19 Jul 2026

Susahnya Murtad! Contoh Laporan Media

Di Malaysia, apabila seseorang Bukan Islam memeluk agama islam, prosesnya biasanya kelihatan mudah. Ada yang masuk islam kerana mahu berkahwin. Ada yang tertarik dengan ajaran agama itu. Ada juga yang memeluk islam ketika masih kanak-kanak kerana ibu atau bapa bertukar agama.

Namun, apabila individu yang sama pada suatu hari mahu meninggalkan islam, mereka sering mendapati bahawa pintu keluar tidak semudah pintu masuk. Beberapa individu mualaf yang berkongsi cerita dengan saya turut meluahkan rasa terkejut dan kecewa dalam hal ini.

Bagi saya sebagai individu yang mengenali islam secara mendalam—inside out—selama 50 tahun, hakikat ini bukanlah sesuatu yang menghairankan. Malah, inilah realiti yang dapat dilihat dengan jelas melalui pelbagai kes mahkamah sejak lebih dua dekad lalu.

Kes-kes seperti Lina Joy, Soon Singh Bikar Singh, Revathi Masoosai, Rosliza Ibrahim, serta beberapa kes terkini melibatkan wanita dan individu yang mahu diiktiraf sebagai “bukan lagi muslim” menunjukkan bahawa isu sebenar bukan sekadar soal kepercayaan peribadi.

Sebaliknya, ia melibatkan pertindihan kuasa mahkamah, tafsiran Perlembagaan Persekutuan, undang-undang syariah negeri, status identiti, hak perkahwinan, hak keluarga, dan kebebasan beragama.

Ramai Bukan Islam mungkin menganggap bahawa kebebasan beragama yang dijamin di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan bermakna seseorang bebas memilih agama dan bebas juga meninggalkan agama yang tidak lagi diyakininya. Dari sudut teori, andaian itu nampak logik. Namun, pengalaman individu yang mahu keluar islam membuktikan bahawa keadaan sebenar jauh lebih rumit.

Tambahan pula, di kebanyakan negeri, undang-undang syariah tidak menyediakan mekanisme yang mudah atau jelas untuk seseorang meninggalkan islam. Dalam sesetengah keadaan, individu yang memohon keluar islam perlu menjalani sesi kaunseling, pemulihan akidah atau tempoh tertentu sebelum permohonan dipertimbangkan.

Dalam keadaan lain pula, permohonan jarang diluluskan. Akibatnya, seseorang boleh terperangkap dalam keadaan yang aneh: Dia tidak lagi mempercayai agama islam, tidak mengamalkan islam, malah mungkin mengamalkan agama lain, tetapi dari sudut undang-undang masih dianggap muslim.

Keadaan ini menjadi lebih kompleks apabila melibatkan individu yang sebenarnya tidak memilih untuk menjadi muslim. Dalam beberapa kes, seseorang didaftarkan sebagai muslim ketika masih kanak-kanak berikutan penukaran agama ibu atau bapanya.

Apabila dewasa, individu tersebut mendapati dirinya terikat dengan status agama yang tidak pernah dipilih secara sedar. Pada tahun 2024, Mahkamah Persekutuan mendengar rayuan seorang wanita yang berhujah bahawa penukarannya kepada islam ketika berumur empat tahun adalah tidak sah sejak awal kerana undang-undang yang berkuat kuasa pada masa itu tidak membenarkan kanak-kanak ditukar agama sedemikian. Hujah utama peguamnya ialah wanita itu sebenarnya tidak pernah menjadi muslim dari sudut undang-undang.

Di sinilah muncul satu persoalan yang sering mengelirukan masyarakat Bukan Islam. Banyak individu yang dikaitkan dengan kes “murtad” sebenarnya berhujah bahawa mereka tidak pernah menjadi muslim secara sah sejak awal. Dengan kata lain, mereka bukan meminta kebenaran untuk meninggalkan islam.

Sebaliknya, mereka meminta mahkamah mengiktiraf bahawa status islam yang dikenakan ke atas mereka adalah tidak sah. Walaupun begitu, mereka tetap berdepan laluan undang-undang yang panjang, mahal, dan memakan masa bertahun-tahun.

Kes Shehzad Malik Sanwar Malik yang mendapat perhatian media baru-baru ini turut memperlihatkan kerumitan yang sama. Perbahasan bukan lagi semata-mata mengenai kepercayaan individu, sebaliknya mengenai persoalan mahkamah mana yang mempunyai kuasa menentukan status agama seseorang.


[Senarai buku Uthaya Sankar SB]


Dalam banyak keputusan terdahulu, mahkamah sivil mengambil pendirian bahawa isu keluar Islam terletak dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah. Akibatnya, individu yang tidak lagi menganggap dirinya muslim masih perlu berurusan dengan institusi agama islam untuk mendapatkan pengiktirafan rasmi mengenai status agamanya.

Bagi ramai orang, konflik sebenar bukan soal teologi. Mereka tidak datang ke mahkamah untuk berdebat mengenai akidah, syurga atau neraka. Sebaliknya, mereka mahu menyelesaikan masalah kehidupan harian. Ada yang mahu berkahwin dengan pasangan Bukan Muslim.

Ada yang mahu menentukan agama anak-anak. Ada yang mahu memastikan urusan pengebumian mereka kelak mengikut kepercayaan yang diamalkan. Ada yang mahu mengelakkan tindakan penguatkuasaan agama ke atas diri mereka. Dalam erti kata lain, pertikaian agama akhirnya bertukar menjadi pertikaian hak sivil dan identiti peribadi.

Hasil perbualan dengan sekumpulan mualaf, saya mendapati satu lagi aspek yang sering tidak difahami oleh masyarakat Bukan Islam sebelum masuk islam ialah kesan status “muslim pada dokumen”.

Di Malaysia, status agama bukan sekadar catatan pentadbiran. Ia menentukan bidang kuasa mahkamah, undang-undang keluarga yang terpakai, prosedur perkahwinan, pembahagian harta pusaka, hak penjagaan anak, dan pelbagai urusan lain.

Sebab itulah pertikaian mengenai status agama sering menjadi pertikaian yang sangat besar. Seseorang mungkin sudah meninggalkan islam dalam hati dan amalan selama bertahun-tahun. Malangsya, selagi status rasmi tidak berubah, pelbagai aspek kehidupannya masih tertakluk kepada sistem perundangan islam.

Beberapa sarjana undang-undang turut menjelaskan bahawa pindaan Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1988 memainkan peranan penting dalam perkembangan ini. Pindaan tersebut menghadkan campur tangan mahkamah sivil dalam perkara yang berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Sejak itu, banyak kes berkaitan penukaran agama dan keluar islam tertumpu kepada persoalan bidang kuasa, bukannya persoalan sama ada seseorang benar-benar mempercayai sesuatu agama atau tidak.

Akhirnya, isu murtad di Malaysia tidak boleh difahami secara mudah sebagai kes “seseorang mahu keluar agama”. Hakikatnya jauh lebih kompleks. Isu ini menyentuh persoalan identiti, kuasa institusi, sejarah perundangan, hubungan antara mahkamah sivil dan Mahkamah Syariah, serta tafsiran terhadap kebebasan beragama dalam konteks Malaysia.

Kes-kes yang muncul dari semasa ke semasa menunjukkan bahawa cabaran terbesar sering bukan pada keputusan seseorang untuk meninggalkan islam, tetapi pada usaha mendapatkan pengiktirafan undang-undang terhadap keputusan tersebut.

Bagi individu Bukan Islam yang membaca catatan ini, saya amat berharap mereka memahami hakikat ini. Pemahaman ini penting supaya mereka dapat melihat bahawa perbahasan mengenai murtad di Malaysia bukan sekadar polemik agama yang sensasi.

Di sebalik setiap tajuk berita, terdapat individu sebenar yang berdepan persoalan identiti, keluarga, masa depan, dan kebebasan diri. Ada yang menghabiskan bertahun-tahun turun naik mahkamah. Ada yang hidup dalam keadaan status agamanya dipertikaikan. Ada yang tidak dapat berkahwin dengan pasangan pilihan. Dan ada yang terus hidup dalam ruang kelabu antara kepercayaan peribadi dan pengiktirafan rasmi negara.

Beberapa individu mualaf berkongsi pengalaman dari semasa ke semasa untuk saya dokumentasi di blog. Mereka turut bercerita tentang kesukaran meninggalkan islam dan kembali kepada agama asal.

Dalam konteks itulah, isu murtad di Malaysia perlu difahami: Bukan sekadar sebagai isu agama, tetapi sebagai isu kemanusiaan dan kewarganegaraan yang masih belum menemui penyelesaian yang benar-benar memuaskan semua pihak.

Bacalah juga catatan berkaitan bertajuk “Dilema Mualaf: Terlajak Perahu Boleh Diundur” dan “Biar Kisah Saya Jadi Pengajaran – Vijay” serta “Proses Keluar Islam di Malaysia”.

Bacaan seterusnya: Revathi Masoosai - Gagal Pertahankan Identiti Diri

[Tulisan ini bertujuan mendidik umat Bukan Islam. © Uthaya Sankar SB. Harap maklum bahawa anda meneliti sebarang paparan di mana-mana blog dan media sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]