11 Aug 2009

Sasterawan Negara Dato' Dr Anwar Ridhwan

Tahniah kepada Dato’ Dr Anwar Ridhwan yang diumumkan sebagai penerima ke-10 Anugerah Sastera Negara yang membawa gelaran Sasterawan Negara.

Pengumuman mengenainya dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Putrajaya pada 11 Ogos 2009.

Dr Anwar, atau nama sebenarnya Mohd. Anuar Rethwan dijadual menerima anugerah daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada suatu majlis di Kuala Lumpur pada 20 Oktober 2009.

Beliau dilahirkan pada 5 Ogos 1949 di Parit Satu Timur, Sungai Besar, Selangor serta mendapat pendidikan di SK Sungai Besar (1956-1962), Sekolah Ungku Aziz, Sabak Bernam (1963-1967) dan Universiti Malaya (BA-1973, MA-1983, Ph.D-1998) serta bertugas di DBP sejak 1973.

Dr Anwar antara lain pernah mengikuti kursus penerbitan buku di USA (1982), International Writing Programme (1986) dan profesor pelawat di Tokyo University of Foreign Studies (1997-2000). Sejak 2001, beliau dilantik Pengarah Penerbitan DBP.

Karya kreatif Dr Anwar termasuk Parasit (1976), Sesudah Perang (1978), Hari-hari Terakhir Seorang Seniman (1979), Arus (1985), Tercipta Dari Tanah (1985), Sangkar (1986), Di Negeri Belalang (1989), Orang-orang Kecil (1990), Yang Menjelma dan Menghilang (1992) dan Naratif Ogonshoto (2001).

Beliau juga penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (2002) dan Hadiah Sastera Mastera (2003).

Dr Anwar pernah menjadi Penasihat Kehormat Kavyan pada 2003-2007.

Acara Baca Cerpen Dr Anwar Ridhwan dianjurkan pada 15 Mei 2004 sebagai tanda penghormatan terhadap sumbangan beliau kepada dunia sastera kebangsaan.

Kini, beliau merupakan Dekan Fakulti Penulisan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Sasterawan Negara ke-10 sudah diketahui. Maka, bolehlah saya tumpukan pada usaha pencalonan Prof Madya Dr Lim Swee Tin sebagai Sasterawan Negara ke-11.