12 May 2011

Wartawan “Diangkut” Polis, kata Pengetua

Pada pagi ini (12 Mei 2011), semasa berada di Subang Jaya untuk mengendalikan kelas Bahasa Inggeris di sebuah hotel, saya dihubungi beberapa ibu bapa yang mahu mendapatkan pengesahan mengenai apa yang mereka dengar daripada anak-anak mereka semalam (11 Mei).

Menurut mereka, anak-anak mereka yang merupakan pelajar di sebuah sekolah menengah kebangsaan di Shah Alam memberitahu mereka bahawa tersebar khabar angin di sekolah itu semalam bahawa para ibu bapa dan wartawan yang hadir membuat liputan perhimpunan aman di hadapan sekolah itu semalam telah ditahan polis.


Apa yang lebih menarik, pelajar mengesahkan bahawa berita itu disebarkan oleh pengetua sekolah itu sendiri semasa sekumpulan ibu bapa, penjaga dan bekas pelajar sedang berkumpul di hadapan sekolah sebagai meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pengetua itu. [BACA DI SINI]


Pengetua wanita itu dipetik sebagai berkata, “Padan muka! Polis sudah angkut mak bapak, reporter dan Uthaya tu ke balai.” (Wah! Ternyata pengetua mengenali saya walaupun saya tidak mengenali beliau.)


Kata-kata itu khabarnya diucapkan di kawasan sekolah pada 11 Mei dan turut sampai ke telinga pelajar, lalu disampaikan pula kepada ibu bapa selepas sekolah.


Jika benar, tentulah tindakan puan pengetua itu amat mengecewakan kerana memberi gambaran seolah-olah polis bertindak di luar batas kemanusiaan; apatah lagi terhadap wakil media yang berada di sekitar sekolah untuk menjalankan tugas.


Saya berada di hadapan sekolah menengah kebangsaan itu bermula pukul 9:50 pagi pafa 11 Mei bersama-sama beberapa wartawan lain. Saya boleh menjadi saksi dan mengesahkan bahawa para pegawai polis yang berada di tempat itu tidak “mengangkut” sesiapa! Sebaliknya para pegawai polis bersikap profesional serta memberi nasihat secara baik kepada ibu bapa yang berhimpun di situ.


Saya menghubungi pejabat sekolah terbabit pada pukul 9:07 pagi ini (12 Mei) untuk bercakap terus dengan pengetua bagi mengetahui dari mana beliau mendapat maklumat palsu bahawa ibu bapa, wartawan dan saya “diangkut” ke balai polis.


(Daripada foto-foto yang dirakam di hadapan sekolah, hanya kelihatan dua wakil PIBG dan seorang budak pejabat sekolah hadir bersama di luar pagar utama sekolah semasa perhimpunan aman itu. Mungkin pengetua juga hadir, tetapi maaf, saya tidak cam wajahnya.)


Bagaimanapun, apabila saya menefon pagi tadi, saya dimaklumkan oleh seorang kerani bahawa “puan pengetua ada perjumpaan dengan guru sekarang” dan tidak dapat menjawab pertanyaan saya.


Pengetua itu juga khabarnya mempersoalkan bagaimana saya boleh hadir mengambil foto semasa perhimpunan aman di hadapan sekolah itu pada 11 Mei. Agaknya beliau lupa bahawa rumah saya bukannya terletak terlalu jauh dari sekolah dan setiap hari saya lalu di hadapan sekolah itu!


Malah, semasa saya berbual bersama Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (YDP PIBG) sekolah itu pada 11 Mei, beliau memaklumkan bahawa pengetua telah menelefon beliau (YDP) pada sebelah malam, 10 Mei untuk memberitahu bahawa ibu bapa bercadang mengadakan perhimpunan aman pada 11 Mei.


Maka, mengapa tidak mungkin bahawa “sumber” yang memberitahu pengetua mengenai perhimpunan aman itu telah turut menghubungi saya untuk menyampaikan berita yang sama?


Pengetua juga mungkin lupa bahawa saya adalah pemilik tunggal Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya serta orang ramai boleh menghubungi saya untuk mendapatkan khidmat nasihat berkaitan media secara percuma.


Malah, ibu bapa kepada pelajar pelbagai kaum di sekitar Taman Sri Muda, Shah Alam memang menghubungi saya dari semasa ke semasa untuk mendapatkan nasihat, panduan, rundingan dan bantuan; khususnya dalam urusan berkaitan media.


Apa pun, kini saya nantikan pengetua berkenaan (yang juga khabarnya pembaca tegar blog ini!) menghubungi saya melalui telefon (016-3288142) atau e-mel (uthayasb@yahoo.com.my) untuk kami berbincang secara profesional. Boleh juga bersembang sambil minum teh tarik dan saya sudi memberikan panduan percuma kepada beliau mengenai cara-cara berdepan dengan media!


Keterangan foto: Mungkinkah ini sebahagian wartawan dan ibu bapa pelbagai kaum yang kononnya “diangkut” ke balai polis; seperti didakwa pengetua sebuah sekolah menengah kebangsaan di Shah Alam?