10 Dec 2010

The Given Day

Selepas selesai mendengar cakera padat (CD) audio novel Shadow of Power pada 8 Disember 2010, novel seterusnya yang menanti giliran adalah The Given Day karya Dennis Lehane yang dibacakan oleh Michael Boatman. CD audio terbitan Harper Audio ini menjanjikan halwa telinga selama 24 jam dalam 20 CD.
.

The Given Day (2008) adalah novel kelapan karya Lehane selepas A Drink Before the War (1994), Darkness, Take My Hand (1996), Sacred (1997), Gone, Baby, Gone (1998), Prayers for Rain (1999), Mystic River (2001) dan Shutter Island (2003). Kumpulan cerpennya berjudul Coronado (2006) manakala novel terbaru berjudul Moonlight Mile (2010).

.

Pasti ramai yang biasa dengan judul Shutter Island kerana novel berkenaan dijadikan filem box-office arahan Martin Scorsese dengan judul sama pada 2010 di mana Leonardo DiCaprio membuktikan kemampuan sebenar lakonannya menerusi watak Edward Daniels.

.

Novel Mystic River juga dijadikan filem dengan judul sama pada 2003. Filem arahan Clint Eastwood itu menampilkan lakonan mantap Sean Penn sebagai Jimmy Markum, Tim Robbins (Dave Boyle) dan Kevin Bacon (Sean Devine). Filem berkenaan menang pelbagai anugerah berprestij.

.

Sebuah lagi novel Lehane yang dijadikan filem adalah Gone Baby Gone – tanpa tanda koma pada judul versi filem – pada 2007. Filem arahan Ben Affleck ini menampilkan adiknya, Casey Affleck, sebagai Patrick Kenzie sementara Morgan Freeman memegang watak Kapten Jack Doyle. Amy Ryan yang memegang watak Helene McCready pula menang beberapa anugerah berprestij sementara Ben Affleck menerima anugerah filem pertama terbaik.

.

Mengenai The Given Day pula, Lehane ada menyatakan bahawa beliau akan menulis sekurang-kurangnya dua lagi novel sebagai susulan (sequel) kepada novel itu yang menggunakan latar masa 1918 dan latar tempat di Boston, Massachusetts, Amerika Syarikat. Wajar juga diperhatikan kehadiran watak Babe Ruth; sama ada watak rekaan atau merujuk kepada George Herman Ruth Jr, pemain besbol terkenal Amerika Syarikat yang bersara pada 1935 selepas bersama Boston Red Sox (1914-1919), New York Yankees (1920-1934) dan Boston Braves (1935).

.

Lehane lahir dan menetap di Boston yang sering menjadi latar bagi karya-karyanya. Anak kepada pasangan “pendatang” dari Ireland ini mula meminati bidang penulisan semasa belajar di Kolej Eckerd, Florida sebelum mendapat ijazah penulisan kreatif dari Universiti Antarabangsa Florida.

.

Saya yakin bahawa The Given Day pasti memberi kepuasan intelektual. Sementara saya bercuti daripada memikirkan masalah politik negara pada 9-14 Disember 2010, bolehlah saya turut merehatkan minda mendengar novel versi CD audio ini.