8 Jun 2012

Kelantan yang Menakjubkan

Ada sebuah peribahasa Tamil yang mengingatkan bahawa apa-apa yang didengar mungkin palsu dan apa-apa yang dilihat juga palsu; lalu tindakan terbaik adalah menyelidik sendiri sesuatu perkara.

Sambil berpegang pada peribahasa itulah juga saya memutuskan untuk tidak mempercayai bulat-bulat kempen besar-besaran pihak tertentu yang berusaha keras memberi gambaran paling negatif mengenai keadaan di Kelantan.

Akhirnya, apabila berada di Kota Bharu pada 11-14 Mac 2012, saya berpeluang mendapatkan sendiri jawapan berhubung pelbagai perkara berkaitan Negeri Serambi Mekah yang mengamalkan corak pentadbiran “Membangun Bersama Islam”.

Kebanyakan maklumat yang sahih dan tepat ini saya peroleh menerusi perbualan santai bersama-sama pelbagai pihak yang sempat saya temui di sana. Misalnya rakan-rakan penulis yang sama ada berasal dari Kelantan atau kini tinggal di negeri itu.

Tidak ketinggalan juga hasil perbualan bersama-sama sekian ramai golongan orang kelainan upaya (OKU) yang menghadiri Persidangan OKU Darul Naim Peringkat Kebangsaan di Hotel Raudah.

Saya juga berkesempatan bergaul bersama penduduk setempat yang cukup mesra dan tidak keberatan untuk berkongsi kisah dan pengalaman. Selebihnya, juga menerusi pemerhatian – bukan sekadar melihat, tetapi meneliti apa-apa yang berlaku di depan mata.

Selain daripada itu, pelbagai bahan bacaan yang diperoleh dari pejabat Urus Setia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan juga amat membantu usaha mengumpulkan fakta sebenar yang malangnya kurang diketahui orang ramai; khususnya generasi muda.

Misalnya, buku 100 Fakta Kelantan Menerajui Perubahan (2011) menyebut bahawa “sebahagian besar progarm yang dilaksanakan di Kelantan telah diciplak oleh Kerajaan Pusat dengan menampal label lain dan mengaku kononnya merekalah yang memulakan program tersebut”.

Saya tidak mahu menyokong mana-mana pihak dalam “pertikaian” ini, sebaliknya sekadar mahu meneliti sebahagian daripada perkara-perkara yang menarik perhatian saya mengenai kehebatan di Kelantan sejak 1990.

Abdul Mutalib Awang, pemuda berusia 23 tahun yang menjadi “pemandu pelancong” saya antara lain menceritakan mengenai Skim Az Ziwaaj iaitu bantuan bagi pasangan yang mahu mendirikan rumahtangga tetapi kurang mampu.

Skim berkenaan yang diperkenalkan pada 2011 memperuntukkan bantuan RM1,000 bagi individu berpendapatan kurang daripada RM700 sebulan.

Bagi keluarga miskin tegar, bantuan makanan asas berupa beras (10 kilogram sebulan) diberikan sejak Februari 2011 di bawah Skim Al It’aam.

Menurut sumber Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, sehingga September 2011, sekitar 8,100 penduduk miskin dari seluruh Kelantan menerima bantuan itu.

Kakitangan kerajaan persekutuan sudah biasa dengan jadual kerja lima hari seminggu. Rupa-rupanya, sistem ini mula-mula diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan dengan memberi cuti pada Jumaat dan Sabtu.

Begitu juga dengan cuti bersalin 60 hari yang dinikmati kakitangan wanita. Dahulu, cuti hanya 42 hari. Kakitangan kerajaan negeri menjadikannya 60 hari supaya si ibu boleh meluangkan lebih banyak masa bersama bayi, serta untuk berehat.

Di Kelantan, apabila seorang wanita bersalin, si suami diberi cuti kebajikan seminggu supaya dia dapat membantu menguruskan dan menyediakan keperluan isteri.

“Hospital Bersalin An-Nisa dikendalikan doktor dan kakitangan wanita serta mengikut kaedah Islam. Selain memberi keselesaan kepada bakal ibu, hospital seperti ini juga menjamin ketenangan fikiran kepada semua pihak,” kata Nur Hidayah yang menjadi penyelaras program sepanjang saya berada di Kota Bharu.

Saya juga diberitahu oleh seorang pak cik yang bekerja di sebuah rumah kebajikan anak-anak yatim mengenai Skim Kifalah Warga Emas yang diberikan tanpa batas kaum, agama dan fahaman politik.

Di bawah skim berkenaan yang diperkenalkan pada 2007, apabila warga emas (lebih 60 tahun) yang mendaftar meninggal dunia, sumbangan RM500 diberi untuk menguruskan jenazah. Baki RM1,000 pula akan diberi kemudian kepada warisnya.

Selain daripada itu, Tabung Serambi Mekah yang ditubuhkan pada 1991 bertujuan membantu golongan tua, daif, miskin dan uzur membaiki rumah. Tabung itu juga digunakan untuk pelaksanaan kerja-kerja bantuan berikutan kemusnahan akibat bencana alam dan kebakaran.

Bagi penduduk miskin tegar yang tidak mampu memiliki rumah, disediakan pula Rumah Dhuafat sejak 2007. Skim berkenaan juga boleh dimanfaatkan oleh keluarga yang menghadapi masalah berikutan rumah asal terbakar, rumah terlalu uzur, pendapatan tidak tetap atau mempunyai ramai anak/tanggungan.

Tabung Amanah Tok Kenali yang ditubuhkan pada 1992 adalah untuk membantu penduduk Kelantan yang cemerlang dalam pelajaran dan mahu melanjutkan pengajian tinggi di dalam dan luar negara. Kerja-kerja meningkatkan taraf pendidikan sekolah agama rakyat dan pusat pengajian pondok juga tidak dilupakan.

Kota Bharu diisytiharkan sebagai “Bandar Raya Islam” pada Oktober 2005. Pasti sahaja pelbagai pihak cuba memberi gambaran negatif terhadap perkara yang baik itu kerana mahu meraih “keuntungan politik”. Tidak perlulah dihuraikan lebih lanjut di sini.

Bagaimanapun, daripada apa yang saya perhatikan sendiri, pengisytiharan itu sebenarnya membuktikan komitmen kerajaan negeri di bawah pimpinan golongan ulama untuk melaksanakan secara lebih menyeluruh aspek-aspek pembangunan yang selaras dengan ajaran Islam.

Saya tidak akan terkejut jika masih ada pihak tertentu yang mahu memanipulasi usaha murni itu dengan cuba menyebarkan fitnah bahawa masyarakat Bukan Melayu dan Bukan Islam akan tertindas.

Penyebaran dakyah seperti itu membuktikan bahawa golongan tertentu tidak memahami ajaran sebenar Islam. Malah, kedudukan Kota Bharu sebagai “Bandar Raya Islam” sejak 2005 menjadi bukti nyata bahawa tidak ada sebarang penindasan ke atas sesiapa.

Saya rasa bertuah kerana berpeluang mengalami sendiri suasana sebenar di Kelantan – khasnya di Kota Bharu – dan dapat pula berkongsi maklumat itu bersama orang ramai.

Seperti kata Mahatma Gandhi, jadilah perubahan yang mahu anda saksikan di dunia ini kerana tidak akan tercapai kebaikan sekiranya tidak ada sesiapa yang berani mengetengahkan kebenaran.

(© Uthaya Sankar SB. Catatan ini ditulis pada 4 April 2012 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 16 April 2012. Sila baca juga: Ada Apa dengan Kelantan?)