Walaupun sudah lebih 50 tahun sejak
perjanjian pembentukan Persekutuan Malaysia ditandatangani, nampaknya masih ada
suara tidak puas hati dalam kalangan penduduk Sabah dan Sarawak.
Pada 16 September 2014, sebuah pertubuhan
bukan kerajaan (NGO) yang dinamakan Momogun Movement
for Self-Determination (Mosik) diasaskan di Kota
Marudu, Sabah.
Menurut Daniel Jebon Janaun, Mosik diasaskan
“demi perjuangan memulihkan status Sabah sebagai sebuah negara merdeka dan
berdaulat selaras Perkara 20, Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Laporan
Suruhanjaya Cobbold, Laporan IGC dan Perjanjian Malaysia 1963, serta jaminan dan
persetujuan asal dalam penubuhan Malaysia.”
Maklumat asas mengenai perjuangan pelbagai
lapisan masyarakat “Momogun” iaitu “Orang Asal Sabah” dihuraikan dalam makalah
bertajuk “Apa Lagi Sabah Mahu?” (The Malaysian Insider, 23 September
2014).
Dalam perkembangan terbaru, menerusi
perkongsian di Facebook pada 4
November 2014, Daniel meluahkan pandangan betapa Sabah sedang menuju
kehancuran.
“Sabahan (Momogun), kenapa menuntut hak
sendiri pun kalian tidak mahu? Sabahan sudah sengsara pun masih juga tidak
berani bersuara menentang penindasan regim Malaya (Tanah Melayu) dan orang
sendiri?
“Hak orang asal dihakis. Orang asal sedang
dirancang untuk dihapuskan, pun majoriti Sabahan berdiam diri!” Kata-katanya
berdasarkan pengalaman sendiri memimpin perjuangan Mosik.
Benarkah Sabah serta penduduk asal Sabah
sedang sengsara seperti didedahkan Daniel? Untuk mencari jawapan, saya cuba
mendapatkan reaksi daripada beberapa orang Momogun.
Dalam hal ini, Daniel mengakui bahawa
majoriti penduduk Sabah susah untuk tampil bersuara dan mendedahkan penindasan
dan kezaliman yang sedang berlaku.
Teruskan perjuangan demi pertahan hak
“Mereka diancam, diugut dan ditakut-takutkan.
Malah, ada yang tidak lagi rasa sengsara sebab sudah terlalu lama sengsara,”
kata lelaki daripada etnik Kadazan (Kimaragang) itu.
Tulisla
Leeann menyeru rakan-rakannya supaya meneruskan
perjuangan serta mengharapkan agar usaha yang dilakukan mendapat lebih banyak
sokongan dan penyertaan. Pandangan hampir sama dikongsi Jettry Otto, Wesley Masampai
dan Jaff Boluot.
“Kita tuntut hak taburan dari ladang kita,
bukan dari ladang orang lain,” kata Jenol
Samaron secara simbolik.
Sabah dikatakan sudah dimiskinkan walaupun
“negeri di bawah bayu” itu sebenarnya amat kaya.
“Kekayaan bumi Sabah dijarah, dikaut dan
dibawa ke Malaya sehingga ahkhirnya wujud kemiskinan yang tinggi dan kitaran
ganas kemiskinan di Sabah,” kata Daniel dalam wawancara sebelum ini.
Tindakan kerajaan pusat mengaut dan
merampas hasil minyak dan gas Sabah dan Sarawak menerusi Petronas dianggap
zalim dan kejam kerana perbuatan itu sebenarnya bukan dalam bidang kuasa
kerajaan pusat.
Pada pendirian Mick Sawatan, menuntut hak orang Sabah bukan milik satu-satu pihak.
Sebaliknya ia perjuangan seluruh rakyat Sabah tanpa mengira arah sokongan
politik.
“Perjuangan hak penduduk Sabah perlukan
perasaan bersatu, tidak semestinya satu ideologi. Masing-masing gunakan
platform dan wacana yang ada untuk mengukuhkan perjuangan demi Sabah,” katanya.
Generasi muda juga perlu ditanamkan
semangat cinta akan sejarah dan asal-usul. Seperti kata De Ward, guru sekolah patut mengajar murid dan pelajar sejarah yang
betul, “bukan suruh menaikkan bendera BN (Barisan Nasional).”
Pendatang tanpa izin diutamakan
Bagi menzahirkan semangat perjuangan demi
hak, Randdy Carlles Hyeen
mencadangkan para penyokong membuat perhimpunan aman bagi membantah segala
perkara tidak betul yang sedang berlaku.
Salah satu isu yang hangat sekarang adalah
berkaitan masalah pendatang tanpa izin (PTI) dari Indonesia dan Filipina yang
dikatakan diberikan sijil kelahiran dan kad pengenalan secara mudah.
“Rakyat Sabah memang betul-betul sengsara.
Tanah adat dirampas, hasil ekonomi dikaut dan dibawa ke Malaya manakala yang
diberi kepada Sabah sedikit saja.
“Infrastruktur daif di mana-mana. Kami
miskin kerana dimiskinkan. Ekonomi lumpuh. Mutu dan tahap pendidikan sangat
rendah. Ini belum masuk masalah PTI dan Projek IC,” kata Wira Maple menerusi mesejnya.
Seperti dilaporkan The Malaysian Insider (29 Oktober 2014), Putrajaya bersedia memberikan
sijil kelahiran kepada anak-anak tanpa kewarganegaraan di Sabah “atas dasar
kemanusiaan”.
Tentulah penduduk asal Sabah berhak untuk
berasa bimbang. Pada 15 Oktober 2014, misalnya, seorang bayi yang lahir di
Hospital Wanita dan Kanak-kanak Kota Kinabalu pada 4 Oktober 2014 diberikan
sijil kelahiran hijau (warganegara) oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)
cawangan Hospital Pakar Likas.
Berdasarkan maklumat pada sijil kelahiran
bayi yang berbintikan “Abdullah” itu, bapanya berumur 38 tahun, beragama Islam,
keturunan Filipino, bukan warganegara Malaysia dan datang menggunakan pas
lawatan (IMM13).
Ibu pula tinggal di Kota Kinabalu,
keturunan Filipino, beragama Islam, berumur 23 tahun tetapi sudah memiliki
status pemastautin tetap (penduduk tetap).
Maklumat yang tersebar menerusi laman
rangkaian sosial mendedahkan kemungkinan
wanita itu baru beberapa tahun datang ke Sabah tetapi pihak tertentu (ketua
kampung berketurunan Sulu?) membuat akuan palsu kononnya dia datang 20 tahun
lalu.
Banyak kejadian tidak diketahui orang luar
Laporan Bernama
(3 November 2014) memetik Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal
Pengguna Sabah, Datuk Jainab Ahmad Ayid meminta rakyat Sabah tidak perlu
bimbang.
Khabarnya, pemberian sijil kelahiran kepada
anak-anak tanpa kewarganegaraan tidak bermakna mereka secara automatik mendapat
taraf warganegara dan menikmati keistimewaan sebagai rakyat Malaysia.
Berhubung sijil kelahiran bagi bayi yang
dinyatakan di atas, ahli jawatankuasa Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan), Rayner Yeo yang berasal dari Sabah
tampil memberikan penjelasan berdasarkan Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan,
serta Bahagian II, Jadual II.
“Jika anak tersebut dilahirkan di Malaysia
dan salah seorang ibu bapa adalah pemastautin tetap, maka anak tersebut dikira
sebagai warganegara,” kata pemuda berdarah kacukan Cina, Dusun dan Murut itu.
[Bandingkan dengan isu ini: Bukan Warga di Negara Sendiri]
Dari sudut lain, apa yang menghairankan,
sementara golongan PTI amat mudah mendapatkan dokumen pengenalan rasmi dan
taraf kewarganegaraan, penduduk asal Sabah pula terus menderita, dipinggirkan dan dizalimi
kuasawan.
“Sabahan memang sengsara kerana ancaman
besar keselamatan PTI yang berlaku saban hari. Misalnya rompakan, pecah rumah,
rogol, bunuh dan culik,” kata Jenol
Samaron.
Beliau turut berkongsi pandangan iaitu
orang asal Sabah sengsara disebabkan tahap ekonomi yang teruk dan pendapatan
yang rendah, berbanding harga barangan keperluan asas yang tinggi.
Berat mata memandang, berat lagi bahu
memikul. Atas sebab itulah Butiza Emas
meminta sesiapa yang mahu memahami penderitaan mereka, maka wajar pergi dan
tinggal di mana-mana bahagian Sabah selama beberapa hari.
“Perdana Menteri buat tuli”
Bagaimana dengan politikus dan wakil rakyat
yang dipilih untuk bersuara mewakili penduduk yang memerlukan bantuan?
Jamiah
JM Thewive menyifatkan politikus dan
menteri-menteri warga Sabah umpama lembu yang dicucuk hidung dan diperalatkan Umno.
“Tinggalkan BN dan berjuanglah bersama
rakyat untuk membebaskan Sabah daripada jajahan Malaya. Buka mata, buka hati.
Berfikirlah dengan hati nurani, bukan dengan hawa nafsu,” rayunya kepada
politikus Sabah menerusi komen yang ditulis.
Berikutan kempen meluas yang dilakukan
Mosik dan pelbagai kumpulan lain di seluruh Sabah, kesedaran masyarakat
nampaknya semakin meningkat.
“Selama ini kita tahu Sabah bebas daripada
penjajah British tetapi kita tidak pernah merasai nikmat merdeka yang sebenar.
Syukurlah semakin ramai Sabahan sedar akan sejarah sebenar.
“Merdeka dalam erti kata sebenar adalah
apabila Sabah mampu membawa acuan pemerintahan sendiri tanpa pengaruh dan
campur tangan pihak luar,” kata Jeff
LeoNo.
Dalam hal perjuangan ini, Ismaily Bungsu C tampil menyatakan
bahawa memang sudah lama orang Sabah bersuara.
“Cuma pemerintah tulikan telinga dan para
Yang Berhormat diam. Kalau orang bising pun, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak buat tuli,” katanya.
Mengulas soal kesengsaraan rakyat Sabah, Montis Braynlee menghuraikan bahawa kos
sara hidup yang terlalu tinggi menjadi antara sebab paling utama.
“Pendapatan bagi keluarga yang ada kebun
getah empat hektar pun paling tinggi RM800. Katakan ada tujuh ahli keluarga.
Kos barangan dapur RM500, tambang bas sekolah untuk tiga anak RM114, wang saku
untuk tiga anak bersekolah RM90. Ini belum masuk kos-kos lain,” katanya
mewakili golongan pekebun kecil.
Hak dirampas, suara disekat
Seorang lagi penduduk yang tampil berkongsi
pengalaman dan pandangan ialah Yash Nite
yang terpaksa merantau ke Johor untuk bekerja kerana gaji di Sabah hanya RM800
sebulan.
“Kami mohon kerajaan sediakan lebih banyak
peluang pekerjaan dengan mendirikan kilang-kilang seperti di Semenanjung
Malaysia. Masalah PTI yang semakin ramai juga menjadi saingan kepada kami orang
asal dalam merebut pekerjaan.
“Kami mohon kerajaan melengkapkan kemudahan
asas seperti jalan raya yang baik untuk perhubungan dan kemudahan mengangkut
hasil dari kampung-kampung untuk dijual,” katanya.
Kemudahan bekalan air paip dan elektrik
yang diharapkan oleh pemuda itu tentu juga mewakili suara hati rata-rata
penduduk Sabah. Walaupun sudah lebih 50 tahun Sabah bersama Malaysia, kawasan
pedalaman masih terpinggir.
“Kalau anda datang ke Sabah dan masuk ke
kawasan pedalaman, seakan sama dengan suasana 50 tahun dahulu. Kehidupan
sungguh daif. Sabah masih dalam keadaan teruk. Pelbagai masalah wujud tetapi
kerajaan tak ambil tahu.
“Kerajaan hanya pandai berkata-kata di
media tetapi kenyataan adalah kosong. Hak kami dirampas, kebebasan bersuara
disekat. Kami diugut, tanah dirampas, isu PTI semakin meruncing dan pelbagai
lagi,” Jussnee Siu meluahkan
perasaan menerusi mesej yang dikirim.
Berat mata memandang, tentulah berat lagi
bahu memikul. Walaupun saya pernah beberapa kali ke Sandakan, Kota Kinabalu, Tawau dan beberapa tempat lain, mungkin
saya belum berpeluang menyelami jiwa dan kesengsaraan yang ditanggung penduduk
asal Sabah secara dekat.
“Saya ingin mencabar saudara. Kalau
saudara seorang penulis yang berjiwa rakyat, saudara dengan segala hormatnya
dijemput ke Sabah untuk melihat sendiri keperitan dan kesengsaraan penduduk
asal Sabah. Saya merayu agar saudara datang menilai dan memperhalusi
kesengsaraan kami.”
Kata-kata Jussnee pada akhir mesej
membuatkan saya sedar bahawa saya memang perlu ke sana dalam masa terdekat
untuk bersama-sama mereka. Perlu mendengar keluh-kesah yang mungkin tidak sudi
didengar politikus dan kuasawan.
[Makalah ini ditulis pada 5 November 2014 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 10 November
2014. © Uthaya Sankar SB 2014. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini
serta segala kandungan di Blog Uthaya
Sankar SB atas pilihan
sendiri.]