Saturday, 11 December 2010

Kasih Puan Siti dan Kisah Tuan Zahid

“Saya tidak menyangka kata-kata saya akan menimbulkan gelombang seperti ini,” kata beliau kepada wakil media. “Saya hanya meluahkan apa yang ada di hati saya sejak lahir.”
.

Selama hampir sebulan, ‘gelombang’ yang dicetuskan secara spontan oleh Puan Siti terus beriak di seluruh negara. Malah, dengan adanya akhbar-akhbar alternatif dalam talian serta ruang siber tanpa sempadan, kehebatan Puan Siti terus menjadi sebutan.

..

Demikian petikan cerpen “Kasih Puan Siti” yang saya tulis pada 27 Ogos 2010 dengan mengambil inspirasi positif daripada kisah hebat Hajah Siti Inshah yang mencetuskan fenomena pada 12 Ogos 2010 – BACA DI SINI. Sekiranya tiada akhbar atau majalah yang berminat menyiarkan cerpen “Kasih Puan Siti” yang amat membosankan ini, maka saya akan menyiarkannya di blog saya pada 12 Ogos 2011 sempena meraikan ulang tahun pertama Fenomena Pendatang Hajah Siti Inshah.

..

Tidak menjadi masalah kerana saya sebelum ini pernah menyiarkan cerpen “Mengubah Alpa”, “Pulau Pendatang” dan “Anak-anak Pulau Cinta” secara eksklusif di blog saya.

..

Dalam pada itu, pada 8 Disember 2010, seorang Badut Paul Lathic yang mempersoalkan kesetiaan, semangat patriotik dan cinta terhadap negara, semata-mata kerana kaum Cina dan India kurang berminat “masuk tentera” – senada dengan “masuk jawi”? – akhirnya terpaksa memohon maaf secara yang amat tidak langsung. Ulang: terpaksa; tidak langsung.

.

Katanya, beliau langsung tidak berniat mempertikaikan semangat patriotik golongan bukan Bumiputera semasa membuat kenyataan itu pada 9 November 2010. Nampaknya, beliau sudah sedar bahawa kaum Cina, India, Iban, Kadazan, Dayak, Punjabi dan sebagainya turut menjadi wira negara yang berjuang menentang penjajah British dan pengganas komunis pada masa silam.

.

Mungkin Wanita Farsa ada memberikan beliau kelas khas subjek Sejarah Sebenar Malaysia! Maklumlah, pilihan raya umum semakin dekat dan Badut Pilihan Raya memerlukan undi untuk terus memperhambakan Rakyat.

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!