Saya mengenali Dr Kamariah Kamarudin semasa kami
sama-sama belajar di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya pada tahun
1990-an. Persahabatan dan persaudaraan kami menjadi lebih erat apabila
sama-sama menyambung pengajian di Jabatan Persuratan Melayu, Universiti
Kebangsaan Malaysia. Aspek paling menonjol pada diri Kamariah – saya memanggilnya
“Mak Cik” sejak dahulu sementara dia pula memanggil saya “Pak
Cik” – adalah bahawa dia sentiasa tersenyum walaupun berhadapan dengan masalah.
Sepanjang saya mengenalinya, Kamariah juga mengekalkan ciri-ciri dan jati diri Melayu
serta menjadikan Islam sebagai pegangan hidup. Pada masa sama, dia tidak ada
apa-apa masalah untuk bergaul mesra serta berkongsi pandangan dengan
rakan-rakan pelbagai kaum dan agama. Sebagai seorang penulis, Kamariah
menghasilkan novel dan cerpen yang menonjolkan nilai-nilai murni yang ditulis
dengan penuh sedar untuk mendidik/membimbing generasi muda ke arah kebaikan. Karya
terbaru Kamariah yang saya baca adalah buku ilmiah Takmilah dalam Novel Melayu iaitu kajian peringkat kedoktoran yang
dilakukan secara mendalam dan menyeluruh dengan mengaplikasikan Teori Takmilah
bertunjangkan Islam. Sebagai seorang pensyarah, Kamariah turut berusaha
membimbing mahasiswa di Universiti Putra Malaysia untuk menghasilkan karya
kreatif. Hal ini mengingatkan saya kepada Allahyarham Dr Othman Puteh yang melakukan perkara sama di Universiti Kebangsaan
Malaysia sehingga akhir hayatnya. Selamat Menyambut Hari Malaysia!