Semoga drama penuh mendebarkan yang sedang
dipersembahkan oleh para pelakon hebat dari MIC tidak memesongkan perhatian dan
tumpuan masyarakat daripada isu sebenar, bitara dan terpenting yang kononnya
menjamin kejayaan dan mobiliti sosial kaum India di Malaysia.
Kata-kata berkenaan yang saya paparkan di Facebook pada 29 Januari 2015 tentu
sahaja bertujuan menjentik pemikiran kritikal rakan-rakan pelbagai kaum yang saya andaikan turut
mengikuti perkembangan krisis MIC yang semakin parah sejak belakangan ini. [Rujuk
“Kelekaan Palani Punca Kemelut MIC” dan “Keranda, Mogok Lapar dan Tangan Ajaib”]
Isu-isu lain yang dimaksudkan adalah isu Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Bahasa Tamil dan kuil. Ketiga-tiga isu serangkai ini
merupakan modal terpenting bagi politikus kaum India – khususnya MIC – untuk terus memanipulasi
masyarakat demi kepentingan peribadi dan kelangsungan parti.
Sepanjang Disember 2014, pernah ada promosi
khas disiarkan sekurang-kurangnya sekali setiap jam menerusi MinnalFM (stesen radio Tamil milik
kerajaan) bagi menggesa ibu bapa Tamil menghantar anak-anak ke SJKT kerana “sekolah Tamil adalah identiti kaum kita”.
Hakikat yang mungkin boleh dipertikaikan
tetapi tidak dapat dinafikan adalah bahawa sejak MIC ditubuhkan pada tahun 1946,
isu Bahasa Tamil, SJKT dan kuil Hindu (termasuk kuil-kuil kecil di
bawah pokok) menjadi modal kepada politikus untuk terus meletakkan kaum India
di bawah paduka (tapak kaki).
Apabila fakta-fakta sebenar seperti ini
disebut, tentu sahaja akan menimbulkan keresahan, kemarahan dan kecaman
daripada kelompok politikus dan juak-juak mereka. Maklumlah, realiti akan
diketahui umum.
Sama sahaja seperti kisah Datuk Guluji (Malay Mail Online, 11 Februari 2014) yang memanipulasi kejahilan
masyarakat India-Hindu demi kepentingan peribadi dan kewangan sejak lebih
sedekad lalu.
Dalam isu SJKT dan Bahasa Tamil, politikus
yang menggesa masyarakat India menghantar anak-anak ke SJKT “demi jati diri,
bahasa, maruah, budaya dan identiti kaum” sebenarnya tidak pula meletakkan
syarat sama bagi anak-cucu mereka.
Perkara ini turut dipersetujui beberapa
orang yang mengirim mesej peribadi menerusi Facebook
dan e-mel selepas membaca paparan saya tempoh hari. Salah seorang menggunakan
istilah “Wrong Formula” dan “Right Formula” untuk menjelaskan hal ini.
Anak-anak politikus, guru besar umpama dewa kayangan
Secara mudah, politikus kaum India meminta
masyarakat terus mengagung-agungkan SJKT tetapi keluarga dan keturunan mereka
sendiri tidak belajar di SJKT. Mereka sedar akan segala kelemahan pada sistem
pendidikan di SJKT lalu mengelak daripada menghantar anak-anak ke sana.
Itulah yang dimaksudkan dengan tindakan
menyumbat “Wrong Formula” ke dalam minda masyarakat umum sementara pemimpin
politik memilih “Right Formula” yang akan memastikan jurai keturunan mereka
terus berada di atas dari segi pendidikan, politik, status sosial dan ekonomi.
Bercakap mengenai SJKT, perlulah diingatkan
dan ditegaskan bahawa ada perbezaan antara SJKT dan Bahasa Tamil serta budaya
Tamil. Apabila kita mengkritik kelemahan sistem pendidikan di SJKT tidak
bermakna kita menghina Bahasa Tamil, budaya Tamil dan jati diri kaum India.
Sekadar contoh mudah: Apabila orang ramai
mengkritik Umno atau MIC, tidak bermakna orang
ramai membenci orang Melayu atau orang India. Apa yang dikritik adalah
sebuah parti politik yang kebetulan “memanipulasi” sentimen kaum dan perkauman.
Begitulah juga, apabila kita mengkritik
SJKT, kita memperkatakan tentang kelemahan sebuah sistem pendidikan yang
memanipulasi sentimen kaum, perkauman, agama dan bahasa ibunda demi kepentingan
politik.
Gambaran yang sentiasa diberikan adalah
seolah-olah jika ibu bapa kaum India tidak menghantar anak-anak ke SJKT, maka
seluruh keluarga berkenaan tidak lagi mencintai/menguasai Bahasa Tamil, tidak
lagi mencintai/mengamalkan budaya India, serta tidak lagi ada jati diri.
Anehnya, tuduhan yang sama tidak pula
dilemparkan apabila politikus dan guru besar SJKT “terlupa” menghantar
anak-cucu ke SJKT. Seolah-olah mereka adalah vasu (dewa-dewi) dari kayangan dan hanya layak belajar di negara
atas angin.
MIC sentiasa mendabik dada dan berkata
bahawa itulah satu-satunya parti politik yang layak mewakili kaum India di
Malaysia. Begitulah juga, suatu gambaran maya
(ilusi) sudah dicipta kononnya hanya SJKT mampu menjamin Bahasa Tamil, sastera Tamil, budaya Tamil, jati diri
Tamil dan segala yang “Tamil” terus kekal di Malaysia.
Daripada pengalaman sendiri, saya berani
mengatakan bahawa sebuah keluarga yang tidak pernah belajar di SJKT (serta
tidak menjadi ahli MIC) masih mampu memartabatkan Bahasa Tamil, mengenali
sastera Tamil dan mempertahankan budaya serta jati diri kaum India. Jangan
sesekali tertipu dengan propaganda yang sebaliknya.
Hubungan platonik yang menguntungkan
Sekiranya dikaji dengan teliti, ada
hubungan erat antara politikus MIC dan kebanyakan guru besar SJKT. Hal ini
pernah dihuraikan menerusi makalah bertajuk “Tentang Guru Besar SJKT” (The Malaysian Insider, 3 Disember 2012).
Politikus kaum India “perlu” berjuang
mengekalkan SJKT demi periuk nasi sendiri dan kelangsungan politik
keturunannya. Begitulah juga halnya dengan kebanyakan guru besar SJKT yang
“terpaksa” mempertahankan SJKT. Kalau tidak percaya, cuba semak berapa ramai
guru besar berkenaan adalah pemegang jawatan dalam MIC bahagian.
Hubungan MIC dan SJKT bagai aur dengan
tebing. Bagai isi dengan kuku. Bagai lalat dengan najis (peribahasa Tamil).
Bagai telur sesangkar, pecah sebiji, pecah semuanya. Wujud hubungan platonik
yang menguntungkan kedua-dua pihak.
Sama ada anggota masyarakat, ahli parti dan
murid-murid menerima sebarang keuntungan dan kesan baik daripada hubungan
platonik ini adalah di luar bidang keprihatinan mereka. Selagi SJKT terus
wujud, selagi itulah MIC dan guru besar SJKT boleh terus menikmati habuan yang
diinginkan.
Analisis yang dilakukan ini bukan bertujuan
menuduh sesiapa tetapi berusaha membuka minda masyarakat pelbagai kaum untuk
memikirkan realiti sebenar kewujudan SJKT. Apalah gunanya SJKT sekiranya ia
sekadar menjadi kuda tunggangan politikus untuk terus berkuasa.
Sebelum ada pihak melenting dan
terloncat-loncat penuh emosi, eloklah bertenang sebentar dan memikirkan segala
hujah ini dengan tenang dan minda terbuka. Jangan biarkan sentimen etnosentrik,
perkauman dan fanatik mengaburi mata dan minda.
Pertama sekali, ingat dan sedarlah bahawa
apa yang dikritik di sini bukan SJKT, Bahasa Tamil dan identiti serta jati diri
orang Tamil yang sering dikaitkan dengannya. Apa yang diperkatakan adalah
tentang wujudnya hubungan politik, materialistik, individualistik dan
kapitalisme antara politikus dan SJKT.
Malangnya, segala keuntungan hanya
dinikmati sebelah pihak. Kerajaan Barisan Nasional (BN) menyalurkan dana
kepada SJKT kerana gabungan parti politik itu memang sedar akan “kuasa” kuil,
bahasa Tamil, SJKT dan sekampit beras dalam menjamin
“pulangan” undi dan “nambikei” semasa pilihan raya.
Masyarakat umpama lembu yang dicucuk hidung
Dana yang dihulurkan dengan penuh murah
hati oleh BN pula sering – hampir setiap kali – disalurkan melalui MIC. Jika
kita rajin bertanya, mengambil tahu dan membuat tinjauan susulan, maka akan
nampak wujudnya ketirisan (istilah kegemaran politikus) yang tidak pula
dipersoalkan oleh sesiapa.
Akhirnya dana yang disalurkan itu tidak
sampai sepenuhnya kepada kumpulan sasaran. Ke mana perginya segala sumbangan
dana itu masih suatu misteri yang belum terjawab. Maklumlah, masakan BN/Umno
akan meminta MIC disiasat sedangkan mereka tidur dalam selimut yang sama.
Masakan PIBG dan guru-guru berani bersuara
sedangkan mereka tahu rata-rata guru besar ada “kabel kuat” dalam MIC.
Menyentuh soal ketirisan dalam dana yang disalurkan oleh BN untuk SJKT samalah
seperti menyentuh kabel elektrik bervoltan tinggi.
Voltan tinggi masih mengalir deras walaupun
MIC kini sedang dilanda krisis kepimpinan yang amat teruk. Juak-juak di dalam
dan di luar parti, serta pemimpin veteran Umno sendiri sudah semakin lantang
“menyarankan” supaya Datuk Seri G Palanivel melepaskan jawatan presiden MIC.
Perubahan pucuk pimpinan MIC pasti tidak
akan mengubah hubungan platonik MIC-SJKT yang wujud sejak lebih lima dekad
lalu. Biar siapa pun menjadi presiden MIC, rata-rata guru besar SJKT akan
tampil menyatakan sokongan tidak berbelah-bagi.
Demikian antara hasil perkongsian hujah
bersama beberapa orang yang meminta identiti mereka dirahsiakan. Maklumlah,
mereka tidak mahu dipulaukan MIC dan pejuang SJKT yang terlalu fanatik.
Kebimbangan ini amat berasas kerana masih
ramai yang belum cukup pintar untuk membezakan antara MIC, SJKT, Bahasa Tamil
dan jati diri orang Tamil. Bagi mereka MIC = SJKT = Bahasa Tamil = budaya Tamil
= maruah Tamil.
Maka mudahlah untuk politikus terus
memanipulasi kaum India supaya kekal sebagai komoditi serupa lembu yang boleh diperah susu dalam
bentuk duit dan undi.
Susu itu – duit dan undi – bukan untuk si
lembu dan anak-anaknya, tetapi untuk membuncitkan perut dan kocek politikus
yang licik dan keturunannya.
Sampai bilakah lingkaran syaitan (vicious circle) ini akan
berterusan? Bertanyalah kepada imej yang muncul pada cermin muka pada setiap
pagi. – Baca juga: Dari SJKT ke SMK
[Makalah ini ditulis pada 1 Februari 2015 dan disiarkan di The Malay Mail Online pada 2 Februari 2015.
BACA MAKALAH BERKAITAN SJKT DI SINI © Uthaya Sankar SB 2015. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini
serta segala kandungan mana-mana blog
kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]