Apabila bercakap mengenai sastera remaja
(cerpen, novel, sajak dan drama), kita tidak dapat lari daripada memperkatakan
soal tuntutan sosial seperti nilai-nilai murni yang perlu diterapkan secara
penuh sedar oleh pengarang.
Pada masa sama, kita berhadapan dengan
tuntutan komersial yang mempengaruhi keuntungan serta peluang karya itu menjadi
popular dalam kalangan pembaca.
Maka, selain daripada menyentuh si
pengarang, lingkaran perbincangan topik ini turut melibatkan pihak penerbit dan
khalayak pembaca yang juga memainkan peranan dalam soal ini.
Namun, buat permulaan, perkara-perkara yang
dibincangkan di sini secara khusus menyentuh golongan penulis; khasnya penulis
muda dan penulis baru yang menghasilkan karya bagi pembaca remaja.
Kisah Cinta
Tema ini paling popular dan paling “laku” jika
dijadikan bahan karya. Malah, jika diperhatikan, begitu banyak novel
menyelitkan perkataan “cinta” dan “kasih” pada judul sebagai pelaris.
Pengarang yang bijak dan menyedari tuntutan
sosial serta tanggungjawab sosial akan melihat tema “cinta” dan “kasih” pada
skop yang lebih besar. Karyanya tidak mengejar kejayaan komersial dan
keuntungan mudah dengan menyelitkan kisah cinta murahan dan kasih terlarang
yang bertentangan dengan nilai ketimuran yang menjadi pegangan.
Seks dan Dadah
Sekiranya tidak berhati-hati, pengarang
mungkin terjerumus membawa kisah “cinta” dan “kasih” kepada kisah seks dan
picisan yang mampu menarik perhatian sekelompok pembaca, tetapi tidak
menyumbang ke arah memartabatkan nilai sastera.
Kisah golongan remaja yang menjadi penagih
dadah dan arak juga mungkin dikatakan sesuai dengan apa yang berlaku dalam
realiti. Penulis berhak menggambarkan realiti dalam karya.
Akan tetapi, sekiranya tidak ditangani
dengan bijak, karya itu mungkin menyumbang pula kepada masalah sosial yang
semakin buruk dalam kalangan pembaca remaja.
Memartabatkan Bahasa
Suatu hal yang sering kita perhatikan
adalah penggunaan bahasa yang tidak standard dalam kalangan masyarakat, khasnya
generasi muda.
Selain mencampuk-adukkan dengan Bahasa
Inggeris, pengguna Bahasa Malaysia juga ketara mengabaikan aspek
ejaan, tanda baca, kesantunan berbahasa,
imbuhan dan sebagainya. Perkara seperti ini paling jelas semasa mengirim mesej
menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), menulis
komen di laman rangkaian sosial Facebook
dan menulis entri di blog.
Penulis karya sastera (cerpen dan novel)
mungkin memberikan alasan bahawa mereka mahu menggambarkan realiti masyarakat
dengan turut menggunakan bahasa yang tidak betul dalam karya yang dihasilkan.
Malangnya, mereka mungkin terlupa bahawa dalam
pada berhak menggambarkan realiti sosial, penulis juga mempunyai tanggungjawab
sosial iaitu mendidik pembaca (generasi muda) menggunakan bahasa yang betul
dalam komunikasi lisan dan bertulis.
Unsur Karut dan Hantu
Khalayak umum memang gemar membaca
kisah-kisah yang menyentuh unsur kepercayaan karut, tahyul, cerita
hantu, mistik dan kisah ilmu hitam. Kalau kita melihat pada lambakan bahan
bacaan dalam pasaran yang menyentuh topik-topik berkenaan, ternyata kisah
seumpama itu mempunyai nilai komersial yang tinggi.
Walau bagaimanapun, sebagai pengarang yang
beretika, berilmu, bertanggungjawab dan mempunyai pegangan agama, tentulah kita
tidak harus mudah terpengaruh untuk menghasilkan karya seumpama itu.
Sebaik-baiknya, sebelum menulis,
bertanyalah pada diri: Apakah karya yang bakal dihasilkan ini akan membawa
kebaikan kepada pembaca atau sebaliknya membawa kemusnahan.
Jadilah Penulis Beretika
Sebenarnya, tidak sukar untuk menghasilkan
karya bermutu yang memenuhi tuntutan sosial dan masih boleh mendapat perhatian
dalam kalangan pembaca.
Di sinilah terletaknya kebijaksanaan
pengarang serta kemampuannya mengadun tema-tema berciri “tuntutan sosial” yang
masih mampu menarik peminat (pembaca dan penerbit) karya komersial.
Rukun Negara
Kelima-lima prinsip Rukun Negara sebenarnya
sudah memadai untuk dijadikan “pegangan awal” mana-mana individu yang mahu
menghasilkan karya bermutu yang tahan diuji zaman.
Untuk itu, tentulah kita sebagai penulis
perlu terlebih dahulu memahami dan menghayati prinsip-prinsip berkenaan.
Sebagaimana pegangan agama, moral, nilai-nilai murni dan sebagainya, apabila
kesemua perkara itu sudah sebati dalam jiwa, maka kita secara penuh sedar tidak
akan terbabas daripada landasan menghasilkan karya bermutu yang memenuhi
tuntutan sosial.
Fahami Budaya Lain
Sebagai pengarang yang lahir dan membesar
di Malaysia, kita sebenarnya amat bertuah kerana negara ini kaya dengan
pelbagai budaya, adat, etnik, agama, kepercayaan, amalan dan sebagainya.
Cabaran yang terletak pada diri kita sebagai
penulis adalah untuk memahami, menghayati dan menghormati kepelbagaian itu
supaya nanti boleh dituangkan ke dalam karya yang dihasilkan.
Sekadar contoh, bagaimana mungkin kita
menghasilkan karya yang menyeru kepada persefahaman, perpaduan, integrasi,
saling menghormati dan bantu-membantu sekiranya kita sebagai seorang pengarang
masih bersikap etnosentrik (ethnocentric)
dan tidak mengamalkan perpaduan.
Kesinambungan Komsas
Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran
Bahasa Malaysia (Komsas) yang diperkenalkan di sekolah
pada 2010 sepatutnya dan seharusnya membantu menghasilkan penulis dan pembaca
yang menghargai karya sastera bermutu.
Maknanya, tidak harus timbul soal penerbit
memberikan alasan bahawa hanya karya komersial mendapat sambutan dan dibaca
oleh khalayak. Pada masa sama, kita sebagai penulis juga tidak ada ruang untuk
memberikan alasan yang sama bagi mewajarkan tindakan kita menumpukan perhatian
pada penghasilan karya popular dan komersial.
Gagasan 1Malaysia
Gagasan ini yang diperkenalkan oleh Datuk
Seri Najib Tun Razak pada April 2009 juga boleh dijadikan bahan bagi menghasilkan
karya-karya yang memenuhi tuntutan sosial tanpa mengabaikan tuntutan komersial.
Saya katakan demikian kerana pasti semua
media arus perdana – akhbar dan majalah – akan memberi perhatian terhadap karya
– sajak, cerpen dan novel – yang cuba menerapkan gagasan 1Malaysia seperti
budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan,
meritokrasi, pendidikan dan integriti.
Jangan salah tafsir! Saya bukan menyarankan
pengarang menghasilkan karya berbentuk propaganda. Sebaliknya saya menyeru para
penulis menggunakan peluang yang ada di depan mata untuk menghasilkan
karya-karya yang secara nyata menyeru ke arah kebaikan dan kebetulan selaras
dengan gagasan 1Malaysia.
Tulislah untuk Anak-cucu
Nasihat ini sering saya berikan kepada
sesiapa yang menyertai bengkel penulisan anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan).
Pada usia muda, mungkin ada pengarang yang hanya mementingkan wang/honorarium,
lalu menghasilkan karya yang memenuhi tuntutan komersial/popular, tetapi
mengabaikan aspek tanggungjawab sosial.
Bayangkan bahawa karya itu dibaca oleh
anak-cucu pada masa hadapan. Apakah mereka akan berasa bangga dengan karya yang
dihasilkan oleh ibu/bapa/datuk/nenek mereka atau sebaliknya terpaksa menanggung
malu?
Tautan Komersial-Sosial
Apa-apa yang saya perkatakan secara ringkas
ini bertujuan memberi gambaran dan penjelasan umum berhubung soal tuntutan
komersial dan tanggungjawab sosial yang sering menimbulkan dilema dalam
kalangan penulis sejak dahulu.
Sebenarnya, seorang pengarang yang bijak
akan mampu menghasilkan tautan pintar antara tuntutan komersial dan
tanggungjawab sosial bagi menghasilkan karya bermutu. Maka, semuanya berbalik
pada kebijaksanaan kita sebagai penulis.
(Uthaya Sankar SB merupakan presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan dan pemilik tunggal Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya. Penulis sepenuh masa ini merupakan alumni Minggu Penulis Remaja. Apa yang dipaparkan di sini
adalah manuskrip asal
bagi makalah yang disiarkan di Tunas Cipta keluaran April 2012.)