22 Oct 2010

Perjalanan ke Tawau

Sekitar 7:00 pagi pada 20 Oktober 2010, selepas menghantar Devishi Prabha Sankari ke rumah pengasuh, saya memandu meredah kesesakan jalan sepanjang Lebuh Raya Persekutuan menuju ke Brickfields, Kuala Lumpur sambil khusyuk mendengar cakera padat (CD) ketiga novel audio Blindness.
.

Sekitar pukul 8:00 pagi, saya bertemu Muniswaran untuk mengisi borang berkaitan urusan Exult Resources. Kemudian, kami bersarapan sambil berbual-bual mengenai pelbagai perkara, termasuk Sarapan di Taiping yang dijadualkan pada 7 November 2010.

.

Sekitar pukul 9:00 pagi, saya memandu ke Jalan Klang Lama untuk bertemu Rajan. Selepas berbual-bual sebentar sambil minum di restoran, kami memandu ke Dengkil dan singgah minum sekali lagi. Rajan menceritakan perkembangan mutakhir dirinya.

.

Selepas itu, kami terus memandu ke LCCT. Kami sengaja datang awal. Selepas Rajan pergi membawa kereta saya, saya pula melayari Internet menggunakan kemudahan WiFi yang tersedia di LCCT. Pendaftaran masuk penerbangan AK5154 ke Tawau dibuka pada pukul 1:30 petang.

.

Sementara menunggu masa untuk pesawat AirAsia berlepas, saya berbalas mesej menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) bersama Ghanthimathi untuk menguruskan beberapa perkara berhubung Sarapan di Taiping. Sambutan yang diterima ternyata cukup membanggakan; apatah lagi kami memang tidak mengharapkan penyertaan terlalu ramai bekas pelajar Sekolah Menengah Darul Ridwan (SMDR) pada majlis pertemuan ini.

.

Sebaik masuk ke dalam pesawat AirAsia sekitar pukul 3:15 petang, pasangan suami-isteri di barisan saya cam akan suara saya sebagai pengulas Akhbar Hari Ini di Radio Televisyen Malaysia (RTM) suatu masa dahulu (Februari 2005 – Julai 2008). Mereka berasal dari Semporna dan sedang dalam penerbangan pulang selepas menghantar anak mereka ke Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).

.

Pesawat penerbangan AK5154 mendarat di Lapangan Terbang Tawau, Sabah pada pukul 6:30 petang dan suasana pada waktu itu sudah sama gelap seperti sekitar 9:00 malam di Shah Alam, Selangor. Walaupun secara logik, beza zon masa sebenar – mengikut pergerakan Bumi mengelilingi Matahari – hanya sekitar sejam.

.

Oh, ya! Dalam penerbangan tadi, saya sempat membaca majalah AirAsia dan mendapat panduan bahawa sekiranya kita terbang dari Barat ke Timur, banyakkan tidur. Akan tetapi, jika terbang dari Timur ke Barat, lebih baik berjaga.

.

Setiba di Tawau, Puan Jumiati dan Redzal sudah sedia menunggu. Kedua-duanya mesra dan senang diajak berbual. Red orang Kajang, Selangor. Saya memaklumkan bahawa ini kali pertama saya ke Tawau lalu mereka menyatakan beberapa keistimewaan bandar ini.

,

Saya perhatikan terdapat banyak bulatan di sini. Selama ini saya menganggap Shah Alam sebagai Bandar Raya Bulatan. Nampaknya, ada “kembar”nya di sini!

.

Kami bertiga ke sebuah restoran makanan laut; tentunya salah satu keistimewaan Tawau. Saya memang tidak biasa mencuba steamboat tetapi tidak melepaskan peluang untuk mencuba. Lima lagi rakan menyertai kami di restoran makanan laut itu. Bayaran adalah RM25 seorang; boleh makan seberapa banyak yang mahu dan mampu. Jika makanan dibazir (ditinggalkan baki), maka dikenakan bayaran tambahan RM8 bagi setiap 100 gram.

.

Makanan yang dijamah memang menyelerakan dan sedap. Saya sendiri tidak menyangka saya boleh makan begitu banyak ikan, udang, sotong, kambing dan sebagainya. Apa pun, penggunaan “begitu banyak” adalah secara relatif, tentunya, memandangkan saya memang makan sedikit sahaja.

.

Selepas makan sepuas-puasnya sambil berbual dengan Puan Jumiati, Red, Prasad, Edzar, Norafizah dan Rosdiana yang terlibat dalam menguruskan Program Perkampungan Nilam Daerah Tawau (21-23 Oktober 2010), saya dihantar ke Hotel Promenade, sebuah hotel empat bintang bersebelahan Eastern Plaza.

.

Foto-foto yang dirakam pada 20 Oktober 2010 dimuatkan di Facebook bagi tujuan dokumentasi. [LIHAT DI SINI]

.

Saya dimaklumkan bahawa peserta Bengkel Penulisan Cerpen sempena Perkampungan Nilam Peringkat Daerah Tawau anjuran Pejabat Pelajaran Daerah Tawau, Pusat Teknologi Pendidikan Bahagian Tawau dan Pusat Kegiatan Guru Daerah Tawau pada 21-23 Oktober 2010 terdiri daripada sekitar 70 pelajar Tingkatan Tiga dan murid Tahun Enam, serta sekitar 30 guru pengiring. Puan Jumiati memaklumkan bahawa kesemua pelajar dan murid berkenaan adalah kelompok terpilih yang memang kuat membaca. Manakala guru-guru pengiring pula kebanyakannya Guru Pusat Sumber yang memang meminati buku dan mahu menulis cerpen.

.

Suatu permulaan yang sangat baik! Sila KLIK DI SINI untuk sambungan catatan ini.