18 Oct 2012

Tentang Penulis Malaysia

Sewaktu saya bertemu Anas Zubedy di pejabatnya pada 29 Ogos 2012 untuk menyerahkan novel Panchayat: Edisi Khas, beliau menceritakan mengenai kempen “Say Something Nice” sempena ulang tahun Kemerdekaan dan Hari Malaysia.
 
Beliau mencadangkan supaya saya menulis secara ringkas mengenai beberapa penulis yang saya kenali. Maka, saya memilih untuk memperkatakan tentang beberapa pengarang Malaysia yang menulis dalam Bahasa Malaysia.
 
Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said (Pak Samad) amat saya kagumi atas kelantangannya “bersuara” – secara langsung dan juga menerusi penulisannya.
 
Walaupun belakangan ini beliau dilihat sebagai individu yang bersuara lantang menentang pemerintah – dan disiasat polis kerana membaca puisi – apa yang sebenarnya dilakukannya sejak dahulu adalah bersuara menentang sebarang bentuk penindasan, ketidak adilan dan kezaliman yang dilakukan oleh mana-mana pihak.
 
Pak Samad tidak tunduk pada tekanan dan arahan mana-mana pihak berkepentingan; sekali gus membuktikan bahawa di tengah-tengah begitu ramai “penulis” dan “organisasi penulis” yang mudah dijadikan boneka, masih ada sasterawan yang berani mengekalkan jati diri dan maruah bangsa.
 
Allahyarham Dr Othman Puteh pula sesungguhnya memenuhi kriteria “patah tumbuh, hilang tak berganti” kerana selepas beliau meninggal dunia pada 19 Oktober 2003, belum ada penggiat sastera tanah air yang mampu menggantikan tempatnya.
 
Sepanjang saya mengenali beliau, penulis dan penggiat sastera ini tidak mengamalkan perkauman. Sebaliknya, beliau membimbing dan menggalakkan penulis muda daripada pelbagai kaum dan latar belakang. Rata-rata kelompok penulis yang lahir pada 1980-an dan 1990-an pasti pernah menerima suntikan semangat daripada tokoh ini.
 
Kegiatan sastera melibatkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) juga lebih ceria serta lebih bersifat inklusif semasa beliau masih ada. Harimau mati meninggalkan belang, Dr Othman pergi meninggalkan legasi.
 
Dalam pada itu, apabila saya mencalonkan Dr Lim Swee Tin bagi Anugerah Sastera Negara yang membawa gelaran Sasterawan Negara, ada pelbagai pihak yang mempertikaikannya. Menurut mereka, ada ramai lagi penulis sastera kebangsaan yang lebih layak dicalonkan. Reaksi saya amat mudah: Jika benar ada ramai lagi penulis yang lebih layak, mengapa tidak ada sesiapa yang tampil mencalonkan mereka.
 
Pada masa sama, saya sekadar mencalonkan Swee Tin. Sama ada layak atau tidak, terpulang pada panel terbabit untuk menilai dan memutuskan; bukan persoalan untuk saya fikirkan.
 
Nasib Swee Tin juga agak malang apabila seorang wartawan pada Mac 2011 sewenang-wenangnya memetik dan menyiarkan “khabar angin” yang disampaikan seorang tokoh bahawa Swee Tin kononnya membuat kempen sendiri untuk menjadi Sasterawan Negara serta kononnya ada hubungan dengan sebuah pertubuhan haram yang menentang novel Interlok.
 
Dalam melalui segala cabaran, rintangan dan fitnah itu, Swee Tin tetap terus menjadi penulis dan penggiat sastera yang disenangi khalayak pelbagai kaum dan pelbagai peringkat di seluruh negara.
 
Dr Mohd Faizal Musa yang lebih dikenali sebagai Faisal Tehrani pula antara penulis generasi muda yang amat wajar ditelaah pemikirannya menerusi karya-karya yang dihasilkan. Novel-novelnya sering menimbulkan kontroversi kerana “dilabel” sebagai mengangkat mazhab Syiah.
 
Apa yang terlupa atau diabaikan oleh pengkritik adalah bahawa Faisal sesungguhnya mengkaji mazhab itu secara ilmiah dan mendalam supaya sesuai dengan watak-watak bermazhab Syiah yang muncul dalam karya.
 
Bagi pembaca “Bukan Islam” seperti saya, Faisal membantu proses memahami nilai-nilai sebenar dalam agama Islam secara menyeluruh tanpa “terikat” pada mazhab-mazhab tertentu.
 
Sekiranya Faisal cuba dihalang daripada berkarya berdasarkan kajian ilmiah dan fakta yang sahih, maknanya pengkritik menafikan “kebenaran” yang menjadi aspek penting dalam mana-mana agama.
 
Salah seorang penulis dengan latar perundangan yang kuat di Malaysia ialah Nisah Haron. Saya selalu mengatakan bahawa para penulis di negara ini amat bertuah kerana mempunyai tempat untuk merujuk jika timbul sebarang isu berkaitan undang-undang, peraturan dan hal-hal berkaitan royalti serta hak cipta.
 
Dalam blognya, Nisah menyebut kerjayanya sebagai peguam sivil dan peguam syarie (1998-2006) sebagai “cerita lama”. Namun, pada hakikatnya, kepakaran beliau dalam bidang perundangan tetap bermanfaat kepada golongan penulis; apatah lagi kini pelbagai isu berkaitan hak cipta dan royalti berlaku di depan mata.
 
Penulis sepenuh masa, penasihat Ujana Ilmu Enterprise dan pensyarah sambilan ini turut mengaku dirinya “lebih bahagia memperjuangkan hak cipta sahabat-sahabat pengarang”.
 
Kenyataan berani dan pendirian tegas oleh setiausaha Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) ini amat bermakna di tengah-tengah situasi pertubuhan pengarang tertentu mengeluarkan kenyataan menyokong penuh segala apa pun keputusan pemerintah dalam hal-hal berkaitan dunia penulisan dan penerbitan buku.
 
Sekurang-kurangnya golongan penulis kecil seperti saya masih boleh menarik nafas lega kerana ada pakar bidang seperti Nisah yang sedia membantu.
 
Sementara itu, walaupun saya mengenali Roslan Jomel sejak Ogos 1991 apabila kami sama-sama menyertai Minggu Penulis Remaja, pengarang dari Kuching, Sarawak ini masih menjadi seorang individu penuh misteri.
 
Misalnya, banyak perkara mengenai dirinya yang tidak diketahui orang, termasuk rakan-rakan. Maka, cara mudah yang saya sendiri gunakan untuk “mencungkil” rahsia mengenai Roslan adalah dengan membaca karya-karyanya; khususnya kumpulan cerpen “Namaku Epal Kuning” (2010) dan “Selamat Datang ke Malaywood” (2012).
 
Cerpen-cerpen yang dihasilkan oleh pengarang ini hebat dan pasti membuatkan pembaca berfikir secara mendalam mengenai kisah-kisah yang berciri di luar lingkungan (out of the box).
 
Satu lagi keistimewaan yang sangat saya kagumi adalah bahawa Roslan sentiasa merendah diri; resmi padi – makin tunduk, makin berisi. Idea-idea yang disajikan menerusi karya-karya beliau sebenarnya berciri radikal tetapi disampaikan secara amat halus dan bersahaja – serta lucu – sehingga idea yang disalurkan itu meresap masuk ke dalam minda tanpa disedari pembaca.
 
Sastera Bahasa Malaysia turut diwarnai penulis kaum India. Pada tahun 1970-an, Joseph Selvam menyinar sebagai penulis yang sangat dikagumi atas kemampuannya menulis “sajak-sajak bertema Melayu dan Islam” dengan sangat baik.
 
Lompong yang ditinggalkan sejak tahun 1980-an kini sudah diisi Raja Rajeswari Seetha Raman yang memulakan penulisannya antara lain dengan mengkaji sajak-sajak Joseph Selvam. Pada “Seminar Sastera Pelbagai Kaum” (7 September 2012), Siti Aisah Murad (DBP) menyifatkan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2006/07 itu sebagai “satu-satunya penulis yang mewakili masyarakatnya”.
 
Haji A. Rahim Abdullah (Aswara) pula menceritakan bahawa Sasterawan Negara Datuk Kemala pernah menyarankan pada Mac 2007 supaya Raja Rajeswari “masuklah Islam cepat-cepat dengan suami” berikutan kehebatannya menulis “sajak-sajak bertema Melayu dan Islam”.
 
Tentulah tidak akan ada mana-mana penulis kaum India yang menulis karya Bahasa Malaysia – termasuk Sasterawan Kavyan – yang mampu mengatasi kehebatan dan kepakaran Raja Rajeswari dalam hal ini. Beliau ternyata berada dalam “kelas tersendiri” dan mustahil boleh digugat oleh sesiapa.
 
Dalam pada itu, nama Saroja Theavy Balakrishnan pula melonjak sebaik penulis kelahiran Alor Setar, Kedah ini menang tempat pertama Hadiah Cerpen Maybank-DBP 1991 menerusi cerpen “Kandasami”. Bekas guru ini turut berkongsi hadiah pertama Pertandingan Menulis Cerpen Formula Malaysia 1999/2000 bersama Hizairi Othman dan Ani Mawar Abdullah.
 
Selepas wujud semacam “kekosongan” penulis kaum India yang mewarnai sastera bahasa kebangsaan pada tahun 1980-an, kemunculan Saroja membawa sinar harapan yang amat bermakna. Penguasaan Bahasa Malaysia yang dimilikinya digunakan secara amat berkesan untuk bercerita di samping mendidik generasi muda mengenai pelbagai isu semasa.
 
Kesibukan kerja sebagai guru dan ibu pernah membuatkan Saroja sedikit kurang menulis pada pertengahan tahun 1990-an. Bagaimanapun, hasil motivasi yang diterima – khususnya daripada keluarga – memungkinkan pengarang ini muncul dengan dua kumpulan cerpen iaitu Gemerlapan (1997) dan Keinginan Kecil di Celah Daun (2003).
 
Dewasa ini, Saroja banyak mengangkat tema-tema alam sekitar menerusi karyanya. Beliau antara penulis yang menjadi kebanggaan dan sering disebut-sebut oleh Allahyarham Dr Othman Puteh yang turut menjadi pembimbingnya semasa Saroja belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
 
Demikian antara penulis Malaysia yang segera muncul dalam fikiran apabila saya diminta menulis bagi kempen “Say Something Nice”. Mungkin orang lain kurang menyukai mereka tetapi saya tetap berusaha mengenang dan memperkatakan beberapa perkara baik mengenai para penulis terbabit.
 
[Makalah ini merupakan himpunan catatan harian di blog mulai 31 Ogos 2012 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 10 September 2012. © Uthaya Sankar SB. Sila KLIK DI SINI untuk membaca Bahagian Dua.]