2 Mar 2006

Cerita Paurnami

Malam ini amat gelap. Sepatutnya bulan mengambang di langit. Akan tetapi, entah mengapa hanya kegelapan yang menyelubunyi langit malam.


“Kaamini.”


Aku segera bergerak dari tepi tingkap menuju ke katil berhampiran.


“Anak-anak di mana?” tanya ibu.


“Semuanya di tingkat atas, mak. Saya harap saya tak mengganggu emak tadi. Emak perlukan apa-apa?”


“Emak tak perlukan apa-apa. Suruhlah anak-anak tu ke sini. Rindu pula emak nak mendengar suara mereka.”


Selepas mengusap rambut putih emak dengan mesra, aku bergerak ke arah pintu bilik. Sebaik sahaja daun pintu dibuka, aku dapat mendengar suara anak-anakku di tingkat atas.


“Yesotha! Kamesh! Paati nak jumpa kamu berdua.”


Dalam sekelip mata, mereka berdua bergegas menuruni anak-anak tangga. Kegembiraan terpancar pada wajah. Pasti mereka berasa gembira kerana nenek mereka sudah bangun selepas tidur sejak awal petang tadi.


Sewaktu aku bergerak semula ke sisi katil emak, kedua-dua anakku sedang memeluk dan mencium pipi nenek mereka dengan penuh kasih.


“Saya terkejut apabila paati pengsan tengah hari tadi,” kata anak lelaki berumur enam tahun.

“Paati dah sihat sekarang?” tanya Yesotha yang berusia lapan tahun.


“Paati sihat. Paati tak apa-apa,” ibu cuba meyakinkan cucu-cucunya sebelum memandang ke arahku dan bertanya: “Yesotha dan Kamesh sudah makan? Dah pukul berapa sekarang?”


Ibu berusaha menjenguk ke luar tingkap.


“Kami sudah makan, paati. Emak yang suapkan.”


Aku memandang ke arah ibu. Mata ibu pula masih tertumpu ke arah tingkap. Mungkin ibu hairan bagaimana hari sudah menjadi malam. Tentu ibu tidak sedar bahawa beliau tidur selama hampir lapan jam.



(Petikan cerpen "Cerita Paurnami" yang disiarkan dalam majalah Dewan Sastera, Mac 2006 dan dimuatkan dalam Rudra Avatara. Baca terjemahan Tamil DI SINI dan terjemahan Inggeris DI SINI. Dapatkan senarai cerpen Uthaya Sankar SB DI SINI.)