26 Jun 2020

Kemanisan Karya Nanthini


Saya sentiasa gembira apabila anak-anak muda pelbagai kaum muncul dengan karya baharu yang bermutu. Rasa gembira bertambah apabila saya mendapat tahu bahawa Nanthini Nadarajan adalah orang kampung saya (Taiping, Perak).

Buku kanak-kanak berjudul Kemanisan (2020) lebih istimewa kerana selain bertindak sebagai penulis dan pelukis (ilustrator), Nanthini juga menjadi penerbit. Secara teknikal, dua buah buku terbit serentak.

Saya menerima buku-buku saya pada 10 Jun 2020. Sebuah buku dengan cerita yang mudah dibaca oleh khalayak sasaran, iaitu kanak-kanak. Seperti dinyatakan tadi, secara teknikal, Nanthini menghasilkan dua buah buku: Sebuah buku berwarna dan sebuah lagi buku mewarna.

Kisah mengenai seorang kanak-kanak perempuan bernama Radha yang berbual dengan neneknya mengenai sambutan ponggal, iaitu pesta menuai. Saya ada menulis beberapa esei mengenai perayaan ini, misalnya “Ponggal Bukan Sekadar Pesta Menuai” (Malaiur Manikam, 2015).

Topik mengenai ponggal adalah sesuatu yang agak kontroversial dalam kalangan sekelompok orang Tamil di Malaysia. Misalnya, pengikut aliran Dravida (dari Tamil Nadu, India) mahu supaya ponggal diiktiraf sebagai Tahun Baharu Tamil; sedangkan tahun baharu itu sebenarnya disambut pada bulan April.

Dalam pada itu, sesungguhnya sambutan ponggal amat sinonim dengan orang keturunan Tamil (termasuk di Malaysia), sementara Makara Sankranti diraikan pelbagai keturunan di India sejak turun-temurun.

Namun begitu, memandangkan buku Kemanisan disasarkan kepada khalayak pembaca kanak-kanak, maka amat wajar (malah, seharuanya) cerita disampaikan secara mudah dan bersahaja, tanpa melibatkan sebarang isu yang mungkin mencetuskan kontroversi.

Hal ini tidak bermakna tiada masalah pada buku ini. Malah, akan diperkatakan sebentar lagi. Sebelum itu, pada 26 Jun 2020, saya sempat menghubungi Nanthini untuk berbincang dan berbual tentang buku ini.

Saya amat kagum kerana Nanthini yang merupakan guru pelatih di Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar, Seremban, Negeri Sembilan, berjaya menjadi penulis, pelukis, dan penerbit bagi buku ini. Saya ingin tahu apa yang memberi semangat dan keberanian kepada beliau.

“Keyakinan diri yang tinggi memberi semangat dan keberanian kepada saya untuk mengusahakan penerbitan buku Kemanisan. Sejak kecil, saya berminat untuk melukis. Saya menggunakan peluang ini bagi menunjukkan bakat saya. Motivasi yang diberi oleh ibu bapa serta mentor turut mendorong saya,” katanya sewaktu ditanya menerusi e-mel.

Memastikan Ketepatan Fakta

Bercerita lebih lanjut, Nanthini memberitahu bagaimana beliau mula-mula menyenaraikan segala idea yang muncul dalam minda selepas membuat keputusan untuk menghasilkan sebuah buku cerita kanak-kanak.

“Mentor saya sentiasa menekankan, perlunya usaha menulis buku yang berinformatif kepada kaum-kaum lain. Saya berfikir bahawa semua kaum di Malaysia tahu bahawa ponggal adalah perayaan yang disambut oleh kaum India. Tetapi mereka kurang tahu apa yang berlaku semasa sambutan ponggal. Maka, saya terinspirasi untuk berkongsi ilmu dengan pembaca kaum lain. Oleh itu, saya memilih topik ponggal bagi buku ini,” Nanthini menghuraikan.

Pengakuan ini agak menarik kerana seperti yang saya nyatakan tadi, ada pelbagai pandangan, pendirian, dan kontroversi dalam kalangan kaum India di Malaysia (dan Tamil Nadu, India) mengenai sambutan ponggal.

Dalam buku Kemanisan, pada halaman 5, sebagai menjawab pertanyaan Radha (cucu), watak nenek menjelaskan:

Ponggal ialah perayaan menuai yang disambut pada bulan ‘Thai’ dalam kalendar kaum India dan melibatkan pelbagai kaum,” jawab nenek.

Frasa “kalendar kaum India” dan “melibatkan pelbagai kaum” dalam konteks perayaan ponggal boleh menimbulkan pelbagai pertanyaan. Kaum India terdiri daripada pelbagai keturunan dan sebenarnya ada kalendar yang berbeza (walaupun kalendar yang digunakan di Malaysia digelar “kalendar Tamil” atau “kalendar Hindu”).


Bagaimana Nanthini mengumpul bahan atau membuat kajian tentang ponggal bagi memastikan kesahihan fakta? Soalan ini juga muncul dalam minda kerana walaupun ini sebuah buku kanak-kanak, saya tetap membaca dengan kritikal.

Nanthini ternyata telah membuat kajian dan rujukan sebelum menulis. Beliau mengakui, beberapa jenis rujukan diperlukan bagi memastikan kesahihan fakta.

“Saya mendapat segala maklumat daripada beberapa laman web. Saya juga mengumpul bahan dari buku Festivals of India (2006). Saya turut memastikan kesahihan fakta dengan merujuk kepada nenek dan ibu saya,” katanya.

Hal ini amat mengujakan kerana kita sering terlupa untuk menjadikan orang tua sebagai sumber rujukan. Mereka sebenarnya umpama “perpustakaan bergerak” yang penuh dengan pengalaman dan pengetahuan yang sentiasa sedia dikongsi jika ada orang yang sudi bertanya dan sedia mendengar.

Maka, apabila Nanthini bertanya kepada ibu dan nenek — selain merujuk Internet dan buku — beliau telah “menghidupkan” suatu tradisi yang semakin dilupakan. Dewasa ini, apabila mahu mencari resepi masakan tradisional, misalnya, kita mencari di Internet; sedangkan ibu atau nenek di rumah merupakan sumber rujukan yang lebih istimewa dan autentik; malah lebih autoritatif berbanding sumber di media sosial.

Nenek Sebagai Tokoh Budaya

Komunikasi Nanthini dengan neneknya menunjukkan hubungan paralel apabila kita membaca tentang komunikasi Radha dengan neneknya dalam buku Kemanisan. Si cucu bertanya untuk tahu, dan si nenek berkongsi apa yang diketahui. Sama ada maklumat yang disampaikan oleh si nenek adalah sahih dan autoritatif, bukan suatu persoalan.

Budaya bersifat dinamik, relatif, dan mengalami perubahan mengikut masa, tempat, dan pengalaman. Begitulah juga dalam hal budaya masyarakat Tamil di Malaysia. Apa yang diceritakan oleh si nenek — sama ada nenek kepada Radha atau nenek kepada Nanthini — adalah “kebenaran budaya” (cultural truth) yang diperakukan dalam konteks keluarga dan komuniti Tamil di Malaysia.

Percanggahan fakta juga saya kesan dalam perbualan Radha dan nenek mengenai Boghi. Diceritakan bahawa “Esok ialah hari perayaan Ponggal” (halaman 2). Pada awal pagi tadi, nenek membakar barang-barang lama (halaman 8). Boghi disambut “sehari sebelum Ponggal” (halaman 9). Secara logik, sambutan ponggal adalah pada keesokan hari. Dalam buku ini, Radha dan nenek memasak dan makan ponggal sehari sebelum tarikh sambutan (halaman 16).

(Kesilapan seperti ini pernah berlaku dalam realiti pada 13 Januari 2013 apabila Najib Razak diajak memasak ponggal pada hari sambutan Boghi. Baca di sini)


Apa-apa pun, aspek ketepatan fakta amat perlu diberi perhatian pada masa depan. Nasihat ini sentiasa saya beri kepada peserta mana-mana bengkel penulisan yang saya kendalikan, sama ada penulisan fiksyen atau makalah.

Saya berharap Nanthini akan menerima teguran ini dengan sikap terbuka demi menjadi penulis yang lebih berjaya dan berwibawa dalam memperkaya khazanah Sastera Kebangsaan. Tambahan pula, bahan bacaan bermutu bagi kanak-kanak memang amat diperlukan. [Lihat juga — Jangan Biar Minda Anak Berkarat)

Memandangkan Nanthini mengkhusus dalam Pendidikan Khas (Pemulihan) di IPG, saya yakin bahawa buku Kemanisan turut disasarkan kepada kelompok berkenaan. Apabila ditanya, beliau mengatakan, memang murid-murid kelas pemulihan boleh dilatih membina ayat-ayat mudah berdasarkan gambar (ilustrasi) dalam buku ini.

“Buku Kemanisan disasarkan kepada kanak-kanak berumur 6 hingga 12 tahun. Ada gambar serta teks. Buku ini boleh digunakan bagi aktiviti mewarna, bercerita, dan membaca. Aktiviti kolaj juga boleh diaplikasikan. Bacaan dan pemahaman diaplikasikan dalam buku ini dengan mengambil kira keperluan murid-murid dalam kelas pemulihan. Saya yakin bahawa buku ini sesuai digunakan bagi aktiviti pengajaran dan pembelajaran di sekolah,” kata Nanthini dengan penuh yakin.

Saya amat bersetuju dengan pandangan di atas. Selain daripada kekurangan bahan bacaan bermutu bagi kanak-kanak pelbagai kaum, kita juga kekurangan bahan bacaan tempatan yang ditulis khusus untuk kanak-kanak yang menghadapi masalah pembelajaran.

Bahan Bacaan Kanak-kanak

Dalam hal ini, Nanthini amat bertuah kerana turut mendapat sokongan dan panduan daripada dua pensyarah berpengalaman. Hajah Roslimah Saat bertindak sebagai editor pengurusan, manakala Haji Jalalludin Ibrahim menjadi editor bahasa. Saya bertanya kepada Nanthini, adakah mereka melakukan banyak perubahan kepada teks (manuskrip) asal?

“Editor pengurusan berperanan memastikan lukisan (ilustrasi) serupa, sepadan, dan sesuai dengan teks. Hajah Roslimah juga membantu saya berurusan dengan pencetak dan memastikan perkembangan buku Kemanisan. Haji Jalalludin  selaku editor bahasa pula memainkan peranan dalam memastikan penggunaan bahasa, penyusunan ayat, ejaan, dan tanda baca yang betul. Hasil bimbingan mereka, sedikit perubahan dilakukan pada teks (manuskrip) bagi memastikan pembaca tidak keliru dengan cerita yang disampaikan,” Nanthini menceritakan.

Sebenarnya, antara perkara pertama yang menarik perhatian saya terhadap buku ini adalah ilustrasi kulit. Mungkin orang lain tidak sedar, tetapi saya segera melihat suatu keunikan apabila watak wanita (nenek) ditampilkan memakai sari mengikut gaya wanita keturunan Telugu, di mana bahagian mundani (selendang) diletak pada bahu kanan.

Rupa-rupanya, “keunikan” itu berlaku secara tidak dirancang. Nanthini menceritakan apa yang sebenarnya terjadi, tetapi biarlah disimpan dahulu kerana watak nenek dalam buku masih orang Tamil dan mundani kelihatan di bahu kiri sebagaimana lazim.


Nanthini turut menjadi “pembaca beta” bagi dua buah cerpen saya (lihat di sini dan di sini), selain rajin menyertai “Ceramah Penulisan Cerpen” dan “Sesi Memancing Minat Pembaca”. Tentu sahaja selepas kelahiran buku Kemanisan, kita mengharapkan supaya beliau terus aktif menulis; khususnya dengan menumpukan kepada bahan bacaan bermutu bagi kanak-kanak dan murid kelas pemulihan.

Saya sedang berusaha menerbitkan buku cerita bergambar yang berkaitan dengan binatang. Saya berada pada proses penyediaan storyboard (papan cerita) bagi buku tersebut. Saya memilih watak binatang kerana kanak-kanak lebih suka membaca cerita berkaitan binatang. Watak binatang juga lebih mudah untuk diwarna,” katanya menerusi e-mel.

Buku Kemanisan setebal 16 halaman dicetak dalam jumlah yang terhad dan terdapat dalam dua versi, iaitu buku berwarna dan buku mewarna (hitam-putih). Menurut Nanthini, buku ini, yang terbit pada awal Jun 2020, mendapat sambutan yang amat baik.

“Ramai guru dan ibu bapa membeli untuk anak-anak. Mereka memberitahu bahawa anak-anak berminat mewarna dan bercerita menggunakan buku ini,” Nanthini berkongsi pengalaman berkaitan bukunya.

Untuk maklumat lanjut dan pembelian buku Kemanisan, sila hubungi Nanthini menerusi Facebook. Lihat juga — [Biodata Sasterawan Kavyan]