[Secara langsung dan tidak langsung, golongan penulis memainkan
peranan penting ke arah pembinaan negara bangsa.]
Sempena sambutan Hari
Malaysia kali ini, saya memilih untuk memperkatakan beberapa perkara yang
meninggalkan kesan di hati saya mengenai sejumlah penulis yang menghasilkan
karya Bahasa Malaysia dengan semangat Bangsa Malaysia.
Sasterawan Negara Datuk Dr Anwar Ridhwan pernah menjadi Penasihat Kehormat Kumpulan Sasterawan
Kavyan (Kavyan) pada 2003 selepas Dr Othman Puteh meninggal dunia.
Bagaimanapun, wartawan akhbar Berita
Harian, Salbiah Ani melaporkan pada 12 Julai 2007 bahawa “Dr Anwar membuat
keputusan mengundur diri sebagai Penasihat Kavyan berkuat kuasa serta-merta
kerana terkejut dengan kandungan sajak yang ditulis Presiden Kavyan, Uthaya
Sankar SB.”
Namun begitu, Dekan
Fakulti Penulisan Aswara itu masih bersikap profesional dan tidak pula berpatah
arang dengan Kavyan berikutan hasutan yang dilakukan puak anti-Kavyan.
Malah, bagi acara “Jom
Kenali Sasterawan Negara Anwar Ridhwan” pada 24 Mac 2010, saya diundang sebagai
moderator. Beliau turut mengundang saya
ke “Seminar Sastera Pelbagai Kaum” di Aswara pada 6 & 7 September 2012.
Dr Anwar pernah menjadi
profesor pelawat di Tokyo University of Foreign Studies (1997-2000). Sebelum
bertolak ke Jepun, beliau memanggil saya ke pejabatnya di DBP (bangunan lama) dan
menasihatkan saya supaya mengekalkan gaya penulisan dan jati diri agar dapat
terus menyerlah sebagai seorang pengarang penting tanah air.
Walaupun menang
pelbagai anugerah serta karya beliau diterjemah ke pelbagai bahasa
antarabangsa, sasterawan kelahiran Sungai Besar, Selangor ini tetap merendah
diri dan pertuturannya penuh santun. Itu adalah salah satu ciri istimewa Dr
Anwar yang menjadi sebutan ramai.
Nilai-nilai murni
Sementara itu, saya
mengenali Dr Kamariah Kamarudin semasa kami sama-sama belajar di Jabatan Pengajian Media,
Universiti Malaya pada tahun 1990-an. Persahabatan dan persaudaraan kami
menjadi lebih erat apabila sama-sama menyambung pengajian di Jabatan Persuratan
Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Aspek paling menonjol
pada diri Kamariah – saya memanggilnya “Mak Cik” sejak dahulu sementara dia
pula memanggil saya “Pak Cik” – adalah bahawa dia sentiasa tersenyum walaupun
berhadapan dengan masalah.
Sepanjang saya
mengenalinya, Kamariah juga mengekalkan ciri-ciri dan jati diri Melayu serta
menjadikan Islam sebagai pegangan hidup. Pada masa sama, dia tidak ada apa-apa
masalah untuk bergaul mesra serta berkongsi pandangan dengan rakan-rakan
pelbagai kaum dan agama.
Sebagai seorang
penulis, Kamariah menghasilkan novel dan cerpen yang menonjolkan nilai-nilai
murni yang ditulis dengan penuh sedar untuk mendidik/membimbing generasi muda
ke arah kebaikan.
Karya terbaru Kamariah
yang saya baca adalah buku ilmiah Takmilah
dalam Novel Melayu iaitu kajian peringkat kedoktoran yang dilakukan secara
mendalam dan menyeluruh dengan mengaplikasikan Teori Takmilah bertunjangkan
Islam.
Sebagai seorang
pensyarah, Kamariah turut berusaha membimbing mahasiswa di Universiti Putra
Malaysia (UPM) untuk menghasilkan karya kreatif. Hal ini mengingatkan saya
kepada Dr Othman yang melakukan perkara sama di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
sehingga akhir hayatnya.
Interlok jadi sebutan
Nama Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain (Pak Lah) pula tiba-tiba menjadi sebutan dalam kalangan
pelbagai lapisan masyarakat mulai akhir 2010 berikutan kontroversi novel Interlok: Edisi Murid yang dijadikan
teks Komsas di sekolah.
Seperti mana yang saya
dan Kavyan tegaskan sejak awal, Pak Lah tidak bersalah dalam isu yang timbul.
Sebaliknya, hasil penelitian dan kajian lapangan, saya meletakkan tanggungjawab
itu sepenuhnya pada pihak penerbit dan kementerian yang gagal menangani teks
berkenaan secara profesional dan bermaruah sebelum dijadikan teks wajib di
sekolah.
Akibatnya, Pak Lah
menjadi mangsa kata-kata orang ramai yang menyangka novel itu adalah karya yang
baru ditulis tanpa memahami sentimen agama dan sensitiviti kaum. Kemudian, ada
pula pihak tertentu yang memanipulasi keadaan untuk mencetuskan ketegangan
berbentuk perkauman demi kepentingan peribadi; kononnya demi “maruah penulis”.
Sepanjang saya
mengenali Pak Lah, beliau seorang yang sangat lemah-lembut, bersopan-santun dan
berusaha gigih memahami budaya masyarakat pelbagai kaum dan agama. Pengalaman
serta pandangan beliau terhadap hidup dituangkan secara penuh seni dalam bentuk
cerpen dan novel. Cerpen-cerpen beliau dalam Dari Kota ke Kota (1977) yang saya baca pada zaman persekolahan
masih menjadi kegemaran saya.
Harapan saya agar
insiden hitam yang berlaku dalam isu Interlok:
Edisi Murid menjadi pengajaran kepada pemerintah dan pihak terbabit supaya
tidak lupa akan tanggungjawab memperkenalkan para Sasterawan Negara kepada
masyarakat di seluruh negara (termasuk Semenanjung Malaysia) secara berterusan.
Membimbing melalui blog
Dalam pada itu, saya
mula mengenali nama Azmah Nordin pada tahun 1990-an apabila karya kami sama-sama dimuatkan
dalam beberapa antologi cerpen selenggaraan Dr Othman.
Pengarang wanita
kelahiran Kulim, Kedah ini bermastautin di Sabah sejak 1973 dan mula terlibat
dalam bidang penulisan mulai 1985. Beliau memang seorang individu yang sangat
pemalu. Namun, ini bukan pula bermakna beliau tidak mesra atau tidak suka
bergaul dengan orang.
Daripada pengalaman
saya sendiri, memanglah Azmah kurang bercakap apabila kami mula-mula bertemu.
Apabila sudah berkenal-kenalan, maka beliau lebih selesa untuk berbual. Beliau
juga kurang berkongsi kisah mengenai pelbagai rintangan dan masalah hidup yang
dilaluinya. Sikap merendah diri dan pemalu yang menjadi peribadi Azmah mungkin
membuatkan sesetengah pihak menganggap beliau sedikit sombong tetapi tanggapan
itu adalah tidak benar.
Penulis prolifik ini
menang SEA Write Award pada 2009 selain pelbagai anugerah peringkat negeri
Sabah dan kebangsaan sejak 1988. Beliau ternyata membuat kajian mendalam dan
teliti sebelum menghasilkan sesebuah karya.
Azmah turut menggunakan
blog dan laman rangkaian sosial Facebook
untuk membimbing generasi mudah yang berminat mendalami bidang penulisan
kreatif. Ringkasnya, walaupun Azmah kurang menonjolkan diri di khalayak ramai
atau di acara sastera, beliau terus prolifik menghasilkan karya bermutu yang
sama-sama mencorakkan peta sastera tanah air.
Legasi Usman Awang
Setiap kali sambutan
Hari Guru, sajak “Guru Oh Guru” (1979) karya Sasterawan Negara Datuk Usman Awang (Allahyarham) pasti mendapat perhatian. Selain daripada
dibacakan pada majlis di sekolah, sajak penuh makna itu juga sering disiarkan
semula di majalah, dijadikan poster di sekolah dan disiarkan menerusi
televisyen.
Sajak “Keranda 152”
juga sering diperkatakan dan dilaungkan orang apabila berbicara soal bahasa.
Biasanya kesemua perkara ini dilakukan tanpa mengambil kira hak cipta, hak
moral dan hak royalti pengarang. Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa
kesemua hak cipta karya Usman Awang dipegang dan dipelihara oleh UA Enterprises
Sdn Bhd.
Malah, cukup
menyedihkan apabila pertubuhan penulis juga seperti sudah melupakan sumbangan
arwah; khususnya pada saat waris beliau menghadapi masalah hilang hak cipta “Muzikal
Uda & Dara” baru-baru ini.
Amatlah malang jika
generasi muda tidak didedahkan pada karya-karya sasterawan ini yang berjiwa
Malaysia dan tidak melihat pada kaum, agama dan warna kulit. Walau
bagaimanapun, agak menarik untuk diperhatikan bahawa Usman Awang terus menjadi
idola dalam kalangan guru dan murid/pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina.
Bagi memastikan legasi
Usman Awang tidak lenyap begitu sahaja, saya pernah menulis mengenai beliau di
akhbar Sinar Harian (29 Jun 2009)
selain menyampaikan kertas kerja mengenai karya-karya beliau (19 Jun 2010).
Kavyan turut mengangkat sajak-sajak beliau menerusi acara “Baca Puisi
Sasterawan Negara” (19 Julai 2009).
Walaupun saya tidak
pernah berpeluang bertemu Allahyarham semasa hayatnya, saya melakukan semua ini
kerana saya amat terkesan apabila berpeluang membaca sajak “Guru Oh Guru” buat
kali pertama pada tahun 1984. Semoga legasi Usman Awang tidak akan terkubur
akibat kekhilafan pihak yang sama-sama bertanggungjawab memeliharanya.
Menulis dalam dua bahasa
Antara penulis kaum
India yang sudah pun aktif berkarya dalam Bahasa Malaysia sebelum saya ialah M. Mahendran. Saya mula mengenali penulis yang berasal dari Bentong,
Pahang ini menerusi cerpen-cerpennya yang menang Hadiah Cerpen Maybank-DBP seawal 1988.
Mahendran turut
menggunakan nama pena “M. Prabhu” dalam penulisan cerpen Bahasa Tamil sejak
1987. Sebagai pengarang yang menguasai Bahasa Malaysia dan Bahasa Tamil –
secara lisan dan bertulis – Mahendran berupaya berkarya dengan selesa dalam
kedua-dua bahasa berkenaan.
Cerpen Bahasa Tamil
yang dihasilkannya sering menghiasai dada akhbar dan majalah manakala cerpen
Bahasa Malaysia mendapat tempat dalam majalah-majalah terbitan Dewan Bahasa dan
Pustaka (DBP) serta Kumpulan Media Karangkraf. Karyanya juga termuat dalam
beberapa buku bersama-sama penulis-penulis lain; misalnya antologi Vanakam (2002).
Saya mula mengenali
pemuda ini secara peribadi sejak sekitar 1994 apabila beliau menghubungi saya
untuk menulis sebuah rencana mengenai saya di sebuah majalah Bahasa Tamil.
Malah, Mahendran yang berbakat besar dan sangat merendah diri adalah salah
seorang individu penting yang terlibat sama dalam mengasaskan Kavyan pada 22
Ogos 1999.
Namun, belakangan ini
beliau sudah jarang menulis dan perkara ini adalah amat menyedihkan dalam
konteks perkembangan sastera kebangsaan. Jumlah penulis kaum India yang mampu
menyajikan budaya kaum India menerusi karya Bahasa Malaysia tidak ramai dan
tentulah amat merugikan sekiranya Mahendran menggantung pena pada saat
khidmatnya masih amat diperlukan.
Semoga pengarang
Malaysia daripada pelbagai latar budaya terus gigih mewarnai peta sastera
kebangsaan. Selamat Menyambut Hari Malaysia!
[Makalah ini merupakan himpunan catatan harian di
blog mulai 31 Ogos 2012 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 17 September 2012.
© Uthaya Sankar SB. Sila KLIK DI SINI untuk membaca Bahagian
Satu.]