Sastera Kebangsaan merujuk kepada karya kesusasteraan yang dihasilkan oleh rakyat
Malaysia dan ditulis menggunakan Bahasa Malaysia. Satu lagi ciri penting
konsep Sastera Kebangsaan terletak pada penglibatan penulis pelbagai kaum yang
menulis tentang keunikan budaya, adat, pemikiran, agama, kepercayaan dan
sebagainya berkaitan kaum, keturunan atau etnik yang diwakili.
Selain daripada orang Melayu, sesungguhnya kaum Cina dan India, keturunan Siam, Orang Asli,
serta pelbagai etnik di Sabah dan Sarawak turut terlibat dalam memperkaya
khazanah Sastera Kebangsaan.
Penulis kaum India di Malaysia menceburi bidang penulisan puisi,
cerpen, novel, esei dan drama dalam Bahasa Malaysia, Tamil dan Inggeris. Sejak
tahun 2004, istilah “Sasterawan Kavyan” digunakan apabila merujuk secara khusus
kepada golongan penulis kaum India yang menghasilkan karya Bahasa Malaysia.
Esei berjudul “Sasterawan Kavyan” (Eksentrika, 5 April – 18 Mei 2017)
menghuraikan tentang penulis generasi baharu yang muncul selepas tahun 1980-an.
Siri esei ini pula bertujuan memperkatakan mengenai penglibatan penulis kaum
India di Malaysia dalam Sastera Kebangsaan khasnya, selain sastera Tamil serta
bidang terjemahan, sejak tahun 1930-an.
Munsyi Abdullah (grafik) menghasilkan
karya-karya seperti Kisah Pelayaran
Abdullah ke Kelantan (1838) dan Hikayat
Abdullah (1849), serta dinobatkan sebagai Bapa Kesusasteraan Melayu Moden. Karya-karyanya
masih diperkatakan dan dikaji sehingga kini. Tidak ramai yang sedar Munsyi
Abdullah adalah seorang pengarang berdarah India.
Akibatnya, apabila bercakap tentang penglibatan penulis kaum
India dalam bidang Sastera Melayu, nama Nagalingam
selalu menjadi sebutan. Cerpen “Cerita Orang Yang Tidak Menerima Syukur” karya
Nagalingam tersiar secara bersiri di Bahtera
(17 dan 24 Mei 1932). Beliau dianggap perintis kepada penglibatan pengarang Bukan
Melayu dalam arus Sastera Kebangsaan.
Pengkaji sastera seperti Hashim Awang menganggap nama Nagalingam
serta latar tempat cerita — iaitu Ramnad di India — sebagai bukti yang
mencukupi untuk menerima Nagalingam sebagai seorang penulis kaum India yang
mula-mula sekali menulis cerpen bahasa Melayu.
Seorang lagi peneliti sastera, Krishanan Maniam, turut mengangkat
Nagalingam sebagai penulis kaum India yang paling awal terlibat dalam penulisan
Sastera Kebangsaan. Sumbangannya dianggap amat bernilai walaupun hanya
menghasilkan sebuah karya.
Othman Puteh (foto) pula membuat kesimpulan: “Jika
benar Nagalingam itu berketurunan India, maka dia merupakan cerpenis Bukan
Melayu yang pertama yang menghasilkan cerpen” (Dewan Sastera, Januari 2003). Beliau turut menggunakan istilah
“cerpendek” kerana cerpen berkenaan yang disiarkan dalam dua bahagian itu
panjangnya kira-kira 350 perkataan sahaja.
Cerpen tulisan Nagalingam tersiar pada tahun 1932. Tidak ada
sebarang maklumat mengenai apa-apa karya yang dihasilkannya selepas itu. Malah,
biodata dirinya juga tidak diketahui; kecuali alamat lengkapnya iaitu 82, Jalan
Teh Peh Kong, Parit Buntar, Perak.
Selepas Nagalingam, tidak muncul seorang pun penulis kaum
India bagi suatu tempoh yang lama. Seterusnya, penglibatan kaum India dalam
penulisan karya kreatif bahasa kebangsaan hanya jelas kelihatan berlaku pada tahun
1960-an.
Esei ini ditulis dalam 15 bahagian dan boleh dibaca dalam buku Kisah Sasterawan Kavyan (2022).
[Makalah ini disiarkan dalam 15 bahagian di Eksentrika pada 2019. © Uthaya Sankar SB 2019. Lihat juga — Biodata Sasterawan Kavyan. Layari Blog Kavyan
untuk maklumat pelbagai program bahasa, sastera, kebajikan, seni dan budaya
melibatkan masyarakat pelbagai kaum. Hubungi e-mel uthayasb@gmail.com jika ada sebarang
pertanyaan.]