Pengetahuan, pemahaman, penghayatan dan amalan
sebenar ajaran Hindu dalam kalangan penganut agama
berkenaan di Malaysia semakin merosot.
Hakikat ini boleh dipertikaikan tetapi
tidak boleh dinafikan sekiranya kita berpeluang melihat, menganalisis, meninjau
dan berbual dengan orang Hindu, khususnya generasi muda.
Kiru
Muniandi dari Pulau Pinang bersetuju apabila saya
menyatakan pandangan ini menerusi laman rangkaian sosial Facebook baru-baru ini.
Seorang wartawan, Ali Imran pula menyatakan pandangan bahawa situasi sama berlaku
dalam semua agama.
“Islam juga hadapi krisis ini. Setakat
perbincangan dengan rakan Kristian, juga sama,” komennya.
Berkongsi pandangan yang hampir sama ialah Calvin Pius Ohsey yang berasal dari
Sabah.
“Saya berpendapat ini krisis untuk semua
agama dan aliran. Dunia semakin maju dan berkembang. Relativisme serta
sekularisme telah mula mendominasi fikiran ramai manusia sekarang.
“Ini bukan tidak bagus, cuma ramai yang
beragama kerana ikutan dan bukan beragama sebagai cara hidup. Ada juga yang
beragama secara selektif. Lebih parah, tafsiran agama yang ekstrim juga terjadi
kerana ikut-ikutan serta pemahaman yang salah,” katanya.
Arun
Sarravanan Rajaratnam turut bersetuju bahawa
pengetahuan, pemahaman, penghayatan dan amalan sebenar ajaran Hindu dalam
kalangan penganut agama berkenaan di Malaysia semakin merosot.
Katanya, mungkin mereka lebih senang
mengikut sahaja daripada menyoal. Maknanya, mereka mengikut sahaja ritual yang
menjadi amalan sejak turun-temurun tanpa berfikir dan menilai sama ada ia masih
ajaran sebenar Hinduisme atau sudah tersasar.
Dalam hal ini, Sargunan Sockalingam menganggap masalah yang dihadapi sudah
mencapai tahap kritikal.
“Saya percaya satu kurikulum terperinci
berkaitan Sanathana Dharma – iaitu nama sebenar
ajaran Hindu – perlu diwujudkan dan diajar untuk dihayati oleh warga Malaysia
yang beragama Hindu,” katanya.
Jahil terhadap agama tauhid tertua di dunia
Semasa perbincangan berlaku menerusi Facebook pada 24 September 2014, Aslam Bigai mengemukakan pandangan dan
pengalaman yang sedikit berbeza.
Katanya, selama ini dia juga berpendapat
penghayatan ajaran Hindu semakin merosot tetapi kehadiran beratus-ratus orang
Hindu ke Kuil Shiva di Sentul pada hari sebelumnya membuatkan pandangannya
berubah.
“Kebiasaannya orang Hindu di Malaysia hanya
mengetahui beberapa hari perayaan utama seperti Vinayagar Chaturthi, Ponggal, Deepavali, Navarathri, Thaipusam dan Chithirai Puttaandu.
“Tetapi kehadiran mereka ke Mahalaya Amavasai untuk menjalankan
upacara penghormatan kepada kaum-keluarga yang sudah lama meninggal dunia
menunjukkan pengetahuan serta pemahaman mereka terhadap ajaran agama tertua ini
masih teguh,” katanya dengan penuh optimis.
Pandangan keenam-enam rakan ini memang
berasas dan mungkin sahaja mewakili pandangan orang ramai secara umum.
Seperti yang sudah saya nyatakan sejak
awal, tentu sahaja pandangan dan hujah kami berlima boleh dipertikaikan serta
dibahaskan.
Sebagai pengkaji dan pengamal multi-faith (mengakui ajaran sebenar
dalam semua agama), saya sendiri selalu melakukan kritikan pedas terhadap
kejahilan orang Hindu berkenaan ajaran agama tauhid tertua itu menerusi
makalah, cerpen dan novel.
Tidak kurang juga kritikan dan sindiran
terhadap sikap endah tak endah terhadap kebudayaan dalam kalangan masyarakat
India daripada pelbagai keturunan seperti Tamil, Telugu, Malayali, Punjabi dan Benggali. (Ya,
orang Punjabi dan Benggali adalah dua keturunan yang berbeza.)
Menerusi cerpen “Jangan Pandang Sang Bulan” (Kisah dari Siru Kambam), diceritakan
mengenai kisah sebenar di sebalik sambutan Vinayagar
Chaturthi pada bulan Avani
(Ogos/September) mengikut kalendar Tamil.
Cerpen “Chitra Paurnami” (Kisah dari Siru Kambam) yang pernah dituduh oleh penolong editor
sebuah majalah sastera sebagai “ada unsur penyebaran agama Hindu” pula
menampilkan makna sebenar di sebalik perayaan berkenaan yang sudah tidak
diketahui orang ramai.
Siri makalah Bahasa Malaysia yang diusahakan
berkenaan ajaran Hindu dari semasa ke semasa serta didokumentasikan DI SINI bertujuan mengembalikan umat
Hindu kepada ajaran sebenar Sanathana Dharma.
Usaha kecil-kecilan ini juga membantu
rakan-rakan Bukan Hindu memahami apa sebenarnya ajaran yang terkandung dalam
Sanathana Dharma yang memang kompleks dan amat sukar dihuraikan tanpa budi (Sanskrit) dan akal (Arab).
Minda orang Hindu semakin bercelaru
Dalam hal ini, tidak dapat tidak, usaha
yang dilakukan oleh Kamaludin Endol menerusi buku Hinduisme: Agama Tauhid Terawal?
(2014) wajar dipuji, diucapkan tahniah dan dihargai.
Walaupun buku berkenaan melakukan
perbandingan dengan ajaran Islam serta tentunya memberikan “kemenangan” kepada
Islam, kandungan buku separa ilmiah itu mampu membuka akal dan budi penganut
Hindu yang masih teraba-raba dalam kegelapan dan kejahilan.
Saya memuji serta kagum dengan sikap
Kamaludin yang mampu bersikap objektif dalam menegaskan hakikat bahawa
Hinduisme (Sanathana Dharma) sesungguhnya adalah agama tauhid pertama, terawal
dan tertua di dunia.
Dalam pada itu, beliau juga cukup berilmu
dan berpengetahuan tentang ajaran sebenar Sanathana Dharma untuk menegaskan
dengan berani bahawa banyak ajaran Hinduisme pada masa sekarang yang sudah
terpesong jauh serta bercelaru akibat sikap para penganut sendiri.
Pendedahan berani ini pasti membuatkan
pihak tertentu marah-marah dan kononnya rasa terhina dengan “tuduhan” yang
dilemparkan.
Bagaimanapun, saya bersetuju dengan
kritikan ilmiah yang dikemukakan oleh Kamaludin kerana kata-katanya memang
benar. Pedas tetapi benar.
Daripada marah-marah dengan kritikan yang
dikemukakan, adalah lebih afdal jika orang Hindu melakukan muhasabah diri dan
kembali kepada Hinduisme yang sebenar.
Sekadar contoh mudah, baru-baru ini saya
bertemu seorang remaja/pelajar yang memuji-memuji seorang guruji iaitu individu seperti ulama yang menjadi pembimbing (guru; guide) dalam soal agama Hindu.
Menurut remaja berkenaan, guruji itu adalah “Tuhan” dan hanya dia
yang mampu menganugerahkan apa-apa yang dipinta oleh para penganut Hindu.
Sejak awal Disember 2013, saya menulis siri
makalah bagi mendedahkan penipuan terancang yang dilakukan oleh Datuk Guluji (bukan nama sebenar) dan
konco-konconya.
Atas rasa ingin tahu, saya bertanya kepada
pelajar berkenaan, bagaimana dengan amalan orang Hindu pergi ke kuil untuk
bersembahyang dan meminta restu Tuhan.
“Semua itu bukan Tuhan. Hanya guruji saya ialah Tuhan,” katanya dengan
penuh yakin.
Nama guruji
berkenaan tidak didedahkan di sini supaya tidak timbul sengketa dan pergaduhan
antara pengikut tegar beberapa guruji
yang menjadi ikutan di Malaysia dan masing-masing mungkin menganggap guruji mereka adalah Tuhan.
Siapa yang perlu cari penyelesaian?
Jawapan remaja itu memang amat
memeranjatkan tetapi tidak pula menghairankan kerana seperti yang saya katakan
sejak awal, pengetahuan, pemahaman, penghayatan dan amalan sebenar ajaran Hindu
dalam kalangan penganut agama berkenaan di negara bertuah ini semakin merosot.
“Khutbah atau ceramah keagamaan tidak
dilakukan di kebanyakan kuil tetapi hanya di kebanyakan ashram atau pusat yang dikendalikan guruji.
“Kehausan orang Hindu untuk lebih mendalami
agama ini membuatkan mereka sanggup membayar wang kepada golongan guruji yang rata-rata bermata duitan,”
kata Aslam Bigai dalam komennya.
Pada pandangannya, semua kuil di Malaysia
sepatutnya mengadakan sesi khutbah agama selain daripada kelas nyanyian Thevaram.
Tentulah penceramah yang benar-benar
mendalami ajaran sebenar Hinduisme diundang menyampaikan ilmu; bukannya
individu yang terpesong serta menyelitkan kepercayaan karut dan kisah dongeng
atas nama agama.
Pada tahun-tahun 1980-an dan 90-an,
Persatuan Hindu Universiti Malaya (PHUM) aktif menterjemah serta menerbitkan
buku-buku panduan dalam Bahasa Malaysia berkenaan ajaran Hinduisme.
Buku-buku berkenaan sangat sesuai dibaca
dan difahami dengan mudah; termasuk oleh remaja dan belia yang tidak ada
penguasaan Bahasa Tamil.
Namun begitu, belakangan ini nampaknya
buku-buku seperti itu sudah tidak diterbitkan. Atau mungkin saya yang terlepas
pandang.
Bagaimana pula dengan Malaysia Hindu Sangam (MHS) yang
mengiktiraf dirinya pertubuhan paling berkuasa dalam soal berkaitan Hinduisme
di Malaysia; sebagaimana MIC mengiktiraf dirinya parti politik
tunggal yang mampu memperjuangkan nasib “orang Tamil”?
Dalam isu Datuk Guluji dahulu, apabila saya
menyebut nama MHS dalam salah satu makalah, saya menerima mesej (SMS dan Facebook) amaran daripada beberapa
“orang penting” dalam MHS yang “menasihatkan” saya berhenti mengkritik mereka.
Maka, dalam isu berat yang sedang
diperkatakan ini, biarlah orang ramai sendiri mengemukakan pandangan dan cuba
mencari penyelesaian terbaik tanpa “mengkritik” atau melibatkan MHS dan MIC.
Ayuh, kita mulakan dengan diri dan keluarga
sendiri sebelum nasi menjadi bubur.
[Makalah ini ditulis pada 25 September 2014 dan disiarkan di The Malay Mail Online pada 29 September
2014. BACA MAKALAH BERKAITAN HINDUISME DI SINI. © Uthaya Sankar SB 2015. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini
serta segala kandungan mana-mana blog
kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]