7 Jun 2012

Karma, Atma dan Samsara – Bahagian 1

Masyarakat India pada umumnya percaya bahawa kelahiran, kehidupan dan kematian adalah umpama lingkaran yang berterusan. Istilah Sanskrit yang digunakan untuk menerangkan konsep ini adalah “samsara”.

Jiwa atau “atma” akan melalui proses “samsara” dalam usaha mencapai “moksha” atau “nirvana” iaitu keadaan bebas daripada sebarang ikatan duniawi dan kembali menemui Pencipta.

Orang India juga pada umumnya percaya bahawa individu yang hidup sebagai manusia pada kelahiran ini tidak semestinya telah hidup sebagai manusia pada kelahiran lalu. Begitu juga, tidak semestinya dia hidup sebagai manusia pada kelahiran seterusnya.

Sebaliknya, kehidupan ditentukan oleh “karma” iaitu kepercayaan bahawa kebaikan dibalas dengan kebaikan dan kejahatan dibalas dengan kejahatan. Konsep ini boleh juga difahami sebagai “law of cause and effect” di mana setiap tindakan membawa tindak balas setimpal.

Orang ramai perlu tahu bahawa pandang dunia (world view) tamadun India yang berusia ribuan tahun adalah amat berbeza dengan tamadun-tamadun lain yang muncul kemudian.

Perlu juga dijelaskan bahawa konsep “karma” bukan berkaitan dengan agama Hindu semata-mata. Malah, “karma” juga dipraktikkan oleh penganut agama Buddha dan Jain; serta mula mendapat perhatian masyarakat dunia tanpa mengira agama.

Sebenarnya, konsep “karma” lebih merupakan kepercayaan dan kebudayaan masyarakat India; bukan ajaran agama Hindu semata-mata. Perkara ini pernah saya sentuh dalam suatu tulisan di majalah Dewan Agama dan Falsafah pada Ogos 2004. - Baca makalah penuh di Mandala Bicara.

(© Uthaya Sankar SB. Makalah ini disiarkan di The Malaysian Insider pada 7 Mei 2012. Sila rujuk juga makalah bertajuk “Dharma sebagai Norma Masyarakat” dan “Dharma sebagai Kod Etika” untuk pemahaman lanjut berhubung topik ini.)