30 May 2009

Kaapiyam: Karya Agung Tamil

Memandangkan sehingga kini, tiada sebarang maklum balas daripada seorang rakan yang membuat hipotesis “Uthaya Sankar SB meniru Karya Agung Tamil” [BACA DI SINI], maka biar saya sendiri kongsikan sedikit maklumat mengenai apa yang dimaksudkan dengan “Karya Agung Tamil”.

Lima “Karya Agung Tamil” (“kaapiyam”) adalah Silappatikaram oleh Ilango Adigal (abad ke-6), Manimegalai oleh Seeththalai Sathanar (tahun 550-650), Civaka Cintamani oleh Thiruththakka Thevar (abad ke-9), Valayaapathi (abad ke-9) dan Kundalakesi (abad ke-10).

Kesemuanya karya asli dalam Bahasa Tamil, iaitu bahasa utama di Tamil Nadu, India. Baca juga: Lima Epik Agung Tamil.

Ada juga pengkaji sastera Tamil (di Tamil Nadu) yang memasukkan lima lagi karya dalam senarai itu: Choolamani oleh Thola Mozhithevar (abad ke-10), Neelakesi (abad ke-10), Yesodhara Kaviyam, Udayana Kumara Kaviyam dan Nagakumara Kaviyam.

Bagaimanapun, berbeza dengan pandangan sekumpulan pembaca, Ramayanam versi Bahasa Tamil yang ditulis oleh Kamban berdasarkan epik Ramayana versi asal Bahasa Sanskrit oleh Valmiki tidak termasuk dalam senarai karya asli Bahasa Tamil – apatah lagi dianggap sebagai salah satu daripada “Karya Agung Tamil”.

Kita berbalik pada hipotesis “Uthaya Sankar SB meniru Karya Agung Tamil” … Apa pandangan saudara?
Harap sudi kemukakan hujah saudara secara ikhlas di bawah ini (“comments”) untuk tujuan rekod dan demi manfaat bersama. Baca juga: Lima Epik Agung Tamil.