12 Sept 2012

Penulis Malaysia – 12

Saya mula mengenali nama Azmah Nordin pada tahun 1990-an apabila karya kami sama-sama dimuatkan dalam beberapa antologi cerpen selenggaraan Dr Othman Puteh (Allahyarham). Pengarang wanita kelahiran Kulim, Kedah ini bermastautin di Sabah sejak 1973 dan mula terlibat dalam bidang penulisan mulai 1985. Beliau memang seorang individu yang sangat pemalu. Namun, ini bukan pula bermakna beliau tidak mesra atau tidak suka bergaul dengan orang. Daripada pengalaman saya sendiri, memanglah Azmah kurang bercakap apabila kami mula-mula bertemu. Apabila sudah berkenal-kenalan, maka beliau lebih selesa untuk berbual. Beliau juga kurang berkongsi kisah mengenai pelbagai rintangan dan masalah hidup yang dilaluinya. Sikap merendah diri dan pemalu yang menjadi peribadi Azmah mungkin membuatkan sesetengah pihak menganggap beliau sedikit sombong tetapi tanggapan itu adalah tidak benar. Penulis prolifik ini menang SEA Write Award pada 2009 selain pelbagai anugerah peringkat negeri Sabah dan kebangsaan sejak 1988. Beliau ternyata membuat kajian mendalam dan teliti sebelum menghasilkan sesebuah karya. Azmah turut menggunakan blog dan laman rangkaian sosial Facebook untuk membimbing generasi muda yang berminat mendalami bidang penulisan kreatif. Ringkasnya, walaupun Azmah kurang menonjolkan diri di khalayak ramai atau di acara sastera, beliau terus prolifik menghasilkan karya bermutu yang sama-sama mencorakkan peta sastera tanah air. Selamat Menyambut Hari Malaysia!