Sebagai tambahan kepada soalan “Berapa sebenarnya Tuhan dalam ajaran Hindu?”
(Jawapan: Satu), soalan lazim yang turut ditanya adalah berkenaan amalan
menyembah “dewa-dewa kecil” yang biasanya berpenampilan bengis dan menakutkan.
Hasil penelitian, kajian, perbincangan dan
pembacaan saya terhadap kitab-kitab sahih (veda),
penyembahan dewa-dewa kecil seperti Muniswarar, Madhuraiveeran, Muniandy,
Ayyanar, Karupusami dan Sangili Karupan sebenarnya bertentangan ajaran sebenar
Hindu (Sanadana Dharma).
Tentulah kaum India yang menganut agama Hindu
sejak turun-temurun di Malaysia berhak untuk mempersoalkan kenyataan ini
berserta hujah bernas; sekali gus berpeluang pula untuk mengetahui kisah
sebenar di sebalik kelahiran dewa-dewa kecil ini.
Apabila perkara ini saya kemukakan menerusi
Facebook pada 25 September 2014,
beberapa rakan tampil berkongsi pandangan dan maklumat.
Pada pendapat Nizha Periaswamy, seorang wartawan, penyembahan dewa-dewa kecil
dalam kalangan penganut Hindu lebih merupakan amalan atau ritual turun-temurun.
Hal ini bermakna generasi muda mungkin
sahaja tidak tahu asal-usul atau kisah sebenar di sebalik kewujudan dewa-dewa
berkenaan; sebaliknya meneruskan tradisi yang menjadi ikutan nenek-moyang sejak
mereka mula-mula datang ke negara ini.
“Saya baru sahaja menunaikan suatu upacara
sembahyang bagi salah satu dewa kecil.
“Menariknya, ia berlangsung di sebuah kuil
di sebuah kampung pedalaman, lebih 200 kilometer dari kampung asal datuk-nenek
sebelah bapa saya di bahagian selatan India,” Nizha menceritakan.
Wartawan itu juga sempat bertanya kepada
sami (orang yang melakukan upacara pemujaan) di kuil berkenaan mengenai kisah
di sebalik kewujudan “dewa kecil” tersebut.
Perkongsian pengalaman rakan-rakan
Maklumat yang dikongsikan ada sedikit
persamaan dengan penjelasan yang turut dikemukakan oleh S. Velluswami dalam bukunya Hindu
Samaya Vilakkam yang diterjemahkan oleh Persatuan Hindu Universiti Malaya
(PHUM) dengan judul Pengenalan Beberapa
Aspek Hinduisme (1992).
“Menurut sami di kuil tersebut, dewa-dewa
kecil yang dimaksudkan itu bukanlah Tuhan, sebaliknya nenek-moyang yang
dipercayai terus merestui kebahagiaan hidup kita.
“Berikutan pengaruh dan kuasa positif
mereka terhadap kehidupan kita, maka amalan serta upacara sembahyang menjadi
kemestian; dan mereka pula mula dianggap sebagai dewa-dewi,” Nizha menghuraikan
berdasarkan versi cerita yang disampaikan kepadanya.
Wartawan itu turut memberikan contoh di
mana orang Hindu biasanya menyimpan foto ahli keluarga (datuk, nenek, ibu,
bapa) yang sudah meninggal dunia bersama-sama berhala di
tempat sembahyang di rumah.
“Mereka memberikan penghormatan yang sama
kepada nenek-moyang seperti yang dilakukan kepada Tuhan,” beliau menyimpulkan.
Bagi Nagathisen
Katahenggam dari Pulau Pinang, amalan menyembah dewa-dewa kecil “mungkin
bertentangan dengan Brahminisme tetapi bukan agama Hindu praktikal.”
Pandangan itu juga perlu diambil kira
kerana walaupun Hindusime (Sanadana Dharma) terbukti agama tauhid pertama, terawal dan tertua di dunia,
amalan yang kita perhatikan sekarang sudah mengalami perubahan yang amat
ketara.
Sebagaimana wujud enam mazhab utama dalam Islam, terdapat enam mazhab dalam
Hinduisme; serta terdapat pula interpretasi yang bebas dan meluas mengikut
keinginan masing-masing.
Malah, pada awalnya terdapat 72 aliran
(mazhab) sebelum Adi Shankara (788-820) menggabungkannya menjadi enam mazhab
utama; iaitu Shaivam (Shiva), Vaishnavam (Vishnu), Shaktam (Shakti), Ganapathyam (Ganapathi), Kaumaram
(Muruhan) dan Sauram (Suria).
Bagaimana dewa menjadi Tuhan
Filem Sanskrit berjudul Adi Shankaracharya (1983) dan filem
Telugu Sri Jagadguru Aadi Sankara
(2013) mungkin boleh sedikit membantu kita untuk lebih mengenali tokoh
berkenaan serta sumbangannya kepada penstrukturan semula ajaran agama Hindu.
Sanadana Dharma adalah istilah yang
dipopularkan oleh Mahatma Gandhi mulai tahun 1921 bagi
merujuk kepada ajaran Hinduisme yang bersifat sejagat serta “tiada mula dan
tiada pengakhiran” (eternal).
Saya menulis serta mendokumentasikan
sejumlah makalah DI SINI untuk
menjelaskan beberapa perkara berkaitan ajaran Hindu yang amat kompleks serta
boleh diberikan interpretasi yang pelbagai mengikut akal (Arab) dan budi
(Sanskrit) masing-masing.
Maka, walaupun penyembahan dewa-dewa kecil
secara nyata memang bukan ajaran Sanadana Dharma, perbuatan itu masih menjadi
amalan; dan semakin meluas di Malaysia.
Jagathesywara
Goopaalan dalam mesej peribadinya kepada saya
menjelaskan bahawa memang ada dewa-dewa kecil yang sudah mengalami transformasi
dan akhirnya diangkat oleh para pengikut ke tahap menyamai Tuhan.
“Setahu saya, Ayyappan berasal daripada Ayyanar tetapi daripada kedudukan
sebagai dewa kecil, kini sudah menjadi dewa utama yang disembah sebagai Tuhan
oleh para pengikut.
“Begitulah juga dengan Krishna dan Rama serta Mariamman dan Pechayi yang
asalnya hanya dewa-dewi kecil tetapi kini berstatus Tuhan dalam kalangan
sebahagian penganut Hindu,” katanya.
Amalan ini tentu sahaja secara
terang-terangan lari daripada ajaran sebenar Sanadana Dharma yang melarang
penyembahan selain daripada Ekan Anekan
– Tuhan Yang Maha Esa.
Satu lagi contoh baik yang dikemukakan oleh
Jagathesywara adalah kuil Muniswarar di Seberang Perai, Pulau Pinang yang
bermula sebagai sebuah kuil kecil bagi dewa kecil, tetapi kini sudah menjadi
sebuah kompleks kuil yang serba lengkap dengan pelbagai kemudahan.
Kealpaan yang semakin berleluasa
Ramai yang tidak tahu asal-usul dewa-dewa
kecil ini dan hanya menerima amalan turun-temurun serta mempercayai bahawa
dewa-dewa berkenaan adalah Tuhan.
Tanpa disedari, mereka semakin jauh
daripada Tuhan, Sanadana Dharma dan ajaran sebenar Hinduisme. Malangnya,
kejahilan turun-temurun membuatkan seluruh masyarakat terus hanyut dalam
kealpaan.
Kemuncak kepada kekeliruan, kejahilan dan
kecelaruan ini adalah apabila penganut Hindu hanya mampu tersengih bilamana
ditanya soalan “Berapa sebenarnya Tuhan dalam ajaran Hindu?”
Velluswami dalam bukunya menjelaskan bahawa
ramai orang Hindu di Malaysia keliru dan beranggapan bahawa Tuhan (Kadavul, Iraivan) sama sahaja dengan dewa-dewi (theivam, saami).
Kalau kita berkunjung ke kuil dewa-dewa
kecil seperti Madhuraiveeran, Muniandy, Ayyanar, Karupusami dan Sangili
Karupan, biasanya arak dan daging korban (kambing atau ayam) dipersembahkan
kepada dewa-dewa yang biasanya berwajah bengis, menakutkan dan menggerunkan, serta lengkap memegang
senjata seperti parang dan tombak.
“Penganut agama Hindu yang menyembah
Muniandy atau dewa-dewa lain harus meninggalkan tabiat ini. … Para budiman
agama Hindu haruslah bergiat untuk membanteras penyebaran dan penyembahan
dewa-dewa kecil ini,” kata Velluswami dalam bukunya.
Pada zaman dahulu di kampung-kampung kecil
di India, terdapat individu gagah berani yang ditugaskan untuk mengawal
sempadan kampung daripada serangan musuh.
Bayangkan individu berkenaan – Muniswarar
atau Muniandy, misalnya – terkorban dalam perjuangan mempertahankan kampung
masing-masing.
Sebagai tanda menghargai sumbangan mereka,
patung menyerupai Muniswarar atau Muniandy dibina di sempadan kampung
masing-masing.
Dewa kecil datang ke Malaya
Penduduk kampung berkenaan mengadakan
upacara khas bagi memperingati serta menghargai pengorbanan mereka; lebih
kurang seperti upacara memperingati perajurit di Tugu Negara (tetapi bukan
memuja).
Lama-kelamaan, generasi demi generasi,
Muniswarar, Madhuraiveeran, Muniandy, Ayyanar, Sangili Karupan, Karupusami dan
sebagainya diangkat taraf daripada manusia biasa (pengawal sempadan) kepada
tahap dewa kecil yang digelar “kaaval theivam” (dewa pengawal).
Penduduk menganggap mereka sebagai dewa
yang melindungi kampung masing-masing, lalu mencipta cerita dan mitos untuk
diceritakan kepada anak-cucu.
Kuil dewa kecil seperti inilah yang mungkin
telah dikunjungi oleh Nizha dan diterangkan oleh Jagathesywara.
Apabila sebahagian penduduk Benua Kecil
India berhijrah ke Tanah Melayu (Malaya),
tradisi menyembah dewa-dewa kecil itu dibawa bersama untuk mendapatkan
perlindungan.
Patung atau lukisan dewa-dewa kecil ini
juga sering diletakkan di hadapan rumah untuk menjalankan tugas pengawal.
Patung anjing juga selalu dimasukkan kerana binatang
itu turut merupakan pengawal yang baik.
Apa yang menarik, kisah sebenar Muniswarar
dan Muniandy yang merupakan manusia biasa yang terkorban sebagai wira semasa
mempertahankan sempadan kampung sudah hilang dan diganti mitos, legenda dan
cerita-cerita rekaan yang mengaitkan dewa-dewa kecil itu dengan inkarnasi
Shiva, Shakti dan sebagainya.
Upacara sembanyang khas diadakan dengan
mengorbankan kambing dan ayam serta sajian arak dan curut; kononnya atas
permintaan dewa-dewa kecil itu sendiri!
Tanpa disedari, penganut dewa-dewa kecil
itu sebenarnya sedang semakin jauh terbabas daripada ajaran sebenar Hindu
(Sanadana Dharma), agama tauhid tertua di dunia.
Lebih malang apabila ramai daripada mereka
seolah-olah langsung tidak menyedari kecelaruan tauhid yang sedang berlaku.
Ayuh, kita bahaskan demi mencari pencerahan.
[Makalah ini ditulis pada 26 September 2014 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 29 September
2014. BACA MAKALAH BERKAITAN HINDUISME DI SINI. © Uthaya Sankar SB 2015. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini
serta segala kandungan mana-mana blog
kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]