11 Feb 2014

Pendedahan Teknik Guruji




Isu kehadiran golongan “guruji” palsu semakin hangat diperkatakan dalam kalangan masyarakat India di negara ini. Walaupun golongan “pemimpin spiritual” seperti ini yang diragui kredibiliti sudah lama beroperasi, hanya sejak sekitar Disember 2013, semakin ramai orang mula berani bersuara secara terbuka.

Saya turut mengikuti perkembangan beberapa guruji sejak sedekad lalu. Apabila individu yang menjadi mangsa penipuan mahu tampil bersuara menerusi media sosial dan media alternatif, saya memberikan khidmat nasihat sebagai perunding media.


Rata-rata individu terbabit menceritakan bagaimana guruji dan ejen-ejennya menggunakan pelbagai cara untuk memanipulasi, menipu, dan memperdaya mangsa secara amat licik. Agama, meditasi, dan motivasi dijadikan umpan untuk menjalankan perniagaan berbentuk “multi level marketing” (MLM).

Pada 31 Januari 2014, semasa berada di Bedong, Kedah bagi Lawatan Lembah Bujang anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan), saya berpeluang bertemu seorang mangsa yang kemudian menjadi seorang guruji.


Selepas berpuluh tahun menjadi pengikut tegar seorang guruji, akhirnya Kumaran (bukan nama sebenar) meninggalkan kumpulan itu. Dia dan beberapa kawan pergi ke Chennai, Tamil Nadu, India untuk belajar daripada sumber asal bagi meditasi spiritual itu.


Apa yang ditemui oleh Kumaran adalah amat memeranjatkan. Rupa-rupanya, hanya sekitar lima peratus ajaran sebenar seorang “mahan” (tuan guru) disampaikan oleh guruji di Malaysia. Selebihnya adalah unsur-unsur tambahan bagi melariskan perniagaan dan mengaut keuntungan.

“Selepas saya mula mendedahkan manipulasi yang berlaku, ramai pengikut mula sedar dan segera meninggalkan guruji berkenaan yang aktif di Malaysia. Beberapa orang mengikut saya ke India untuk mendalami ilmu sebenar,” Kumaran menceritakan.

Katanya, ramai yang memilih untuk berdiam diri selepas berjaya menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa guruji palsu yang mengaut keuntungan dengan memperdagangkan agama, motivasi, dan meditasi, serta memanipulasi “mahan” dari India.

Kumaran dan sekumpulan rakan menjadi pelajar/pengikut kepada ajaran sebenar/asal di India sehingga akhirnya diiktiraf sebagai guruji. Kumpulan ini berikrar tidak akan mengulangi kesilapan dan penipuan yang dilakukan kelompok terdahulu.

Selain daripada menyebarkan ajaran sebenar yang dibawakan “mahan” dari India, Kumaran juga berusaha memberikan kesedaran kepada masyarakat awam supaya tidak terpedaya dan menjadi mangsa mana-mana guruji palsu.

Atas sebab itulah juga beliau mengaturkan pertemuan dengan saya dan Kughan Nadarajah (Setiausaha Kavyan) semasa kami berada di Bedong. Kumaran membenarkan saya berkongsi antara isi perbualan kami menerusi makalah ini demi mendidik masyarakat.


Guna Terapi Minda, Pukau, dan Hipnosis

“Ibu bapa saya sendiri menjadi pengikut seorang guruji palsu selama 18 tahun. Saya juga menjadi pengikutnya kerana menyangka ia ajaran asal yang dibawakan oleh ‘mahan’ dari India.

“Malah, selepas saya dan rakan-rakan meninggalkan kumpulan itu, kami masih terpinga-pinga dan fikiran kami masih kabur. Kami tertanya-tanya bagaimana kami boleh menjadi begitu bodoh selama lebih sepuluh tahun,” pemuda itu mengakui.

Katanya, hanya selepas mengikuti ajaran “mahan” secara sepenuhnya di India sehingga diiktiraf sebagai guruji yang sah, barulah dia mula faham bagaimana guruji palsu memanipulasi fikiran para pengikut dengan cara yang amat licik dan terancang.

Apa yang diajar oleh kebanyakan guruji palsu di Malaysia bukanlah ajaran asal “mahan” tetapi digabungkan dengan manipulasi minda. Menurut Kumaran, kebanyakan guruji itu pergi ke Amerika Syarikat untuk mempelajari ilmu terapi minda sebagai tambahan.

“Selepas belajar ilmu meditasi yang diasaskan oleh ‘mahan’ secara separuh jalan di India, mereka ke Amerika Syarikat untuk belajar ilmu mempengaruhi minda serta sedikit ilmu motivasi yang amat berkesan.

“Ilmu pukau dan hipnosis juga dikuasai lalu digabungkan secara penuh licik dengan sedikit ilmu agama dan meditasi yang dipelajari separuh jalan di India tadi,” Kumaran menghuraikan.

Realiti masyarakat India-Hindu di Malaysia yang kurang pengetahuan agama dimanipulasi sepenuhnya oleh guruji palsu dan barisan agennya yang terdiri daripada individu pelbagai latar perniagaan serta berniat memperdagangkan ilmu agama untuk mengaut untung.

Kalau diperhatikan dengan teliti, rata-rata guruji palsu akan meminta para pengikut menggunakan hati atau perasaan, bukannya minda atau fikiran. Ini merupakan cara paling asas untuk memastikan para pengikut tidak menyedari penipuan yang dilakukan secara terang-terangan.

“Guruji palsu biasanya mengaitkan fikiran dengan keegoan. Maka, pengikut akan diminta bertindak mengikut perasaan, manakala minda mereka diserahkan kepada guruji yang lebih berilmu dan berkuasa.

“Dalam keadaan seperti itu, para pengikut sebenarnya lebih mudah diperalatkan dan minda mereka mudah dimanipulasi guruji palsu tadi. Sebab itulah wujud pengikut tegar yang terlalu taksub kepada guruji. Saya sedar bahawa saya juga pernah berada dalam keadaan seperti itu,” katanya.

Berikutan manipulasi dan idea-idea yang dimasukkan oleh guruji, pengikut akan mula percaya bahawa fikiran dan minda adalah sesuatu yang negatif. Kononnya minda mudah dikuasai unsur-unsur negatif yang merosakkan. Sebaliknya, pengikut diminta kurang berfikir dan mengikut sahaja apa-apa yang disuruh oleh guruji.

Ajaran Terpesong dari Agama

Kumaran juga mendedahkan bahawa kebanyakan guruji memanfaatkan ilmu pukau dan hipnosis semasa para pengikut berada dalam keadaan yang lemah, atau keadaan tidak menggunakan ilmu berfikir.

Teknik “auto-suggestion” digunakan untuk mempengaruhi para pengikut yang berada dalam keadaan separa sedar semasa khusyuk melakukan meditasi mengikut cara yang diajar oleh guruji tadi.

“Antara maklumat yang disampaikan dalam keadaan minda bawah sedar itu adalah supaya setiap pengikut membawa beberapa lagi orang sebagai pengikut. Mereka diasuh secara bawah sedar supaya menjadi pengikut setia yang mendewa-dewakan guruji.

“Apabila sesi meditasi tamat, para pengikut tadi sudah dipengaruhi dengan saranan-saranan yang disampaikan oleh guruji atau ejen-ejennya,” Kumaran mendedahkan.

Agak menarik untuk diperhatikan bahawa golongan guruji berjaya meyakinkan para pengikut bahawa mereka tidak patut menggunakan fikiran kerana minda adalah sesuatu yang negatif; tidak membantu mencapai kedudukan tinggi secara spiritual.

Bagaimanapun, minda itulah juga yang dipengaruhi secara penuh licik oleh guruji menggunakan ilmu pukau, hipnosis, terapi minda, dan motivasi melampau bagi memastikan para pengikut tadi menjadi umpama kambing yang akan mengikut sahaja tanpa bantahan.

“Apa yang dilakukan oleh guruji palsu adalah mewujudkan semacam agama baharu yang sebenarnya adalah kultus ajaran sesat. Konsep karma, kesetiaan, motivasi, agama, meditasi, dan sebagainya dimasukkan untuk memanipulasi para pengikut.

“Atas sebab itulah kita melihat kewujudan kumpulan pengikut tegar yang begitu taksub dan mendewa-dewakan guruji. Mereka sanggup berhutang dan menggadai harta-benda untuk menyerahkan wang kepada guruji; kononnya untuk belajar ilmu baharu,” katanya.

Manipulasi minda, ilmu pukau, dan hipnosis juga digunakan secara licik untuk menjadikan para pengikut umpama “pengawal” yang sanggup berbuat apa sahaja untuk mempertahankan guruji. Kononnya guruji adalah Tuhan Maha Suci yang perlu dipertahankan dengan apa cara sekali pun.

Maklumat ini mungkin boleh membantu menjelaskan mengapa ada banyak kes serangan ganas dilakukan kumpulan tertentu terhadap individu atau kelompok yang cuba membuat pendedahan mengenai aktiviti haram golongan guruji palsu.

“Saya harap sedikit maklumat ini akan membantu orang ramai menyedari apa yang sebenarnya sedang berlaku. Kalau mahu mendalami agama, carilah guruji yang benar-benar asli. Jangan sampai jatuh tangga ditimpa tangga.

“Cara paling mudah, jika guruji meminta bayaran atau pengeras RM500, RM730, dan sebagainya tanpa memberikan resit rasmi, ketahuilah bahawa itu bukti nyata guruji itu palsu, melakukan MLM, dan akan menjadikan anda hambanya,” Kumaran mengingatkan dan menasihati.

[Rencana ini ditulis oleh Uthaya Sankar SB dan tersiar di The Malay Mail Online pada 11 Februari 2014. Harap maklum bahawa anda membaca mana-mana tulisan Uthaya atas pilihan sendiri. Anda juga wajar membaca: “Kisah Guruji dan Guluji” serta “Raslila” dan pelbagai bahan yang diberikan pautan di sana; juga atas pilihan sendiri.]