Dalam pada seluruh negara bercakap serta
membantah Akta Hasutan 1948, nampaknya ada kelompok tertentu yang terlalu jahil
serta tidak tahu apa-apa mengenai akta berkenaan.
Contoh terdekat adalah tindakan seorang
budak hingusan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang mencadangkan supaya
saya dikenakan Akta Hasutan kerana kononnya memperlekehkan UiTM.
Pada 9 September 2014, saya dan Perzeus James meminta peguam kami,
Annou Xavier menulis surat kepada ketua polis daerah (OCD) Shah Alam untuk
mengetahui perkembangan suatu kes.
Terdahulu, pada 8 Mei 2014, kami berdua
membuat laporan polis terhadap sebuah seminar
berciri anti-Kristian anjuran bersama UiTM.
Berikutan laporan itu, saya dan Perzeus
dipanggil untuk diambil keterangan di ibu pejabat polis daerah (IPD) Shah Alam
sebanyak dua kali, iaitu pada 16 Mei dan 7 Jun 2014.
Maka, kami berdua mahu tahu status
penyiasatan kes kerana tidak mendapat apa-apa berita daripada pegawai penyiasat
selepas tiga bulan.
Dalam pada itu, polis dan kerajaan kini
seolah-olah sangat berminat dengan Akta Hasutan dan beberapa orang ditahan
serta dibicarakan di bawah akta itu.
Seminar di UiTM yang menjadi persoalan di
sini secara nyata berciri anti-Kristian dan “mengembangkan perasaan niat jahat
dan permusuhan antara kaum atau golongan yang berbeza” seperti kata Seksyen 3
(1) Akta Hasutan.
Menerusi surat bertarikh 9 September 2014,
kami juga bertanya sama ada dakwaan terhadap penganjuran seminar anti-Kristian
itu sedang disiasat mengikut Kanun Keseksaan (Akta 574) atau Akta Hasutan (Akta
15).
Perkara ini dilaporkan juga di The Malaysian Insider (11 September
2014) dan mendapat reaksi pembaca yang rata-rata membidas seminar anjuran UiTM
dengan kerjasama Majlis Agama Islam Selangor (Mais).
Tindakan yang dikatakan memperlekeh UiTM
Sejak awal, saya sudah menjangkakan reaksi
negatif terhadap tindakan saya dan Perzeus meminta peguam kami menghubungi
ketua polis daerah.
Walau bagaimanapun, saya mengharapkan
kritikan, komen dan bidasan yang matang dan boleh dianggap sebagai dialog
sihat.
Malangnya, apa yang muncul hanyalah lalakan
budak hingusan yang disiarkan pula oleh Ikatan Muslimin Malaysia (Isma)
menerusi portal Islam dan Melayu (Ismaweb)
pada 11 September 2014 – BACA DI SINI. [Juga dilaporkan di The Malaysian Insider dan The Malay Mail Online serta Malaysiakini]
Sebenarnya, pada 19 Julai 2013, Isma pernah
“menyeru” saya meninggalkan agama asal dan masuk Islam.
Seruan itu dilakukan Setiausaha Biro
Politik Isma, Hazizi Ab Rahman berikutan kenyataan saya bahawa “satu-satunya pemimpin Islam yang paling saya kagumi ialah
Nabi Muhammad.”
Lebih setahun kemudian, nama saya muncul
kembali (kali kedua) di portal milik Isma dan kali ini lebih melucukan.
“Perzeus dan Uthaya yang sepatutnya
dikenakan Akta Hasutan berikutan tindakan mereka yang memperlekeh UiTM,” kata
Qamarul Nazrin Harun selaku presiden Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina)
UiTM Kampus Puncak Alam dan Puncak Perdana.
Bagaikan budak hingusan yang merengek
kerana tidak dapat gula-gula, dia dilaporkan berkata, “menjadi tanggungjawab
UiTM untuk mendidik anak-anak bangsa untuk menjaga agama Islam terhadap ancaman
Kristianisasi yang semakin hari semakin hebat mengasak aqidah umat Islam.”
Budak itu terbukti dan ternyata tidak tahu
isu sebenar; sebaliknya sekadar melalak-lalak atas permintaan Isma.
“Apa lagi mereka mahu? Tidakkah mereka tahu
bahawa Mahkamah Persekutuan telah pun memutuskan bahawa penggunaan kalimah ‘Allah’
hanya eksklusif untuk orang Islam?” tanyanya lagi; sekali gus menyerlahkan lagi
kejahilannya terhadap isu sebenar yang menjadi pokok perbincangan.
Berbunyi umpama tin kosong
Bayangkan bahawa budak-budak kurang cerdik
dan kurang kemampuan seperti ini suatu hari nanti akan tamat pengajian dan
menjadi anggota masyarakat, malah menjadi pemimpin negara!
Demi menegakkan benang yang basah, Qamarul
(nama yang indah!) berhujah bahawa saya dan Perzeus “seharusnya tahu bahawa
UiTM merupakan salah satu hak keistimewaan orang Melayu seperti
yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 153.”
Laporan separuh masak yang disiarkan portal
Isma sebagai “berita utama” tidak mendapat sebarang komen pembaca, walaupun
“disukai” oleh sepuluh pembaca.
Apabila berita itu diketahui wartawan The Malaysian Insider, maka disiarkan
berita berdasarkan kenyataan Qamarul meroyan di portal Isma.
Semasa makalah ini ditulis, laporan di The Malaysian Insider (12 September
2014) “disukai” lebih 1,300 pembaca, dikongsi lebih 3,370 orang menerusi Facebook dan 106 orang menerusi Twitter, serta mendapat sekitar 60 komen
pembaca.
Hujah yang dikemukakan oleh budak hingusan
itu teramat memalukan, apatah lagi apabila khabarnya mewakili pelajar UiTM.
Qamarul berhujah bahawa UiTM berhak
menganjurkan “program-program kesedaran” supaya belia Melayu “yang bakal memegang tampuk
kepimpinan negara” dapat menyedari “ancaman-ancaman yang menggugat keharmonian
negara”.
Budak itu tentu tidak menghadiri seminar anti-Kristian pada 6 Mei 2014.
Dia tentu tidak tahu bahawa seminar itu secara terang-terangan menghina
Kristian.
Dia tidak tahu penceramah turut terdiri
daripada orang yang menyamar sebagai “bekas paderi” dan “bekas biarawati”.
Pada 20 Mei 2014, saya pergi sendiri ke
pejabat Mais di Menara Utara, Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam untuk
mendapatkan maklumat.
Para pegawai di sana mengesahkan bahawa
seminar seminar berkenaan terbuka kepada umum (bukan hanya orang Islam) dan
telah diiklankan juga di akhbar Sinar
Harian.
Usah melatah tanpa usul-periksa
Buku Pendedahan Agenda Kristian terbitan
Mais turut diedarkan percuma kepada hadirin; bukan hanya kepada peserta Islam.
Sekumpulan pelajar Bumiputera beragama
Kristian dari Sabah dan Sarawak mengesahkan bahawa mereka diwajibkan menghadiri
seminar itu oleh pensyarah mereka.
Segala maklumat dan isu berkaitan
perjalanan seminar anti-Kristian ini ada saya dokumentasikan di blog saya bagi tujuan dokumentasi.
Qamarul ternyata terlalu mentah, jahil dan
tidak mengikuti perkembangan isu ini sejak awal.
Maka dia hanya melatah selepas membaca
laporan di The Malaysian Insider pada 11
September 2014.
Lebih melucukan apabila portal milik Isma
menyiarkan pula lalakan itu sebagai sebuah berita utama.
Seluruh kandungan berita itu melucukan dan
bakal menjadi bahan jenaka untuk sekurang-kurangnya setahun lagi.
Budak hingusan yang tidak cukup ilmu itu
menganggap surat saya dan Perzues kepada OCPD sebagai “memperlekeh” UiTM.
Sewenang-wenangnya Qamarul mahu kami berdua
dikenakan Akta Hasutan. Seolah-olah akta itu boleh digunakan ikut suka hati.
Sama-samalah kita berdoa agar Qamarul
satu-satunya pelajar kurang cerdik di UiTM.
[Makalah ini ditulis pada 14 September 2014 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 15 September
2014. © Uthaya Sankar SB 2014. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini
serta segala kandungan di Blog Uthaya
Sankar SB atas pilihan
sendiri.]