17 Nov 2014

Melayu Pemalas?


Kata-kata Tun Mahathir Mohamad baru-baru ini bahawa orang Melayu adalah “pemalas” dan “kurang amanah” membuatkan ramai tersentak.

Bekas perdana menteri itu memang terkenal dengan sikap “mulut laser” selepas jawatan perdana menteri diserahkannya kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi (2003), dan selepas itu dimintanya supaya diserahkan kepada Datuk Seri Najib Razak (2009).

Najib juga tidak terlepas daripada kritikan di mana Mahathir berkata, jika dia berada di tempat Najib sekarang, dia tentu sudah melepaskan jawatan perdana menteri.

“Harapan saya, Najib akan mengambil ikhtibar daripada prestasinya yang buruk dalam PRU-13. Malangnya sehingga kini tidak nampak apa-apa perubahan dari segi dasar atau pendekatan walaupun saya cuba menyampaikan pendapat saya secara langsung kepada Najib,” akui Mahathir di blognya pada 18 Ogos 2014.

Agak menarik untuk diperhatikan bahawa media arus perdana (elektronik dan bercetak) yang sering menjadi alat propaganda Barisan Nasional (BN) tidak berani bersuara menentang hujah bekas perdana menteri itu.

Ketika melancarkan sebuah buku di Kuala Lumpur pada 11 September 2014, bekas perdana menteri berdarah Malayali itu dilaporkan menyindir orang Melayu dengan menggelarkan mereka “malas”. 


[Najib gelar Mahathir "bekas PM berketurunan India" -- BACA DI SINI




[Zahid Jawa "Jambu" dedah Mahathir orang India -- BACA DI SINI]
[Tonton VIDEO ucapan Zahid -- DI SINI]

Mahathir yang menjadi perdana menteri selama 22 tahun (1981-2003) turut menuduh bangsa Melayu sebagai “kurang amanah”.

Sedap mulut sahaja mamak ini menuduh orang Melayu di negara bertuah ini sebagai “malas” dan “kurang amanah”.

Demikian saya meluahkan rasa marah saya menerusi Facebook kerana saya amat tidak bersetuju dengan kenyataan Mahathir yang bersifat serkap jarang dan stereotaip.

Saya menunggu juga Perkasa, Isma, Umno, Pekida, Kimma, Ridhuan Tee Abdullah, penari tarian punggung, pengusung kepala lembu dan para pejuang Melayu bangkit membantah tuduhan liar itu.

Menunggu juga golongan penulis Melayu bangkit berjuang mempertahankan maruah bangsa Melayu menerusi tulisan-tulisan yang bernas.

Menanti pertubuhan-pertubuhan penulis yang menerima habuan kewangan daripada Najib dan BN bangkit menyatakan sokongan padu yang tidak berbelah bagi.

Golongan penulis tidak berani bersuara

Pada suatu majlis penyampaian hadiah di kediaman rasminya di Putrajaya pada 7 Januari 2014, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata bahawa golongan sasterawan (Melayu) sentiasa bersama BN dan tidak pernah bersama pembangkang.

“Sekiranya ada pihak yang mendakwa golongan sasterawan berada di haluan sana (pembangkang), manakala pemimpin negara berada di haluan sini (kerajaan), itu adalah dakwaan yang tidak benar sama sekali,” katanya (Utusan Malaysia, 8 Januari 2014) – BACA LAGI.

Akan tetapi, sepanjang pengetahuan saya, sehingga makalah ini ditulis, mereka belum berani bersuara menentang tuduhan liar Mahathir.

Agak menarik bahawa apabila Pengerusi Majlis Gagasan Malaysia, Manivannan Rethinam membidas kritikan Mahathir, Yang DiPertua Perkasa Selangor, Abu Bakar Yahya memberikan amaran kepada Manivannan supaya tidak masuk campur.

Selain tuduhan “malas”, golongan belia (lelaki) Melayu pula dilihat oleh Mahathir sebagai lebih berminat menjadi mat rempit dan sampah masyarakat.

“Kalau kita pergi universiti, 70 peratus perempuan. Budak-budak jantan, apa dia buat? Jadi mat rempit. … Semasa saya jadi perdana menteri, saya tidak mahu orang Melayu jadi bodoh,” katanya dalam suatu wawancara khas yang disiarkan di akhbar Mingguan Malaysia (14 September 2014).

Semasa berkongsi tuduhan “malas” dan “kurang amanah” itu menerusi Facebook, saya terpaksa membuat catatan berikut: Jangan pula ada lagi puak kurang cerdik yang menuduh “Uthaya kata Melayu malas dan kurang amanah”.

“Dalam al-Quran, ada satu Islam sahaja. Kita yang buat tiga Islam, empat Islam. Sekarang ini, ada 1,000 Islam,” katanya lagi menerusi Mingguan Malaysia.

Petikan itu juga saya kongsikan menerusi laman rangkaian sosial dengan catatan berupa harapan bahawa tidak ada sesiapa yang memutar-belitkan fakta lalu membuat tuduhan “Uthaya kata sekarang ini ada seribu Islam.”

Catatan berupa sindiran halus itu adalah disengajakan kerana semua paparan saya di Facebook adalah umum (public) dan sering disalah tafsir golongan kurang cerdik, etnosentrik dan rasis yang turut memantau tulisan saya.

Sekadar contoh, tidak lama dahulu, saya mengulas buku Sensitive Truths in Malaysia: A Critical Appraisal of the Malay Problem (2013) tulisan AB Sulaiman. [BACA DI SINI]

Segera muncul sekelompok kecil manusia yang kurang mampu membaca, lalu memutar-belitkan fakta berdasarkan fikiran sempit mereka.

Jangan lupa ‘Dilema Melayu’

Kelompok fanatik yang kurang cerdik itu membuat kesimpulan “Uthaya kata bangsa Melayu tidak wujud” sedangkan itu adalah hujah penulis buku berkenaan.

Anehnya, apabila Mahathir menyelar pemimpin Melayu serta bangsa Melayu secara terang-terangan, mereka memilih untuk membisu seribu bahasa.

Mungkin kerana mereka menganggap Mahathir maha berkuasa dan pengkritik akan terbakar hangus jika cuba melawan hujahnya.

Kalau mahu dikatakan kelompok ultrakiasu itu tidak mahu “cari gaduh” dengan pengkritik daripada kaum sendiri (Melayu), ternyata Mahathir berjaya mengabui mata mereka dengan menyembunyikan identiti sebenar keturunannya.

Dalam pada itu, ada pihak yang terlalu taksub dengan Mahathir mempersoalkan mengapa baru kini kita mahu mengkritik Mahathir, sedangkan sejak dahulu dia mengkritik orang Melayu secara terang-terangan.

Contoh paling mudah adalah buku The Malay Dilemma (1970) di mana Mahathir mengkritik, menyindir dan menyelar orang Melayu dengan berani dan tanpa simpati.

Ada dua faktor asas yang perlu diperhatikan berkenaan buku itu untuk menjawab persoalan mengapa orang tidak marah-marah pada waktu itu.

Pertama, buku berkenaan ditulis menggunakan Bahasa Inggeris dan sebagaimana selalu diingatkan oleh Mahathir sendiri sehingga hari ini, orang Melayu kurang membaca buku “bahasa penjajah” itu.

Kedua, selepas terbit, buku berkenaan diharamkan oleh perdana menteri waktu itu, Tunku Abdul Rahman. Maka, tidaklah dibaca secara terbuka atau dikritik secara terbuka kandungannya.

Pada 1981, sebaik Mahathir berjaya menjadi lelaki berdarah Malayali pertama memegang jawatan perdana menteri Malaysia, buku The Malay Dilemma tidak lagi diharamkan.

Malah, Ibrahim Saad menterjemahkan buku itu ke Bahasa Malaysia dengan judul Dilema Melayu (1982) demi manfaat pembaca Melayu (Umno).

Orang Melayu mudah lupa?

Memandangkan buku berkenaan dikarang oleh perdana menteri yang amat berkuasa dan disifatkan bersikap “kuku besi”, tentulah tidak ada sesiapa pun berani mempersoalkan segala hujah, kritikan, sindiran dan cemuhan Mahathir terhadap orang Melayu.

Orang Melayu mudah lupa. Demikian juga sering diingatkan oleh Mahathir.

Sajak berjudul “Melayu Mudah Lupa” dibacakan Mahathir dengan penuh perasaan pada akhir ucapan penggulungan semasa Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 23 Jun 2001.

Harap maklum bahawa Mahathir masih perdana menteri waktu itu dan tidak ada sesiapa yang berani melawan atau membantah hujah-hujah yang disampaikannya menerusi sajak berkenaan.

Menurut laporan di Utusan Malaysia, “sebaik sahaja beliau (Mahathir) selesai membacanya (sajak), seluruh perwakilan (Umno) bangun secara spontan dari kerusi masing-masing sambil memberikan tepukan gemuruh.”

Walaupun saya dan Mahathir sama-sama mempunyai darah Malayali, saya masih tidak bersetuju apabila Mahathir menyelar orang Melayu sebagai malas, tidak amanah dan sebagainya.

Kalaulah benar orang Melayu masih malas dan tidak amanah, bukankah itu bukti kegagalan Mahathir sendiri sebagai perdana menteri, presiden Umno (baru dan lama) dan pengerusi BN?

Timbul pula pertanyaan berkenaan motif sebenar Mahathir membuat segala tuduhan dan kritikan itu.

Apakah dia sebenarnya mahu melemahkan Najib yang sudah sedia “retak menanti belah”?

Apakah Mahathir mahu segera mengangkat Muhyiddin atau Datuk Seri Zahid Hamidi menjadi perdana menteri baru menjelang PRU-14?

Atau apakah pemimpin veteran itu asyik terimbas akan kegemilangan masa lalu dan menyimpan sedikit cita-cita untuk kembali memegang tampuk pemerintahan negara?


“Bangsa saya tidak tahu bersyukur”

Persoalan-persoalan di atas hanyalah andaian-andaian yang timbul semasa berbual santai dengan rakan-rakan pelbagai kaum dan agama sejak seminggu lalu.

Kalaulah kata-kata Mahathir boleh dipercayai, segala kritikannya tidak bertujuan meraih simpati dan tidak juga bertujuan memburukkan kaum Melayu.

“Saya sedih. Bukanlah saya berharap kerana kesedihan saya akan menarik simpati sesiapa. Hanya saya ingin menyatakan perasaan saya – perasaan apabila melihat kaum bangsa saya, orang Melayu, begitu sekali tidak tahu bersyukur, begitu sekali mudah lupa, begitu sekali mudah dipengaruhi dan diperalat oleh orang lain sehingga sanggup memburukkan bangsa sendiri.”

Demikian petikan “Suara hati Dr Mahathir” yang disiarkan di Utusan Malaysia (23 September 2012) untuk renungan bersama.

“Orang putih, secara terbuka menyatakan orang Melayu adalah bodoh dan malas, tidak mampu menyumbang apa-apa kepada pembangunan negeri-negeri mereka. … Orang asing dari India dan Cina [sic] perlu dibawa masuk untuk mengatasi masalah Melayu malas dan tidak cekap,” katanya lagi.

Ternyata tidak seorang pun individu kaum Melayu yang terlepas daripada kritikan pedas Mahathir.

“Untuk bekerja sebagai budak pejabat memerlukan kelulusan tertentu. Tetapi untuk menjadi Yang Berhormat, menteri, bahkan Perdana Menteri tidak memerlukan apa-apa sijil atau kelulusan.”

Kata-kata Mahathir di atas seiring keluhan orang ramai yang sudah meluat, kecewa dan menyampah dengan perangai buruk para politikus yang tidak layak menjadi pemimpin.

Dalam tulisan sama di akhbar Utusan Malaysia (23 September 2012), Mahathir meluahkan rasa sedih dan kecewa kerana bangsanya (Melayu, bukan Malaysia) “jelas tidak dapat menangani kejayaan”.

“Bangsa saya mudah lupa. Bangsa saya tidak tahu bersyukur,” katanya.

Memang hebat lakonan dan persembahan Mahathir. Memang besar sumbangannya kepada negara.

Namun, saya tetap merakamkan rasa sedih, marah dan kecewa berikutan kenyataanya bahawa orang Melayu “malas” dan “tidak amanah”.

[Makalah ini ditulis pada 15 September 2014 dan disiarkan di The Malay Mail Online pada 16 September 2014. © Uthaya Sankar SB 2014. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]