Salah seorang penulis dengan latar perundangan yang
kuat di Malaysia ialah Nisah Haron. Saya selalu mengatakan
bahawa para penulis di negara ini amat bertuah kerana mempunyai tempat untuk
merujuk jika timbul sebarang isu berkaitan undang-undang, peraturan dan hal-hal
berkaitan royalti serta hak cipta. Dalam blognya, Nisah menyebut kerjayanya
sebagai peguam sivil dan peguam syarie (1998-2006) sebagai “cerita lama”.
Namun, pada hakikatnya, kepakaran beliau dalam bidang perundangan tetap
bermanfaat kepada golongan penulis; apatah lagi kini pelbagai isu berkaitan hak cipta dan royalti
berlaku di depan mata. Penulis sepenuh masa, penasihat Ujana Ilmu Enterprise
dan pensyarah sambilan ini turut mengaku dirinya “lebih bahagia memperjuangkan
hak cipta sahabat-sahabat pengarang”. Kenyataan berani dan pendirian tegas oleh
setiausaha Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) ini amat bermakna di
tengah-tengah situasi pertubuhan pengarang tertentu mengeluarkan kenyataan
menyokong penuh segala apa pun keputusan pemerintah dalam hal-hal berkaitan
dunia penulisan dan penerbitan buku. Sekurang-kurangnya golongan penulis boleh
menarik nafas lega kerana ada pakar bidang yang sedia membantu. Selamat
Menyambut Hari Malaysia!