23 Nov 2026

Wanita Tanpa Suara



Pintu besi ditutup dari luar. Bunyi hentakannya membuatkan Maryam Varghese tersentak. Seorang lelaki berseragam meletakkan telefon bimbitnya di atas meja, kemudian menunjukkan foto seorang wanita yang sedang berdiri di hadapan sebuah sekolah. Wanita dalam foto itu ialah Maryam sendiri.

“Siapa yang memberikan foto ini kepada kamu?”

Maryam tidak menjawab. Dia memandang foto tersebut. Di belakangnya terdapat beberapa orang kanak-kanak perempuan yang sedang berdiri di luar pagar sekolah. Wajah mereka tidak kelihatan dengan jelas. Namun, Maryam mengenali salah seorang daripada mereka. Gadis itu bernama Laila Nazarin. Umurnya tiga belas tahun.

“Awak seorang wartawan,” kata lelaki itu. “Sepatutnya awak tahu perkara yang boleh ditulis dan perkara yang tidak boleh ditulis.”

Maryam memandang lelaki berkenaan. Dia teringat kata-kata editornya beberapa hari lalu. Ada perkara yang tidak perlu ditulis, katanya. Ada perkara yang lebih baik dibiarkan.

Kini, dia berada di sebuah bilik yang tidak mempunyai tingkap; dituduh menulis perkara yang tidak sepatutnya diketahui orang ramai.

* * *

Seminggu sebelum itu, Maryam tiba di Kabul bersama sebuah beg pakaian, komputer riba, dan dua buku nota. Dia tidak pernah mengunjungi Afghanistan. Pengetahuannya tentang negara itu terbatas kepada laporan berita, foto peperangan, dan kisah pelarian yang pernah ditemuinya ketika membuat liputan di beberapa negara.

Dia datang atas tugasan khas. Sebuah akhbar di negaranya mahu mendapatkan laporan tentang perkembangan pendidikan Afghanistan selepas delegasi Kementerian Pendidikan negara itu mengunjungi Malaysia pada November 2024.

Menurut kenyataan rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia bertarikh 21 November 2024, delegasi Afghanistan menyatakan hasrat menjadikan Malaysia sebagai rujukan amalan terbaik dalam pembangunan dasar pendidikan, khususnya kurikulum, latihan guru, dan teknologi pendidikan. Lawatan itu turut memberikan peluang kepada delegasi berkenaan memahami model pendidikan Malaysia.

Maryam membaca semula kenyataan itu di dalam pesawat. Dia tertanya-tanya bagaimana sebuah negara yang masih menafikan pendidikan kepada jutaan kanak-kanak perempuan boleh membangunkan dasar pendidikan dengan menjadikan negara lain sebagai rujukan.

Dia mahu mengetahui apakah perubahan yang berlaku selepas lawatan pada November 2024. Adakah kanak-kanak perempuan sudah dibenarkan kembali ke sekolah? Adakah wanita boleh mengikuti pengajian tinggi? Adakah guru wanita boleh mengajar tanpa berasa takut?

Soalan-soalan itu dibawanya ke Kabul dengan penuh harapan.

* * *

Pemandunya bernama Mohammad Farid. Lelaki berusia awal lima puluhan itu mempunyai janggut yang tidak terurus dan tabiat menggosok ibu jari pada permukaan stereng setiap kali berhenti di persimpangan jalan. Dia pernah bekerja sebagai juruteknik di sebuah syarikat telekomunikasi. Kini, dia mencari rezeki dengan membawa pelawat asing.

“Awak datang untuk menulis tentang sekolah?” tanyanya dalam bahasa Inggeris yang sederhana.

“Ya, Kaka Farid. Saya mahu melihat bagaimana pendidikan berjalan di sini.”

Farid ketawa kecil. Ketawanya tidak panjang.

“Kalau Maryam Jan mahu melihat sekolah, saya boleh tunjukkan sekolah. Tetapi kalau mahu melihat kanak-kanak perempuan belajar, itu masalah lain.”

Maryam memandangnya melalui cermin pandang belakang.

“Anak perempuan Kaka Farid?”

“Dua orang. Yang sulung sudah berkahwin. Yang bongsu masih di rumah.”

“Berapa umurnya?”

“Tiga belas.”

“Dia bersekolah?”

Farid tidak menjawab dengan segera. Sebuah motosikal melintas rapat di sebelah kereta. Dia membetulkan kedudukan stereng.

“Dia pernah belajar bahasa Inggeris. Sekarang dia mengajar adiknya membaca.”

“Kenapa tidak dihantar ke sekolah?”

“Sekolah menengah tidak menerima pelajar perempuan.”

Farid menyebut ayat itu seperti orang yang sudah terlalu kerap mengulanginya sehingga tidak lagi memiliki tenaga untuk meluahkan rasa marah dalam jiwa. … (bersambung)

[Petikan cerpen ini merupakan draf awal manuskrip cerpen yang sedang diusahakan. © Uthaya Sankar SB. Harap maklum bahawa anda meneliti sebarang paparan di mana-mana blog dan media sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!