5 Sept 2026

Analisis—Suri Hati Swamiji



Cerpen “Suri Hati Swamiji” (Sebelas Amanat Swamiji, 2025)  merupakan sebuah karya yang berani kerana pengarang tidak sekadar mengemukakan kisah tentang seorang tokoh agama yang disanjung pengikut, malah turut berani membongkar sisi gelap sebuah kultus yang menggunakan agama sebagai alat untuk menguasai manusia.

Melalui watak Kanagavalli dan Swamiji, pengarang memperlihatkan bagaimana kepercayaan, ketakutan, kesunyian, dan keinginan mencari makna kehidupan boleh dimanipulasi oleh individu yang mendakwa dirinya mempunyai hubungan istimewa dengan Tuhan.

Keberanian utama pengarang terserlah melalui penciptaan watak Swamiji. Pada peringkat awal, Swamiji hadir sebagai seorang guru agama yang karismatik, petah berbicara, dan kononnya mempunyai pengetahuan mendalam tentang dharma, karma, veda, sutra, dan purana.

Dia memperkenalkan pelbagai konsep seperti rajayoga, karmayoga, bhaktiyoga, dan jnanayoga, malah menghuraikan lapan cabang yoga berdasarkan Yoga Sutra oleh Patanjali. Pendekatan ini menjadikan Swamiji kelihatan berilmu dan meyakinkan.

Namun, pengarang secara beransur-ansur menunjukkan perubahan daripada ajaran kerohanian kepada pemujaan terhadap individu. Swamiji akhirnya menuntut pengikut supaya mematuhi setiap arahan tanpa soal. Pengakuannya bahawa dia ialah “penghubung antara manusia dan Tuhan” merupakan titik penting dalam pendedahan tersebut.

Di sinilah agama tidak lagi berfungsi sebagai jalan pencarian kerohanian, sebaliknya menjadi mekanisme kawalan terhadap pemikiran dan tingkah laku pengikut.

Pengarang turut berani memperlihatkan satu ciri penting kultus, iaitu pemusatan kuasa kepada seorang pemimpin. Watak Swamiji bukan sahaja mahu dipercayai, malah mahu dirinya dianggap sebagai satu-satunya perantara yang sah antara manusia dengan Tuhan.

Apabila seseorang pemimpin menganggap dirinya tidak boleh dipersoalkan, pengikut pula dididik supaya melihat keraguan sebagai kesalahan, maka ruang untuk manipulasi menjadi semakin luas.

Watak Kanagavalli pula memperlihatkan bagaimana seseorang boleh terperangkap dalam kultus ajaran sesat bukan kerana kebodohan semata-mata. Kanagavalli ialah wanita muda yang kesunyian selepas ditinggalkan suami. Dia kehilangan sokongan keluarga dan mencari tempat untuk mendapatkan makna serta ketenangan hidup.

Ashram Swamiji pada mulanya memberikan apa yang dicarinya: Rasa diterima, tujuan hidup, dan komuniti. Inilah aspek psikologi yang penting dalam cerpen “Suri Hati Swamiji”. Pengarang menyedarkan pembaca bahawa golongan yang sedang berdepan krisis kehidupan amat mudah terdedah kepada individu yang menawarkan jawapan mutlak dan penyelesaian segera.

Pendedahan paling berani ialah apabila pengarang mengaitkan manipulasi agama dengan eksploitasi seksual terhadap wanita. Rancangan Raslila yang dikendalikan Swamiji memperlihatkan bagaimana simbol dan istilah keagamaan boleh diputarbelitkan untuk menghalalkan kehendak seorang pemimpin.

Wanita yang dikatakan “suci dan murni” akhirnya berisiko dijadikan objek untuk memenuhi kehendak seksual ketua kultus. Dengan cara ini, pengarang mengangkat isu yang lebih besar: Apabila seseorang menyerahkan kuasa mutlak kepada pemimpin agama, maka tubuh, maruah, dan kebebasan individu juga boleh dirampas.

Hal ini menjadikan Kanagavalli bukan sekadar watak mangsa, tetapi simbol kesedaran dan penentangan. Dia mula mempersoalkan perkara yang selama ini diterima secara membuta tuli.

Dialognya dengan Swamiji menjadi kemuncak keberanian tersebut: Kanagavalli menyatakan bahawa dia tidak lagi mahu berdiam diri dan akan mendedahkan apa yang berlaku kepada dunia luar. Swamiji pula cuba menggunakan strategi psikologi yang lazim dalam hubungan kuasa yang tidak seimbang, iaitu menakut-nakutkan mangsa, meramalkan bahawa tiada siapa akan mempercayainya, dan mengancamnya dengan label sebagai pengkhianat.

Dialog Swamiji iaitu “Dunia luar tidak akan percaya apa-apa yang awak katakan” amat signifikan. Ancaman sedemikian menunjukkan bahawa pemimpin kultus memahami satu kelemahan utama mangsa iaitu ketakutan untuk tidak dipercayai.

Mangsa juga mungkin bimbang kehilangan keluarga, tempat tinggal, komuniti, dan identiti yang selama ini diberikan oleh kumpulan tersebut. Maka, keberanian watak Kanagavalli menjadi lebih bermakna kerana dia bukan sekadar menentang seorang individu, sebaliknya keseluruhan sistem kepercayaan, agama, atau kultus yang telah mengikat dirinya.

Pendedahan cerpen ini juga mempunyai kaitan dengan realiti masyarakat. JAKIM dilaporkan merekodkan sekurang-kurangnya 155 ajaran yang telah difatwakan sesat di Malaysia sejak 1950. Antara faktor yang dikenal pasti termasuk kejahilan, taasub, dan kepercayaan terhadap sumber ilmu yang tidak benar.

Pada Januari 2026 pula, JAKIM dilaporkan masih memantau 10 ajaran sesat yang aktif dan memberi amaran bahawa sesetengah kumpulan kini menggunakan bentuk seperti modul atau program motivasi untuk menarik pengikut. 

Hal ini menunjukkan bahawa persoalan yang diketengahkan dalam cerpen “Suri Hati Swamiji” bukan semata-mata imaginasi, tetapi mempunyai relevansi sosial yang nyata—walaupun hanya melibatkan umat Hindu dan Bukan Islam.

Mana-mana umat Hindu yang merasakan dirinya terperangkap dalam kultus ajaran sesat seperti yang digambarkan dalam cerpen ini tidak wajar bertindak secara terburu-buru seorang diri.

Pertama, mangsa perlu mengakui bahawa dirinya mungkin sedang dimanipulasi. Keraguan terhadap pemimpin bukan semestinya tanda kelemahan iman atau pengkhianatan.

Kedua, mangsa perlu mendapatkan maklumat daripada sumber agama yang berautoriti dan tidak bergantung kepada tafsiran ketua kumpulan kultus semata-mata. Ketua yang dimaksudkan mungkin juga memperlihatkan dirinya sebagai tokoh motivasi dan pakar kaunseling atau pengamal ilmu spiritual.

Ketiga, mangsa perlu menghubungi ahli keluarga atau individu yang dipercayai supaya tidak terus terasing daripada dunia luar. Biaanya, kultus akan cuba mengasingkan mangsa (pengikit) daripada keluarga dan rakan-rakan supaya lebih mudah dimanipulasi dan dipergunakan—termasuk bagi tujuan seksual.

Keempat, jika wujud unsur ugutan, penipuan kewangan, paksaan seksual, keganasan, atau tahanan secara paksa, bukti yang selamat perlu disimpan dan laporan hendaklah dibuat kepada pihak berkuasa yang sesuai.

Ternyata cerpen “Suri Hati Swamiji” ialah sebuah cerpen tentang keberanian seorang mangsa untuk berkata “Tidak” apabila agama disalahgunakan sebagai alat penguasaan.

Kekuatan karya ini terletak pada pendedahan terhadap proses manipulasi di mana seseorang tidak semestinya terus menjadi mangsa. Sebaliknya, dia mungkin bermula sebagai pencari ketenangan, kemudian menjadi pengikut, seterusnya kehilangan kemampuan untuk mempersoalkan pemimpin.

Watak Kanagavalli memutuskan rantai tersebut apabila dia mula berfikir secara kritikal. Dengan demikian, keberanian sebenar Kanagavalli bukan hanya keberanian untuk mendedahkan kultus pimpinan Swamiji. Lebih penting, dia berani mempertikaikan sesuatu yang selama ini dipercayainya sebagai “agama sebenar”.

Dalam konteks masyarakat India-Hindu di Malaysia, itulah mesej paling penting dalam cerpen ini: Agama tidak sepatutnya menjadi lesen untuk merampas kebebasan, maruah, harta, atau tubuh manusia. Apabila seseorang seperti watak Swamiji mendakwa dirinya adalah satu-satunya utusan dan jalan menuju Tuhan, masyarakat harus lebih berhati-hati; bukan lebih tunduk kepada ajaran kultus tetapi berani untuk meninggalkannya sebelum terlewat.

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!