang turut disiarkan dalam majalah Dewan Sastera (Jun 1972).

Rencana penuh boleh dibaca dalam buku Kisah Sasterawan Kavyan (2022).

[Rencana ini pertama kali disiarkan di Eksentrika pada 10 Disember 2019. © Uthaya Sankar SB. Harap maklum bahawa anda membaca sebarang paparan di mana-mana blog kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri. Hubungi uthayasb@gmail.com jika ada sebarang pertanyaan.]