Nama Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain (Pak Lah) tiba-tiba menjadi sebutan dalam kalangan
pelbagai lapisan masyarakat mulai akhir 2010 berikutan kontroversi novel Interlok: Edisi Murid yang dijadikan teks Komsas di sekolah. Seperti mana yang
saya dan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) tegaskan sejak awal, Pak Lah tidak bersalah dalam isu yang timbul. Sebaliknya, hasil penelitian dan
kajian lapangan, saya meletakkan tanggungjawab itu sepenuhnya pada pihak
penerbit dan kementerian yang gagal menangani teks berkenaan secara profesional
dan bermaruah sebelum dijadikan teks wajib di sekolah. Akibatnya, Pak Lah
menjadi mangsa kata-kata orang ramai yang menyangka novel itu adalah karya yang
baru ditulis tanpa memahami sentimen agama dan sensitiviti kaum. Kemudian, ada
pula pihak tertentu yang memanipulasi keadaan untuk mencetuskan ketegangan berbentuk
perkauman demi kepentingan peribadi; kononnya demi “maruah penulis”. Sepanjang
saya mengenali Pak Lah, beliau seorang yang sangat lemah-lembut,
bersopan-santun dan berusaha gigih memahami budaya masyarakat pelbagai kaum dan
agama. Pengalaman serta pandangan beliau terhadap hidup dituangkan secara penuh
seni dalam bentuk cerpen dan novel. Cerpen-cerpen beliau dalam Dari Kota ke Kota (1977) yang saya baca
pada zaman persekolahan masih menjadi kegemaran saya. Harapan saya agar insiden
hitam yang berlaku dalam isu Interlok:
Edisi Murid menjadi pengajaran kepada pemerintah dan pihak terbabit supaya
tidak lupa akan tanggungjawab memperkenalkan para Sasterawan Negara kepada masyarakat di seluruh negara (termasuk Semenanjung
Malaysia) secara berterusan. Selamat Menyambut Hari Malaysia!