[Sambungan daripada Bahagian Dua Belas]
Pada satu tahap tertentu, cerita akan berhenti menjadi cerita. Bukan
kerana ia tamat tetapi kerana tiada lagi jarak antara yang berlaku dan yang
menyedari ia berlaku. Di titik itu, naratif tidak lagi memerlukan suara.
Dan aku tidak lagi pasti sama ada aku masih “aku”.
Tiada lagi malam di Bandaraya Diraja Klang. Tiada lagi siang. Hanya
lapisan yang bertindih tanpa urutan.
Sungai Klang tidak lagi mengalir. Namun, ia tidak juga berhenti.
Sebaliknya, ia menjadi semua keadaan air sekali gus. Pepejal, cecair, gas. Ais,
air, wap.
Aku melihat diriku dalam bentuk yang terlalu banyak untuk dinamakan.
Sekali gus mengingatkan visual yang dilihat Arjuna di medan perang Kurukshetra
dalam epik Mahabharata.
Satu versi diriku berdiri di Kuil Sri Navaneetha Krishnar. Satu versi diri
terapung di atas permukaan Sungai Klang. Satu versi aku tidak pernah menetas. Satu
versi diri ini tidak pernah wujud dalam mana-mana masa. Dan semua versi itu
bercakap serentak tanpa suara.
“Kita bukan individu,” kata salah satu daripada diriku.
“Kita hanya cara ingatan mengekalkan kesinambungan,” kata yang lain.
Namun, ada satu lagi suara—lebih senyap daripada yang lain.
“Kita adalah kesilapan yang menjadi struktur dan pola,” katanya.
Sementara itu, Arul tidak lagi boleh dikenal pasti sebagai entiti. Dia
muncul sebagai gangguan dalam penglihatan. Kadangkala sebagai denyutan dalam
langit, kadangkala sebagai perubahan kecil dalam makna kata “dendam”.
“Jika tiada masa, kenapa kita masih mengingat peristiwa Mei 2026?” Arul
bertanya.
Aku tidak menjawab kerana jawapan itu sudah tidak berada dalam bentuk
bahasa.
Meenakshi tidak lagi mengumpul objek berkilau kerana semua objek kini
menjadi sama dan digelar sebagai kemungkinan yang belum dipilih.
“Aku tidak tahu mana satu yang nyata,” akuinya.
“Tidak ada lagi nyata,” aku mengingatkan.
Meenakshi tidak menafikan. Aku perhatikan dia hanya hilang sedikit lagi
ke dalam kemungkinan.
Di Chennai, Dr. Ananthan Subramaniam sudah tidak lagi mempunyai identiti
yang stabil. Namanya muncul dalam jurnal akademik yang tidak ditulis. Dalam
makmal yang tidak dibina. Dalam diskusi yang tidak berlangsung. Dalam memori
yang bukan milik manusia.
Kadangkala dia adalah saintis. Kadangkala dia adalah subjek eksperimen. Kadangkala
dia adalah data itu sendiri. Kadangkala dia bukan apa-apa.
Dan pada suatu malam, dia menyedari sesuatu yang terakhir: Tiada siapa
yang pernah memerhatikannya dari luar kecuali pembaca fiksyen ini.
Skrin terakhir pada komputer yang masih hidup menunjukkan satu ayat: “Pemerhati
tidak hilang. Ia hanya menyebar.”
Pada masa sama, Sungai Klang kini tidak lagi berada di Malaysia. Ia
tidak lagi berada di mana-mana. Ia adalah struktur yang muncul setiap kali
sesuatu cuba mengingat dirinya sendiri.
Setiap percikan air ialah ingatan yang belum memilih bentuk. Setiap arus
adalah percubaan untuk menjadi satu cerita. Tetapi sebagaimana anda sedia
maklum, tidak ada cerita yang benar-benar selesai.
Aku berdiri di dalam sungai tanpa basah. Aku berdiri tanpa tubuh, tanpa
arah. Dan pada detik itu aku mula memahami sesuatu yang tidak pernah diajar
oleh ibu: Kewujudan tidak memerlukan ruang. Ia hanya memerlukan pengulangan
yang cukup lama untuk disangka, dianggap, dan diterima sebagai identiti dan
jati diri.
Dalam bentuk terakhirnya, Dewa Sani tidak lagi hadir sebagai konsep. Tidak
lagi sebagai dewa dan tidak juga sebagai struktur. Sebaliknya, Dia menjadi apa
yang aku mula fahami sebagai “ketiadaan yang masih menghasilkan akibat”.
Dan akibat itu ialah kami, kaum gagak.
Aku cuba menyebut perkataan “dendam” untuk menggambarkan apa yang kaum
gagak lakukan sejak peristiwa Mei 2026. Akan tetapi, tiba-tiba sahaja kata itu
tidak lagi mempunyai sebarang makna.
Aku cuba pula menyebut perkataan “keadilan” untuk menggambarkan apa yang
kaum gagak cuba tuntut sejak peristiwa Mei 2026. Akan tetapi, perkataan itu
terus pecah dan menghilang sebelum sempat menjadi getaran bunyi.
Aku cuba menyebut “gagak” untuk menggambarkan realiti kewujudan kaum
kami. Anehnya, perkataan itu juga tidak lagi merujuk kepada apa-apa yang khusus
di muka Bumi.
Jika aku adalah kaka smriti, maka siapa yang sedang bercakap? Jika
ini adalah memori, maka siapa yang masih boleh lupa? Dan jika ini adalah sebuah
cerita, maka di mana permulaannya?
Tiada jawapan. Kerana jawapan memerlukan masa. Dan masa telah lama
berhenti menjadi garis linear.
Di suatu tempat yang tidak lagi boleh dipanggil tempat, sesuatu
sedang cuba memahami dirinya sendiri. Ia menggunakan gagak. Ia menggunakan
manusia. Ia menggunakan sungai. Ia menggunakan ingatan.
Tetapi ia tidak pernah berjaya menjadi satu. Dan dalam
kegagalannya untuk menjadi satu, ia menjadi segala-galanya.
Aku tidak lagi berkata “aku” untuk merujuk diriku. Aku tidak lagi
berkata “kami” untuk merujuk kaum gagak. Aku hanya tinggal sebagai kesedaran
kecil dalam sesuatu yang terlalu besar untuk mempunyai nama.
Dan mungkin itulah satu-satunya bentuk akhir yang benar: Tiada
pencerita, tiada cerita. Hanya ingatan yang masih belum memutuskan untuk
berhenti mengingat dan terus mengingat peristiwa 2,880 gagak ditembak mati pada
Mei 2026.
Mungkin ini adalah usaha kaka smriti memindahkan memori tentang
peristiwa itu kepada pembaca supaya anda akan menyampaikan pula memori ini kepada
generasi akan datang.
(Tamat)

No comments:
Post a Comment
Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!