Thursday, 14 June 2018

Dewa Ganesha Ketinggalan Zaman!

Ramai penganut Hindu tidak sedar bahawa mereka sebenarnya menyembah Dewa Ganesha yang “ketinggalan zaman”.

Kata-kata ini pasti menimbulkan kemarahan orang dan saya mungkin dituduh cuba menghina agama Hindu dan penganut Hindu.

Bagaimanapun, kata-kata di atas adalah fakta berdasarkan ajaran Hindu sendiri; khususnya Ganesha Purana (Sanskrit) yang diterjemah sebagai Vinayaka Purana (Tamil).

Sekiranya anda meneliti kandungan Ganesha Purana, maka anda akan sedar hakikat wujud unsur “peniruan” daripada kandungan Bhagavad Gita. Kedudukan dan peranan Dewa Krishna diganti dengan Dewa Ganesha.

Ganesha Purana yang juga dikenali sebagai Ganesha Gita wajar dibaca, difahami, dan dihayati untuk memahami mengapa saya menyebut bahawa ramai penganut Hindu menyembah Ganesha yang sudah “ketinggalan zaman”.

Pada 13 Jun 2018, saya mengemukakan kuiz berikut di Facebook:

SIAPAKAH DEWA/DEWI INI?

1 — Dewa/Dewi ini digambarkan memiliki lima pasang tangan, bertubuh besar, dan menunggang seekor singa. Siapakah ia?

2 — Dewa/Dewi ini digambarkan memiliki tiga pasang tangan, berkulit cerah (putih), dan menunggang seekor merak. Siapakah ia?

3 — Dewa/Dewi ini digambarkan memiliki dua pasang tangan, berkulit merah, dan menunggang seekor tikus. Siapakah ia?

4 — Dewa/Dewi ini digambarkan memiliki sepasang tangan, berkulit kelabu asap, dan menunggang seekor kuda. Siapakah ia?


Berikut jawapan yang diterima:

Tiru Mohan: Durga, Shanmugam (Murugan), Ganapathi (Ganesha), dan Karuppar.

Gopal Subramaniam: Durga, Muruga, Ganesha, Kalki. Kemudian, beliau menukar jawapan kepada Durga, Saraswati, Ganesha, Aiyanar.

Nampaknya rakan-rakan menggunakan vahana (wahana, binatang tunggangan) sebagai panduan untuk meneka dewa/dewi yang dimaksudkan.

Singa dikaitkan dengan Durga, merak dengan Murugan/Saraswati, tikus dengan Ganesha, dan kuda dengan Kalki/Aiyanar/Karuppar.


Sebelum meneliti jawapan yang betul, biar kita teliti sedikit maklumat berkaitan konsep masa (time, era) dalam budaya India-Hindu.

Usia alam semesta ini dikira dalam unit yuga. Dalam kepercayaan India-Hindu, tempoh kewujudan alam semesta (galeksi) ini adalah empat yuga.

Akan tetapi, panjang setiap yuga adalah berbeza; kewujudannya secara kronologi adalah seperti berikut:

1 — Satya Yuga @ Krita Yuga adalah yuga pertama dan panjangnya 1,728,000 tahun.

2 — Treta Yuga adalah yuga kedua (walaupun treta bermakna “ketiga”) dan panjangnya 1,296,000 tahun.

3 — Dvapara Yuga adalah yuga ketiga dan panjangnya 864,000 tahun.

4 — Kali Yuga adalah yuga keempat dan terakhir. Panjangnya adalah 432,000 tahun dan telah bermula sebaik perang dalam Mahabharata tamat; iaitu pada tahun 3102 SM.


Gabungan empat yuga (Satya Yuga + Treta Yuga + Dvapara Yuga + Kali Yuga) menghasilkan satu Mahayuga, iaitu tempoh selama 4.32 juta tahun (4,320,000 tahun). Itulah juga tempoh hayat alam semesta yang kita huni ini dalam ajaran Hindu.

Kehadiran konsep dewa dan dewi sangat sinonim dengan Hinduisme. Walaupun ajaran Hindu adalah agama tauhid yang pertama dan tertua di dunia, masih ada orang yang mengatakan terdapat banyak Tuhan dalam ajaran Hindu.


Ada pelbagai purana (kisah dewa-dewi) mengikut mazhab yang wujud dalam kalangan penganut Hindu. Misalnya, terdapat purana khusus bagi Shiva, Vishnu, Brahma, Skanda, dan Ganesha.

Harus dinyatakan bahawa Ganesha Purana tidak termasuk dalam 18 purana utama yang dikenali sebagai Mahapurana. Malah, sudah disebut tadi bahawa purana ini “meniru” kisah daripada Bhagavad Gita.


Dewa Ganesha ditampilkan dalam empat versi (avatara) yang berbeza dalam Ganesha Purana mengikut empat yuga yang dinyatakan tadi.


1 — Satya Yuga @ Krita Yuga – Ganesha muncul sebagai Vinayaka yang mempunyai sepuluh tangan, bersaiz besar, dan menunggang seekor singa.


2 — Treta Yuga – Ganesha muncul sebagai Mayuresvara yang mempunyai enam tangan, berkulit putih, dan menunggang seekor merak. (Kemudian, nampaknya merak “diserahkan” kepada adiknya, Skanda @ Murugan untuk dijadikan vahana!)


3 — Dvapara Yuga – Ganesha muncul sebagai Gajanana yang mempunyai empat tangan, berkulit merah, dan menunggang seekor tikus. Ganesha ialah anak kepada Shiva dan Shakti. (Konsep empat tangan, anak Shiva-Shakti, dan tikus sebagai vahana terus dikekalkan oleh penganut Hindu selepas Dvapara Yuga berakhir!)


4 — Kali Yuga – Ganesha muncul sebagai Dhumraketu yang mempunyai dua tangan, berkulit warna kelabu asap, dan menunggang seekor kuda.

Apabila saya menyebut ramai penganut Hindu menyembah Dewa Ganesha yang sudah “ketinggalan zaman”, saya maksudkan bahawa mereka masih melihat Ganesha dalam avatara Gajanana bertangan empat, anak pasangan Shiva-Shakti, dan menunggang tikus pada Dvapara Yuga.

Bagaimanapun, penganut Hindu “membuang” kulit warna merah pada Gajanana di Dvapara Yuga, dan mengambil kulit kelabu asap avatara Dhumraketu pada Kali Yuga; mungkin kerana lebih menyamai warna kulit seekor gajah!


Secara logik mengikut ajaran Hinduisme, kita kini hidup dalam Kali Yuga – zaman/era terakhir yang bermula pada tahun 3102 SM sebaik perang Mahabharata tamat.

Tetapi, tanpa disedari, rata-rata penganut Hindu masih menyembah Ganesha dalam avatara “era lalu” tanpa menyedari kemunculan avatara “edisi terbaharu” pada era kini.

Semoga catatan ini memberikan pencerahan dan maklumat yang berguna kepada penganut Hindu, dan sesiapa yang ingin tahu. Catatan ini tidak bertujuan menghina atau memperlekeh sesiapa. Sebaliknya untuk berkongsi ilmu.


Pada masa sama, jawapan yang betul bagi kuiz ialah “Dewa Ganesha”. Jawapan lebih tepat ialah Vinayaka (Satya Yuga), Mayuresvara (Treta Yuga), Gajanana (Dvapara Yuga), dan Dhumraketu (Kali Yuga).