Insiden tokoh sastera melakukan gangguan seksual nampaknya bukan kes
terpencil. Malah, berdasarkan pendedahan dan perkongsian di media sosial oleh
sejumlah penulis wanita, ada lebih ramai pemangsa menggunakan kedudukan sebagai
penulis dan pemegang jawatan dalam institusi tertentu untuk melakukan
pengantunan seksual (sexual grooming), gangguan seksual (sexual
harassment) dan amang seksual (sexual assault).
Agak mengecewakan apabila Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang
mencanangkan dirinya sebagai “institusi yang bertanggungjawab memartabatkan
bahasa dan sastera” memilih jalan selamat dengan bersikap lepas tangan sebaik
isu ini dibongkar. Beberapa persatuan penulis yang biasanya terlebih rajin
memberi kenyataan media dalam pelbagai isu remeh-temeh juga memilih untuk
menutup mulut dalam isu penting ini.
Setakat ini, hanya Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan)
mengeluarkan kenyataan rasmi mengutuk perbuatan
tokoh sasterawan terbabit serta menyokong tindakan para penulis wanita (mangsa)
yang berani mendedahkan apa yang berlaku. Ramai juga penulis pelbagai kaum
tampil menyatakan solidariti kepada mangsa menerusi komen di media sosial, selain
berharap pemangsa disiasat dan dikenakan tindakan undang-undang.
Penulis Peranakan Cina, Sujata Wee (Wee Sock Yam) dari Wakaf
Bharu, Kelantan menghubungi saya untuk berkongsi pengalaman pernah dihubungi
seorang penulis terkenal yang disifatkannya “agak miang keladi”.
“Namun, ia
tidaklah menjadi ancaman bagi saya kerana prinsip saya ialah bertepuk sebelah
tangan tidak akan berbunyi. Paling-paling saya berterus-terang kepadanya dengan
berkata, ‘Awak ni mianglah. Saya bukan jenis orang yang seperti awak cari.’,”
kata ahli Persatuan Penyair Kelantan (PPK) yang aktif menulis puisi dan cerpen.
Menurut Sujata Wee, dia tidak lagi bersahabat dengan penulis lelaki
terbabit di media sosial. Beliau juga memilih untuk menyimpan pengalaman itu
sebagai rahsia peribadi kerana mahu menjaga air muka tokoh sastera terbabit
serta isteri dan anak-anak yang turut dikenali.
Ada pula penulis lelaki yang menelefon atau mengirim mesej dengan
kata-kata mesra melebihi batas pergaulan. Sujata Wee sentiasa berwaspada demi
mengelakkan diri daripada masuk perangkap sesiapa yang berniat jahat. Kes
gangguan seksual yang sedang tular sekarang membuatkan Sujata Wee berkongsi
pengalaman lama sebagai panduan kepada rakan-rakan penulis.
“Sepatutnya sebagai penulis hebat dan tokoh tersohor, tidak perlulah
‘bersayang-sayang’ dengan penulis wanita yang bukan isteri. Dalam kes saya,
kami tidaklah kenal rapat sangat, sekadar buat sebuah antologi sahaja. Saya
anggap dia cuma bergurau. Tapi apabila baca tentang kes yang tular sekarang,
saya bersyukur kerana berwaspada,” kata Sujata Wee.
Beliau juga menasihati para penulis wanita, khasnya penulis pemula,
supaya sentiasa berhati-hati dan menjaga maruah diri.
“Pemangsa menghulur umpan, ikan yang waspada akan abaikan sahaja umpan
tersebut. Demikianlah perumpaman yang boleh saya beri sebagai nasihat kepada
semua,” katanya.
Penulis wanita kaum India, Thanusya Shanmuganathan juga membuat
keputusan mendedahkan perkara yang berlaku kepada dirinya apabila menyedari kes
gangguan seksual ini bukan kes terpencil.
“Terlalu sukar untuk saya mendiamkan diri sebab saya juga salah seorang
mangsa yang terkena. Sudah lama pemangsa yang sama menghantar mesej serupa
berulang kali tetapi saya abaikan sahaja. Saya tak sangka, dia hantar kepada
orang lain juga,” kata penulis dari Petaling Jaya, Selangor yang turut
menggunakan nama pena Meera Natasya.
Sambil menyatakan solidariti penuh kepada mangsa yang berani bersuara,
Thanusya menegaskan bahawa dunia sastera mesti menjadi ruang selamat, bukan
medan eksploitasi kuasa. Apatah lagi apabila penulis tersohor yang menang
anugerah sasterawan negeri dan dipandang tinggi tergamak mengambil kesempatan
ke atas penulis wanita yang meminta bimbingan penulisan.
“Saya menggesa siasatan telus oleh pihak berkuasa dan tindakan tegas
terhadap pelaku tanpa mengira nama atau kedudukan. Kepada rakan-rakan penulis
pula, sentiasalah berwaspada. Kenali hak anda dan jangan berdiam diri jika
menjadi mangsa sebarang bentuk gangguan,” katanya.
Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan berita pendedahan Sarah Ross tentang
pengalaman menjadi mangsa gangguan seksual secara maya daripada seorang tokoh
sastera. Setakat ini, dua mangsa sudah membuat laporan polis.
Memandangkan Thanusya turut pernah menerima mesej berbaur lucah dan
kurang sopan daripada pemangsa yang sama, beliau mengesahkan akan membuat
laporan polis dalam masa terdekat. Penulis wanita ini berharap, tindakan secara
kolektif akan membuatkan pihak berkuasa memandang serius serta menyiasat kes
ini dengan segera.
Pendedahan tentang perangai buruk beberapa penulis terkenal yang
mengambil kesempatan terhadap penulis wanita turut mengundang kemarahan penulis
veteran, M. Mahendran. Beliau yang tinggal di
Bentong, Pahang sudah terlibat dalam bidang sastera kebangsaan dan sastera
Tamil sejak tahun 1980-an.
“Sebagai pengarang atau sasterawan, kita seharusnya memiliki jati diri
unggul yang mungkin tidak dimiliki oleh orang kebanyakan. Demikianlah pandangan
dan harapan orang ramai kepada golongan sasterawan. Janganlah pula golongan
penulis memiliki sikap lebih keji daripada haiwan ketika berurusan dengan rakan
penulis, khasnya wanita,” kata beliau yang meneraju Kavyan.
Bagi Mahendran, kita tidak sesekali boleh menyalahkan penulis wanita
terbabit dalam isu ini. Mereka adalah mangsa dan tidak patut ditanya mengapa
mereka membuka ruang dan peluang kepada penulis lelaki bertindak berkomunikasi secara lucah dan tidak bermaruah.
“Semoga para wanita, sama ada penulis, pembaca, peminat sastera atau
bukan penulis, sentiasa berwaspada ketika bergaul dengan sesiapa sahaja,
termasuk tokoh penulis dan sasterawan ternama. Kita sukar menduga yang mana
satu Iblis bertopengkan wajah manusia,” katanya.
Mahendran juga menegaskan bahawa Kavyan yang mengendaliakn pelbagai
bengkel penulisan dan program galakan membaca di seluruh negara serta
melibatkan peserta pelbagai kaum dan peringkat umur, sentiasa berpegang pada
etika, profesionalisme, dan didikan agama.
“Kami di Kavyan menyangka semua penulis bersikap budiman dan berpegang
pada etika. Pendedahan berani beberapa penulis wanita sejak belakangan ini
membuktikan dunia sastera kebangsaan juga dihuni individu berniat jahat. Semoga
kita dapat sama-sama menyingkirkan mereka sebelum perangai buruk mereka
merosakkan imej sastera Malaysia,” katanya.
Turut berkongsi pandangan ialah penulis dan pensyarah Universiti Tunku
Abdul Rahman (UTAR), Prof Madya Dr. Charanjit Kaur yang terkejut dengan
apa yang berlaku dalam dunia sastera kebangsaan.
“Gangguan seksual tidak seharusnya mempunyai tempat dalam dunia sastera
atau mana-mana ruang kehidupan. Saya berdiri teguh menyokong keberanian para
penulis wanita yang tampil mendedahkan salah laku demi menuntut keadilan.
Tindakan mereka merupakan langkah penting ke arah membina ekosistem kreatif
yang lebih selamat, beretika dan bebas daripada budaya toksik,” katanya.
Ahli akademik itu mengingatkan perlunya seluruh komuniti sastera memupuk
budaya saling menghormati, berintegriti dan berakauntabiliti. Semua penulis
perlulah sentiasa berwaspada dan berani menolak sebarang gangguan, sekalipun
daripada figura dihormati.
“Status atau anugerah sastera tidak sesekali memberikan imuniti atau
tiket kepada sesiapa untuk melakukan perbuatan terkutuk ini,” tegasnya.
Rasa terkejut dan hampir tidak percaya dilahirkan oleh penulis wanita
kaum India, Anuradha Chelliah dari Banting,
Selangor.
“Saya terkejut membaca isu yang berlaku kepada beberapa penulis wanita.
Namun begitu, saya rasa bangga dengan keberanian mereka tampil ke hadapan untuk
mendedahkan perkara yang berlaku. Tindakan ini penting demi mengelakkan perkara
sebegini berlarutan,” kata Anuradha yang sering menulis cerpen tentang isu
berkaitan wanita kaum India di Malaysia.
Sambil mengingatkan bahawa kes gangguan seksual seperti dilaporkan
sepatutnya tidak berlaku lagi dalam masyarakat Malaysia, beliau turut mahu
tindakan tegas diambil ke atas pemangsa tanpa mengira umur, jawatan dan
ketokohan dalam dunia sastera.
“Individu itu mungkin menganggap kaum wanita lemah, lalu cuba mengambil
kesempatan terhadap mereka. Pihak berkuasa tidak patut berdiam diri keran
laporan polis sudah dibuat. Kita tidak boleh menafikan keadilan bagi para
mangsa,” katanya.
Anuradha juga berharap, tindakan tegas yang diambil nanti menjadi
pengajaran kepada sesiapa yang masih berselindung di sebalik gelaran dan
jawatan untuk mengeksploitasi golongan wanita.
(Ulasan ini ditulis oleh Uthaya Sankar SB pada 3 Julai 2026 dan disiarkan di Malaysiakini pada 8 Julai 2026.)






No comments:
Post a Comment
Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!