Salah satu cabaran ke arah pembinaan Bangsa
Malaysia yang bukan sahaja bersatu-padu (united)
tetapi juga mengamalkan integrasi (integration)
adalah melalui pemupukan bibit-bibit persefahaman, saling memahami, saling
menghormati, bertolak-ansur dan menerima perbezaan yang wujud dalam kalangan
pelbagai kaum/etnik.
Wahana yang paling mudah untuk memupuk nilai
integrasi adalah melalui bahan bacaan, khususnya buku cerita yang ditulis
pengarang pelbagai kaum/etnik/agama bagi menggambarkan kepelbagaian yang
membentuk identiti Bangsa Malaysia.
Saya berpegang pada konsep “satu bahasa, pelbagai budaya” iaitu Bahasa Malaysia digunakan untuk
menghasilkan karya sastera kebangsaan bagi menggambarkan budaya pelbagai kaum,
etnik dan agama di negara ini. Usaha murni itu turut dilakukan oleh Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan)
menerusi aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya di seluruh negara sejak
1999.
Namun begitu, sejak hampir setahun lalu,
kempen “anti-Kavyan” giat dilakukan pihak
tertentu dengan menyelitkan bibit-bibit perkauman dan ketegangan agama bagi
mencapai impian terkutuk mereka menindas kelompok minoriti yang turut mewarnai
peta sastera kebangsaan. Sekali gus menyukarkan usaha mencapai integrasi.
Apabila novel Panchayat: Edisi Khas mahu diterbitkan
pada Ogos 2012, sudah ada “kempen” menerusi ruang siber dan mulut ke mulut (word of mouth) bagi menyeru khalayak
Melayu-Islam memboikot novel saya dengan alasan ada
gambar berhala pada kulit novel. Mujurlah masyarakat kita tidak jahil untuk
mempercayai pembohongan seumpama itu.
Dalam perkembangan terkini, karya saya
dikatakan “ada unsur penyebaran agama Hindu” dan
“salah dari segi Akta Penerbitan”. Alasan itu digunakan untuk menolak sebuah
cerpen terbaru saya daripada disiarkan di sebuah majalah berprestij tanah air.
Tentu sahaja saya tidak marah atau kecewa
semata-mata kerana karya saya tidak disiarkan. Sebaliknya, apa yang menjadi
persoalan adalah alasan yang diberikan untuk mewajarkan manuskrip itu ditolak.
Ternyata ada unsur penindasan.
Sebenarnya, sejak awal 2012, beberapa
individu dilaporkan menghubungi editor di beberapa penerbitan dan “menghasut”
supaya karya saya dan mana-mana ahli Kavyan tidak disiarkan – BACA DI SINI. Alasan (fitnah) yang
dikemukakan adalah bahawa kami “anti-Melayu” dan “anti-Islam”. Kerana Kavyan
tampil menolong beberapa pengarang yang menjadi mangsa penipuan
beberapa penerbit. Kerana Kavyan berjuang memartabatkan Bahasa Malaysia. Kerana Kavyan
berani bersuara tanpa menjadi “pak turut” kepada mana-mana pihak; khususnya
politikus.
“Cerpen-cerpen
Uthaya ada unsur penyebaran agama Hindu. Tak boleh disiarkan dan salah dari segi Akta
Penerbitan. Suruhlah dia hantar ke surat khabar atau majalah India. ... Cerpen
dia agak terbuka bercerita tentang Tuhan Hindu. ... Tak boleh disiar di majalah
bahasa Melayu. Cerpen-cerpen dia menyebar agama Hindu secara halus kepada
pembaca Melayu.”
Demikian nada kempen
terbaru yang dilakukan. Apa yang menarik, penolong editor sebuah majalah juga
menyertai kempen “anti-Uthaya” dan mula “mengajar” ketua editor majalah
berkenaan supaya memboikot karya-karya saya. Cerpen terbaru saya yang sudah
diluluskan untuk penyiaran oleh editor dan ketua editor, tiba-tiba ditolak oleh
penolong editor itu menggunakan alasan tadi.
Nama DBP ‘dijual’
Malah, individu
berkenaan juga ternyata berniat jahat apabila menggunakan nama bekas ketua
Bahagian Majalah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Padilah Haji Ali. Kononnya,
semasa Padilah menjadi ketua, DBP memboikot karya-karya saya dan tidak
menyiarkannya di mana-mana majalah DBP. Maka, majalah di mana dia menjadi
penolong editor juga, katanya, perlu memboikot karya-karya saya.
Tentu sahaja fitnah itu
bertujuan menjejaskan nama baik serta imej DBP dan Padilah. Tambahan pula,
tidak timbul langsung isu mana-mana karya saya diboikot oleh mana-mana majalah
DBP. Terkini, karya saya disiarkan dalam majalah Tunas Cipta (April 2012) dan Dewan Pelajar
(Jun 2012).
Saya tidak menolak
kemungkinan (ulang: kemungkinan) puak anti-Kavyan turut berusaha meracuni editor-editor di DBP. Bagaimanapun, tentulah DBP sebagai sebuah badan
yang berwibawa, profesional dan beretika tidak akan terpengaruh dengan hasutan
dan fitnah yang disebarkan puak tidak bermaruah seperti itu.
Berbalik pada alasan “ada unsur penyebaran agama Hindu” yang
cuba dipelopori individu/kumpulan anti-Uthaya, mereka pasti terkejut besar jika
berpeluang membaca cerpen “Rudra Avatara” (Dewan Sastera, Januari 2005) dan “Cerita Paurnami” (Dewan Sastera, Mac 2006) misalnya.
Tidak mustahil bahawa puak itu akan menuduh
Rozninah Abd Azib, bekas editor Dewan
Sastera sebagai agen kepada penyebaran agama Hindu menerusi cerpen-cerpen
berkenaan. Tambahan pula, Dewan Sastera
adalah majalah sastera paling berprestij di tanah air dan diterajui pula sejak
dahulu oleh editor-editor yang berwibawa.
Sewaktu saya berbual-bual dengan Padilah
dan Rozninah di kafe DBP pada 16 Februari 2012, kami turut menyentuh mengenai
dua cerpen di atas. Rozninah tidak melihatnya sebagai karya yang “ada unsur
penyebaran agama Hindu”. Malah, walaupun sudah lebih enam tahun, beliau masih
ingat kedua-dua cerpen itu kerana unsur kemanusiaan dan kekeluargaan yang disajikan.
Tidak ada laporan mengatakan pembaca Melayu-Islam murtad selepas membaca
cerpen-cerpen berkenaan.
Sebagai individu yang menulis secara profesional sejak 1992, tentulah saya tahu apa yang boleh ditulis dan
apa yang perlu dielakkan dalam cerpen. Tentulah saya tahu perihal Akta
Penerbitan DBP, Dasar Kebudayaan Kebangsaan, Perlembagaan Persekutuan, etika
penulisan dan sensitiviti kaum/agama apabila mengirim karya untuk disiarkan.
Paparan budaya kaum
India
Semasa mengirim
manuskrip cerpen terbabit yang diluluskan ketua editor dan editor tetapi
kemudian ditolak penolong editor sebuah majalah, saya nyatakan begini pada
e-mel:
“Karya
ini tidak menyentuh sensitiviti mana-mana kaum atau agama. Sebaliknya cerpen
ini menggabungkan unsur budaya, keluarga, mitos dan pengajaran (moral) yang
disajikan secara tersirat menggunakan teknik ‘to suggest’ (mencadangkan). Gaya bahasa yang digunakan adalah
bahasa mudah, sesuai dengan sudut penceritaan watak seorang kanak-kanak.”
Hakikat yang perlu
diakui adalah bahawa jumlah penulis kaum India yang menulis
karya Bahasa Malaysia tidak ramai. Maka, sebagai kelompok “minoriti”, pasti
sahaja banyak cabaran dan rintangan yang perlu dilalui. Apatah lagi apabila
terpaksa berdepan dengan puak anti-Kavyan yang berusaha bersungguh-sungguh
mempengaruhi para editor akhbar dan majalah supaya memboikot apa-apa tulisan
yang dikirim pengarang kaum India.
Malah, saya difahamkan
bahawa pada Jun 2012, seorang penulis terkenal dan disegani memberi
“peringatan” kepada sekumpulan editor di sebuah penerbitan supaya berhati-hati
dan berwaspada dengan karya daripada penulis kaum India – kecuali Raja Rajeswari Seetha Raman – kerana pasti ada cubaan menyebarkan ajaran agama
Hindu menerusi karya yang dikirim.
Sekadar makluman, Raja
Rajeswari adalah penulis kaum India yang selesa menulis puisi bertema
Melayu-Islam. Maka, walaupun beliau masih “minoriti” (penulis kaum India)
tetapi beliau adalah “minoriti terpilih” kerana tidak pernah disyaki atau
dituduh cuba menyebarkan agama Hindu menerusi puisi-puisi Islamik yang
dihasilkannya. Akan tetapi, para pengarang lain (minoriti) tidak cukup bertuah
seperti beliau untuk diberikan layanan istimewa.
Suatu hal yang ketara
(dan sesungguhnya saya senangi) dalam cerpen-cerpen saya adalah penampilan
budaya, bahasa, adat dan cara hidup kaum India. Sebenarnya, saya beranggapan
adalah menjadi tanggungjawab saya menampilkan kebudayaan kaum India untuk
tatapan dan pemahaman para pembaca yang terdiri daripada pelbagai kaum di
Malaysia.
Demikian saya nyatakan
pada bahagian prakata kumpulan cerpen Siru Kambam (DBP: 1996). Demikian juga saya sering tegaskan kepada
peserta bengkel penulisan cerpen anjuran Kavyan. Nasihat yang sama juga saya
berikan kepada peserta Bengkel Penulisan Makalah Budaya anjuran DBP pada 19 Mei 2012.
Penindasan secara halus
Mungkin sahaja akan ada
pihak yang tampil mengatakan bahawa isu sebuah manuskrip cerpen saya ditolak
adalah isu terpencil dan tidak wajar diperbesar-besarkan. Akan tetapi, bagi
saya, isu sebenar bukanlah soal cerpen itu tidak disiarkan – kerana saya boleh
sahaja menyiarkannya di tempat lain; malah mendapat bayaran yang lebih.
Isu yang lebih besar di
sini adalah “penindasan secara halus” yang dilakukan secara terancang oleh pihak
tertentu terhadap penulis pelbagai kaum yang menulis mengenai kaum, budaya,
adat, kepercayaan, agama dan cara hidup selain daripada acuan Melayu-Islam.
Dalam pada kita lantang
berkokok “meraikan kepelbagaian”, apa yang sebenarnya berlaku/dilakukan adalah
penindasan secara terancang terhadap golongan penulis minoriti yang berusaha
“menyajikan kepelbagaian” yang dilaung-laungkan itu.
Label paling mudah
adalah “cuba menyebarkan agama Hindu/Kristian/Buddha/Sikh” bagi menghalang
hasil karya itu daripada disiarkan untuk bacaan umum. Kononnya boleh menggugat
akidah penduduk beragama Islam di Malaysia. Begitu rapuhkah keimanan dan akidah
penganut agama Islam di negara bertuah ini?
Apa yang diperkatakan di sini bukan
semata-mata soal kebebasan bersuara – freedom
of speech. Sebaliknya adalah mengenai tanggungjawab penulis membuka ruang
ke arah pembinaan Bangsa Malaysia dengan menampilkan
kepelbagaian budaya, adat-resam, kepercayaan dan agama untuk dinikmati pembaca.
Semuanya musnah apabila dicantas pihak editorial yang terlalu rapuh keimanan
dan terlalu tebal perasaan perkauman dalam diri.
Mungkinkah akan tiba pula
masanya ada pihak mencadangkan agar semua manuskrip karya yang dihasilkan
pengarang “Bukan Melayu-Islam” wajib diserahkan kepada pegawai Jabatan Kemajuan
Islam Malaysia (Jakim) untuk dinilai dan diluluskan? Bukan kerana unsur Islamik
yang mungkin ditampilkan tetapi kerana bimbang “ada
unsur penyebaran agama Hindu/Kristian/Buddha/Sikh”.
Mungkin akan disarankan juga supaya karya-karya
pengarang kaum India diserahkan oleh penerbit kepada peguam dan pakar
undang-undang kerana bimbang kisah mengenai budaya, adat dan cara hidup watak
kaum India itu “salah dari segi Akta Penerbitan” dan boleh mengancam keamanan
negara.
Pada waktu itu nanti, juak-juak anti-Kavyan
serta penolong editor yang menolak cerpen saya dengan fitnah “ada unsur penyebaran agama Hindu” pasti
akan tersenyum girang sambil menerima habuan yang dijanjikan pihak tertentu.
Dan di pentas yang lain pula, pemerintah akan berkempen secara besar-besaran
menggalakkan penulis pelbagai kaum menghasilkan karya Bahasa Malaysia untuk
menggambarkan kepelbagaian budaya dan etnik di negara bertuah ini demi mencapai
integrasi yang diimpikan bersama.
[Makalah ini ditulis pada 25 September 2012 dan disiarkan di Projek Dialog pada 29 September 2012. © Uthaya Sankar SB 2012.]