22 May 2017

Sasterawan Kavyan – Bahagian 1


Jumlah penulis kaum India yang menghasilkan karya Bahasa Malaysia memang tidak ramai. Walau bagaimanapun, sumbangan golongan ini terhadap perkembangan bidang penulisan di Malaysia masih amat penting, signifikan, dan wajar diiktiraf.

Semasa Diskusi Sastera Kavyan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 10 Julai 2004, istilah “Sasterawan Kavyan” diperkenalkan untuk merujuk scara khusus kepada penulis kaum India yang menghasilkan karya Bahasa Malaysia.

Pengkaji sastera dan penulisan Bahasa Malaysia biasanya menamakan Nagalingam sebagai penulis kaum India yang paling awal menulis karya Bahasa Malaysia (bahasa Melayu), iaitu pada tahun 1932.

Bagaimanapun, hakikat yang sering dilupai adalah bahawa Munshi Abdullah (Abdullah Abdul Kadir Munshi) yang merupakan Bapa Kesusasteraan Melayu Moden serta pengarang Hikayat Abdullah (1849) adalah berketurunan India (Jawi Peranakan).


Malah, Tun Sri Lanang (Tun Muhammad bin Tun Ahmad) yang menyusun Sejarah Melayu (1612) juga berketurunan India. Namun, ramai yang beranggapan kedua-dua tokoh penting ini sebagai orang Melayu.

Seperti yang dinyatakan sejak awal, memang tidak ramai Sasterawan Kavyan, iaitu penulis kaum India yang menghasilkan karya Bahasa Malaysia, sama ada karya sastera (seperti puisi, cerpen, novel, drama) atau bukan sastera (seperti esei, rencana, kritikan, ulasan).

Siri esei khas ini bertujuan mendokumentasikan maklumat dan hal-hal berkaitan sumbangan positif Sasterawan Kavyan kepada perkembangan bidang penulisan di Malaysia, khususnya sejak tahun 1990-an.

Sejak hampir 25 tahun lalu, saya menulis rencana berkaitan penulis kaum India yang terlibat dalam bidang penulisan Bahasa Malaysia. Orang ramai boleh melayari blog saya untuk membaca bahan-bahan tulisan itu.

Bagi tujuan siri esei khas ini, saya menghubungi seramai mungkin Sasterawan Kavyan yang pernah atau masih aktif menulis. Saya mengedarkan borang soal selidik untuk diisi dan dikembalikan kepada saya.

Tentu sahaja saya tidak akan membenarkan tindakan tidak beretika mengemukakan data palsu (fabricated data, false data) seperti yang berlaku dalam majalah Dewan Sastera (April 2017) berlaku dalam penulisan saya.


Seorang individu bernama Raja Rajeswari Seetha Raman menulis esei bertajuk “Kolonialisme dan Etnosentrisme: Satu Retrospeksi Penulis India Malaysia” berdasarkan borang soal selidik yang kononnya telah diisi oleh 60 penulis kaum India; iaitu 20 orang yang menghasilkan karya Bahasa Malaysia, 20 orang penulis karya Tamil, dan 20 penulis karya Inggeris.

Saya selaku pengasas dan presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) menjadi amat teruja kerana nampaknya selain daripada saya, ada sekurang-kurangnya 20 lagi penulis kaum India yang aktif dan prolifik menghasilkan karya Bahasa Malaysia.

Untuk berlaku adil, saya segera menghubungi 27 penulis kaum India yang masih hidup dan pernah menghasilkan karya Bahasa Malaysia. Saya mendapat jawapan segera daripada 22 orang yang mengesahkan mereka tidak pernah menerima borang soal selidik tersebut!

Seorang penulis mengaku ada menerima borang itu menerusi e-mel tetapi tidak sempat mengisinya. Dua responden telah mengisi borang itu dan mengirimkannya kembali kepada Raja Rajeswari menerusi e-mel. Ketiga-tiga penulis ini bukan kakitangan kerajaan.

Menurut Raja Rajeswari dalam analisis data terkumpul (dapatan kaji selidik), 18 responden yang menulis karya Bahasa Malaysia itu menerima pendidikan awal di sekolah kebangsaan; 15 responden lahir dan membesar di kawasan pedalaman yang jauh dari pusat bandar; 19 responden membaca akhbar berbahasa Melayu; dan kesemua 20 responden berkhidmat sebagai penjawat di sektor awam.

Amat menghairankan kerana dua penulis kaum India yang mengaku telah mengisi dan mengembalikan borang kepada Raja Rajeswari merupakan pekerja sektor swasta.

Rata-rata penulis karya Tamil dan Inggeris yang dihubungi turut mengesahkan mereka tidak pernah menerima – apatah lagi mengisi – borang soal selidik yang dimaksudkan.

Sudah ada alasan kukuh untuk mempercayai bahawa data hasil soal selidik yang disiarkan dalam Dewan Sastera (April 2017) mengenai penulis kaum India adalah rekaan semata-mata.


Misalnya, menurut Raja Rajeswari: “Semata-mata untuk mendapat penerimaan dan pengiktirafan pada peringkat antarabangsa, pengarang kaum India tempatan seperti Rani Manicka dan K. S. Maniam telah berhijrah ke luar negara. Rani Manicka memilih untuk tinggal di United Kingdom, manakala Amerika Syarikat menjadi pilihan K. S. Maniam.”

Semua orang yang mengikuti perkembangan sastera Inggeris di Malaysia tahu bahawa K. S. Maniam tidak pernah berhijrah ke luar negara. Entah dari mana Raja Rajeswari mendapatkan alternative truth atau fakta alternatif itu!

Saya yang mengikuti perkembangan penulis kaum India di Malaysia – khususnya mereka yang menghasilkan karya Bahasa Malaysia – terasa amat kecewa dan terkilan dengan penyiaran data palsu dalam majalah berprestij seperti Dewan Sastera.


Akan tetapi, apabila saya mengirimkan e-mel rasmi kepada editor terbabit untuk memaklumkan kepadanya mengenai data palsu dalam esei berkenaan, jawapan yang saya terima adalah amat memeranjatkan!

Saya mengandaikan dia akan menghubungi Raja Rajeswari untuk mendapatkan penjelasan mengenai isu data palsu. Sebaliknya, editor itu mengirim mesej kepada saya menerusi WhatsApp dan memarahi saya dengan kata-kata kesat dan lucah seperti “asshole” dan “twat” kerana melakukan pendedahan itu!


Malah, editor itu menulis di Facebook dan menandakan (tag) nama saya: “Ada orang pernah bagitau aku peribahasa ni, sangat terkenal kalangan penulis: ‘kalau kaunampak ular dengan Uthaya, kaubunuh Uthaya dulu!’ Baru sekarang aku faham peribahasanya.”


Apabila isu data palsu dalam esei serta reaksi editor itu dipaparkan menerusi Facebook, ramai penulis pelbagai kaum di dalam dan luar negara tampil meluahkan rasa marah, kecewa, terkejut dan hairan dengan “budaya kerja” dan “etika kerja” yang diamalkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selaku penerbit majalah Dewan Sastera.

Saya sudah membuat aduan rasmi, lalu Timbalan Ketua Pengarah DBP (Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran) dan Pengarah Penerbitan DBP (Tuan Haji Khalik bin Sulaiman) memberi jaminan akan menyiasat sepenuhnya. Selain daripada menyiasat isu data palsu yang dikemukakan oleh Raja Rajeswari, DBP juga wajar menyiasat tindakan editor terbabit yang tidak beretika.

Sementara itu, saya memutuskan untuk menulis siri esei khas yang memuatkan “data sahih” berhubung Sasterawan Kavyan, iaitu penulis kaum India yang menghasilkan karya Bahasa Malaysia.

Boleh dibaca dalam buku Suvarna Bhumi (2022).

[Esei ini ditulis pada 4 April 2017 dan disiarkan di Eksentrika pada 5 April 2017. © Uthaya Sankar SB 2017. Harap maklum bahawa anda membaca paparan di mana-mana blog kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri. Tidak ada sesiapa yang memaksa anda.]